CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Jumaat, 31 Oktober 2008
Tazkirah
Al-Aadiyaat:6-8;
'Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya, dan dia menyaksikan sendiri keingkarannya, dan dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta.'
dan,
Khalifah Umar ibnul Khattab r.a menulis surat kepada para pegawainya dengan nasihat berikut;
'Jadikanlah manusia bagimu sama dalam memperoleh hak yang dekat dengan yang jauh, begitu pula yang jauh tidak berbeda dengan yang dekat. Janganlah kamu menerima rasuah (suapan), jangan memutuskan perkara berdasarkan hawa nafsu dan janganlah kamu melayani manusia dalam keadaan kamu marah (beremosi).'
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 31, 2008   0 comments
Tun Dr M sudah lupa?
Tindakan Umno menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi menyebabkan mereka menyertai PAS, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Umno, kata beliau, seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

Alhamdulillah. Dakwaan Tun mungkin ada benarnya. Cuma kita mahu tahu, bila mereka disekat dan mengapa disekat? Mungkin faktor sekatan menjadi satu sebabnya. Ada banyak faktor lain. Mungkin tidak ramai cerdik pandai yang menjadikan ia faktor major. Saya meletakkan faktor kesedaran Islam sebagai punca utama mereka tidak bersama Umno. Pas parti Islam, Umno nasionalis Melayu. Samakah antara Islam dengan kebangsaan? Samakah Al-Quran dengan buku The Prince atau Sejarah Melayu?

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan. Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," mStar Online memetik bekas Presiden Umno itu berkata dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani.

Sekarang Tun menyalahkan ketua cawangan pula. Nasib kaulah Labu. Tun mengakui bahawa Umno memang tidak suka orang cerdik memimpin partinya, sama seperti sikapnya yang tidak boleh menerima ada orang yang sama pandai atau lebih pandai daripada dirinya. Lagi pun, orang cerdik memang tidak suka politiking dan politik wang sebab mereka tahu ia sinonim dengan rasuah. Kalau di peringkat cawangan sudah kena cantas, apa lagi di peringkat yang lebih tinggi. Seingat saya, tindakan itu telah dilakukan secara berleluasa sejak Tun menjawat jawatan PM. Apa yang hendak dihairankan?
Sewaktu pemilihan 1987, muncul Team A dan Team B. Waktu itu, Team B pimpinan Tengku Razaleigh dan Dato’ Musa Hitam dilihat mewakili pemikiran golongan muda yang proaktif dan tampak lebih kehadapan.
Namun, Team A yang diketuai Tun melakukan ‘political cleansing’ selepas pemilihan tersebut. Dato’ Musa tercampak dan terus berkubur karier politiknya. Tengku Razaleigh sehingga sekarang masih terkial-kial bersama beberapa kerat penyokong setianya. Datuk Ibrahim Ali terpaksa ‘mencium punggung’ (itu kata-kata beliau di hadapan Dato’ Harun Idris, Ku Li, Marina Yusof pada 1989 dahulu dalam satu ceramah yang pernah saya hadiri di Bukit Kerinchi, Lembah Pantai) dan terus melekat pada Tun. Datuk Seri Dr Rais Yatim terpaksa membina semula jambatan yang sudah dibakar. Baca buku Talkin untuk Umno tulis Pak Habib Syed Hussein Al-Attas.
Zaman Reformasi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi jelas ‘political cleansing’ yang dilakukan. Kalau tidak, masakan Umno kalah banyak pada PRU 10 dan hilang 2/3 selepas PRU 12.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing. "Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk PAS kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Ada tiga perkara menarik di sini.

i. generasi muda (berkelulusan tinggi) masuk Pas kerana Umno sendiri menyekat.

Betulkah dakwaan ini? Islam itu amat luas dan Pas membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin memperjuangkan Islam menerusi wadahnya. Generasi muda yang memahami Islam melihat Pas sebagai tapak meluaskan segala bentuk amalan kebajikan serta mencegah kemungkaran. Pengaruh gerakan Islam yang sedang berkembang di Malaysia dan seluruh dunia jangan dikesampingkan. Generasi muda sudah bijak menilai antara permata dengan kaca. Mereka telah menyaksikan sendiri perjalanan hidup, perjuangan serta kepimpinan Tun di peringkat nasional dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan.
Jangan menafikan kebijaksanaan golongan berpelajaran tinggi menentukan hala tuju perjuangan mereka. Mereka menggunakan kebijaksanaan menolak parti yang mengabaikan tanggungjawab membela rakyat, mengamalkan pilih kasih, amalan perkauman, menghapuskan biasiswa, menangkap orang tanpa bicara (ISA), memanipulasi pilihan raya IPT dan berbagai-bagai perkara buruk yang menjadi amalan Umno. Ringkasnya, adalah satu kebijaksanaan menolak semua kebejatan itu dan sungguh tidak bijak jika bersekongkol dengannya.

ii. …sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber iaitu berkebolehan, kemampuan, kecekapan berfikir dll (Kamus Dewan)

Maknanya, Tun mengakui bahawa Pas sedang disertai dan dipimpin oleh orang yang berkaliber manakala Umno disertai dan dipimpin oleh orang yang tidak berkaliber. Terima kasih. Pemimpin Pas kena sedar bahawa kalian adalah orang yang lebih berkaliber…Teruskan.

iii. maka ini bermakna semakin lama semakin merosot.

Ya. Umno sedang merosot dan akan terus merosot. Saya memetik pengakuan Tengku Ahmad Ritthaudden bahawa politik wang dalam Umno seperti barah yang semakin merebak. Ia menunggu masa untuk menamatkan riwayat Umno.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

Ahli Umno pun hendak hidup juga. Wang yang diberi pemimpin mereka ambil. Ahli dan pemimpin sekarang sama saja. Bagus tu…

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Betul. Sebab ramai yang tidak berkebolehan maka yang menonjol adalah ketidakbolehan jugalah.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.
"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Tun pernah duduk di atas. Sekarang Tun menyalahkan orang di atas. Ini bermakna Tun perlu menyalahkan diri sendiri juga. Semasa menjadi PM dahulu, bagaimana? Adakah memecat timbalan perdana satu kelakuan baik? Bail-out kerugian syarikat anak-anak sendiri satu perbuatan yang baik? Menghina ulama satu perbuatan terpuji? Sekarang kita tunggu keputusan Mukhriz lawan Khairy pula.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.
"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.
Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.
"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Tidak puas hati adalah faktor universal tumbangnya sesebuah kerajaan di dunia. Rakyat telah memberi isyarat pada PRU 12 yang lalu. Kita minta rakyat memberi jawapan yang lebih padu kepada persoalan Tun ini dalam PRU 13 nanti. Selepas itu, baru kita tahu sama ada betul atau salah dakwaan Tun ini. Kesimpulannya, Tun memang sudah lupa banyak perkara.
Pesan nabi s.a.w ‘Mati dalam keadaan taat lebih baik daripada hidup menderhakai-Nya.’
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 31, 2008   0 comments
Ihtifal Pasti peringkat kebangsaan bermula malam ini.

Ihtifal Pasti peringkat kebangsaan akan diadakan pada 31 Oktober dan 1 November 2008 di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar, Mentalon, Alor Setar, Kedah. Seramai 247 orang peserta akan mengambil bahagian dalam acara-acara nasyid, azan, khutbah, pidato, hafalan Al-Quran, bercerita dan mendeklamasi sajak.
Majlis perasmian akan diadakan pada 31 Oktober jam 8.00 malam bermula dengan majlis makan malam bersama-sama Tuan Haji Abdullah bin Jusoh, Exco Pendidikan dan Teknologi Maklumat, exco kerajaan negeri dan pemimpin Pas negeri Kedah. Seramai 1000 orang dari seluruh negara dijangka hadir memenuhi perkarangan kediaman rasmi MB pada hari pertandingan 1 November 2008 nanti. Majlis penutup akan disempurnakan oleh Exco Penerangan, Kesihatan, NGO dan Pembangunan Insan, Dr Ismail bin Salleh jam 2.30 petang.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 31, 2008   0 comments
Konvokesyen Pasti kawasan Tawau kali ke-22 meriah


Saya dijemput oleh Pasti kawasan Tawau untuk menyampaikan sijil sempena Konvokesyen Pasti kepada murid-murid Pasti dari Tawau, Kunak dan Semporna pada 26 Oktober lalu. Lebih 700 orang murid datang bersama-sama ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Majlis yang meriah dan bermakna itu diadakan di Auditorium Perpustakaan Awam Tawau.


Majlis penyampaian sijil dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi 7.30 hingga 10.00 pagi, sesi 10.30 hingga 12.00 tengah hari dan sesi 1.30 hingga 3.00 petang. Sesi pertama telah disempurnakan oleh Haji Muhammad bin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Sabah, saya sesi kedua manakala Sdr Mohd Nuri Mat Yaakob sesi ketiga. Tahniah kepada murid, ibu bapa, guru dan Jawatankuasa Pasti Tawau. Semoga usaha murni memartabatkan pendidikan Islam khusus kepada kanak-kanak mendapat rahmat dan berkat daripada Allah Taala.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 31, 2008   1 comments
Isnin, 27 Oktober 2008
Referendum terhadap PPSMI
Isu Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

YB Datuk Razali Ismail (DRI): Perbincangan meja bulat siri keempat anjuran Kementerian Pelajaran baru-baru ini bersetuju mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah terus diajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mahu kementerian memperkasakan pengajaran bahasa ibunda, khususnya bahasa Melayu.

Saya:

Sudah empat kali berbincang dan sudah empat kali keputusan berbeza dicapai. Inilah hebatnya para pemikir yang bijak di negara ini. Keputusan yang ketiga dahulu lain, kalau tidak silap. Saya rasa, wang rakyat yang digunakan untuk perbincangan itu lebih baik digunakan untuk membeli generator atau membina jambatan atau aktiviti lain bagi kepentingan murid di kawasan pedalaman seperti di perkampungan orang asli, Sabah atau Sarawak.

Memperkukuhkan pengajaran bahasa ibunda khususnya bahasa Melayu? Kenyataan ini serius atau lawak jenaka? Kalau pemikir dari kalangan orang Cina yang berkata begitu, memang sah pemikir Cina itu bijak. Cuba buat lawatan ke SJKC dan saksikan bagaimana pelaksanaan PPSMI ini. Yang bermasalah ialah cerdik pandai Melayu. PPSMI menyebabkan tujuh mata pelajaran yang diajar di sekolah aliran teknikal telah dan sedang diajar dalam bahasa Inggeris. Hanya subjek BM, Pendidkan Islam dan Sejarah sahaja yang diajar dalam bahasa Melayu sekarang. Nak perkukuh bahasa ibunda siapa? Jangan retorik tuan!

DRI berkata perbincangan juga diberitahu terlalu awal untuk membuat penilaian pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini bagi mengetahui keberkesanan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Saya:

DRI kata masih terlalu awal? Sudah enam tahun dasar ini berjalan dan dapatan awal kajian menunjukkan dasar ini tidak sesuai. Mengapalah susah dan liat sangat para cendikiawan yang berbincang ini membuat keputusan tentang PPSMI? Sewaktu ingin melaksanakan ‘dasar mi segera’ ini, tiada persidangan meja bulat, meja bundar atau sebagainya. DRI pegawai tinggi Kementeian Pelajaran pada masa itu mustahil tidak ingat.

DRI: Katanya, peserta perbincangan berpendapat 2013 adalah masa sesuai membuat penilaian kerana pelajar yang mula belajar Tahun Satu akan menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perbincangan keempat pada 21 Oktober disertai ahli akademik, wakil kerajaan serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta parti pembangkang.

Saya:

Tahun 2013 pula. Kita ingin tahu siapa yang terlibat dalam perbincangan tersebut. Tolong namakan setiap seorang.

DRI: "Perbincangan intelektual diadakan dalam cukup mesra kerana peserta tahu perbincangan ini adalah akademik dan pelbagai pandangan diberikan bagi memperkasakan sistem pendidikan negara," katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini semalam. Hasil perbincangan akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk diputuskan. "Kita juga mengambil kira pandangan sektor awam tetapi keputusan muktamad diputuskan Menteri Pelajaran dan perlu mendapat restu Kabinet," katanya.

Saya:

Sudah empat kali para intelektual berbincang namun tiada satu pendirian dibuat. Hebat! Bukan pandangan sektor awam sahaja yang perlu diambil kira tetapi semua pihak. Bijakkah menyerahkan perkara yang besar dan penting ini kepada seorang Menteri? Tidak biaskah nanti? Suara dan pandangan ibu bapa empunya anak di sekolah wajib diutamakan. Saya cadangkan kerajaan membuat referendum terhadap PPSMI. Kita mulakan referendum di negeri Johor. Setuju?
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Oktober 27, 2008   0 comments
Jumaat, 24 Oktober 2008
Tazkirah: Fikir dan Bertindaklah!
Sabda Rasulullah s.a.w.

“Apabila umatku melakukan lima belas perkara maka teruslah bala ke atas mereka. Maka ditanya: Apakah perkara-perkara itu wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila harta yang menjadi habuan bertukar tangan dalam kalangan orang tertentu, amanah dianggap peluang atau kesempatan, zakat dianggap denda atau hutang, orang lelaki mematuhi isteri dan menderhakai ibu, berlembut dengan rakan, berkeras terhadap bapa, diangkat suara dalam masjid (kerana bertengkar), orang yang hina (dengan kejahatan) menjadi pemimpin, dihormati seseorang kerana takutkan kejahatannya, arak diminum (berleluasa), lelaki memakai sutera, diambil penyanyi wanita dan alat-alat muzik (memuja hiburan dan ahlinya), dan orang yang kemudian dalam kalangan umat ini mengutuk orang yang dahulu, maka tunggulah ketika itu, bencana angin merah membakar, atau gerhana, atau bencana yang memusnahkan.”

Hadis Riwayat At-Tirmizi
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 24, 2008   0 comments
Rabu, 22 Oktober 2008
Jika DS Dr Rais membaca ayat ini...
1. Datuk Seri Dr Rais Yatim (DSDRY) berkata; "Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua. Kalau begitu Umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang.” Bernama memetik beliau berkata.

Komen.

Hebat DSDRY! Macam mohon projek nampaknya. Kalimat tersebut pernah disebut oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba pada awal 1990-an dulu. Ini menunjukkan pemimpin Melayu Umno banyak wang dan tidak miskin. Yang miskin mungkin ahlinya. Kasihanilah mereka. Kami tiada wang dan tiada projek. Kalau ada pun, kami ingin memajukan parti kami. Kalau saya ada wang, saya mahu memberi kepada murid buku Pasti percuma, menambah elaun guru, elaun pasukan pengurusan, membaiki prasarana dan lain-lain lagi. Kami menggunakan wang gaji sendiri untuk menjayakan program Pasti. Tidak percaya? Boleh tanya ALP kami.

2. "Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan. Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa. "

Komen.

a. Macam mana nak selesai? Tiada watak hero dan heroin dalam parti DS sebab mereka telah ‘dibunuh’ atau ‘terbunuh’. Dulu, saya ingatkan DS heronya. Rupanya bukan.
b. Wajarkah perkataan budaya, diguna pakai dalam konteks politik wang Umno ini? Saya merujuk Kamus Dewan sekali lagi untuk menentukan kewajarannnya. Kita belajar bahasa Melayu hari ini. Perkataan budaya itu membawa takrifan seperti berikut:
i. tamadun, peradaban
Adakah perbuatan politik wang atau rasuah itu satu perbuatan bertamadun atau ada peradaban? Tidak. Ia adalah alat meruntuhkan tamadun atau peradaban. Manusia bertamadun tidak menerima judi sebagai perbuatan bermaruah, begitu jugalah rasuah.
ii. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dsb)
Apa kemajuan fikiran atau akal budi yang ada pada orang yang rasuah? Mampukah mereka, pemberi atau penerimanya membawa kemajuan? Tidak mungkin. Oleh sebab tidak mampu memajukan diri dan masyarakatlah, maka dia melakukan rasuah.

Orang yang melakukan rasuah itu ada akal dan ada budikah? Bagi mereka yang mengatakan ‘ya’, maknanya mereka mengakui bahawa ‘perasuah telah menggunakan akal untuk berbudi kepada penerima rasuah.’

Oleh itu, perkataan budaya tidak sesuai diguna pakai dalam konteks rasuah politik Umno itu. Jadi, apakah istilah tepat menggantikan perkataan budaya itu?

Saya berpendapat perkataan yang sesuai ialah perkataan ‘membuayai’ sebab perkataan itu hampir sama fonetiknya tetapi berbeza maksudnya namun tepat kepada makna perlakuan rasuah itu. Membuayai bermaksud menipu dan mengakali. Kenapa perkataan ini? Mudah jawapannya. Masing-masing iaitu yang memberi rasuah dan menerima rasuah politik itu saling menipu dan mengakali. Tidak begitu? Fikir dan renungkan!

c. Macam mana ahli dan pemimpin ingin mengakuinya? DS menentang amalan itu sewaktu bersama Team B dan PMS46 dulu. Tahun 1996, rujuk semula secara ‘enblocked’. Sekarang, mereka tiada contoh untuk meneladani perjuangan orang terdahulu. Bagus juga meminta rakyat menghukum perbuatan terkutuk itu, sebelum Allah Taala menghukum ketika di akhirat nanti sebab pemberi dan penerima rasuah itu tempatnya di neraka. Sanggupkah di dunia kena hukum, di akhirat kena lagi?

3. Sebelum ini, Rais mendedahkan beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan Umno, Mac tahun depan.

Komen.

Soalan saya, DS beri atau tidak? Aaaaa….

4. Beliau, yang juga menteri luar, berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilih pemimpin yang benar-benar layak, Malaysiakini memetik laporan agensi berita AFP.

Komen.

Mengeluh nampaknya pemimpin yang pernah ‘membakar jambatan kemudian membina jambatan lain untuk menuju puncak di seberang.’ Apa yang hendak dikeluhkan? Dalam pendidikan, ada teori pelaziman operan oleh Igor Pavlov. Nampaknya teori itu berkembang subur dalam parti DS. Mereka mungkin benar-benar tiada wang atau menjadikan musim pemilihan sebagai sumber pendapatan musiman yang lumayan. Bukankah itu ajaran pahlawan-pahlawan bangsa? Pilihanraya wang. Ketua kawal 10 (K10) wang. Tampal poster wang. Hadir mesyuarat wang. Semuanya wang. Demikianlah kesudahan yang sedang menimpa Umno.

Akhirnya, renunglah maksud ayat Al-Quran, surah an-Nur: 55 ini. “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal solih di kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan kamu khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Ia juga akan akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, “Mana-mana pemimpin yang memusnahkan rakyat yang dipimpinnya, maka dia masuk neraka.” (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Ma’qal bin Yasir). Renungkanlah!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, Oktober 22, 2008   0 comments
Jumaat, 17 Oktober 2008
Tazkirah: Ada 13 hari lagi..
Sekadar mengingatkan kepada para sahabat yang dikashi. Kita masih ada 13 hari lagi.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari, katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya; “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seumpama puasa sepanjang tahun.”

Daripada An-Nasa'i dan Ibn Hibban, Rasulullah s.a.w telah bersabda; “Puasa sebulan Ramadan sama dengan puasa selama sepuluh bulan dan puasa selama enam hari selepasnya menyamai puasa dua bulan, maka dengan yang demikian puasa satu tahun.”
Mudah-mudahan dapat membaiki amalan kita dan moga kita ditempatkan dalam kalangan umat yang solih. Aamin..
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 17, 2008   0 comments
Selasa, 14 Oktober 2008
Ikan Paus
Saya membaca laporan dan melihat gambar ikan paus sepanjang 10 meter dan seberat lebih tiga tan terdampar di beting pasir di pantai Kampung Kuala Nenasi, dekat Pekan, Pahang di dalam Berita Harian hari ini. Memang luar biasa. Hikmah di sebalik kehadiran mamalia terbesar yang 'tersesat' itu, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya. Dia yang mengatur perjalanan segala makhluknya baik di langit mahupun di bumi. Yang menjadi renungan ialah ia terdampar di pantai dalam daerah Pekan di negeri Pahang, dan tidak di tempat-tempat lain seperti di Kelantan atau Terengganu atau Johor. Dalam sejarah Islam, Ibn Sirin r.a adalah pakar dalam mentafsir mimpi. Akan tetapi, apa tafsiran dan siapa pula mampu mentafsir peristiwa ini? Wallahu a’lam.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Oktober 14, 2008   2 comments
Isnin, 13 Oktober 2008
Selamat Menduduki Peperiksaan PASTI dan PMR
Selamat menduduki peperiksaan akhir tahun 2008 kepada semua murid Pasti dan calon PMR di seluruh negara. Bijak pandai berkata, kecemerlangan pada hari esok bermula dengan langkah pertama pada hari ini. Semoga usaha kalian mendapat keberkatan daripada Allah Taala hendaknya.

Azrin Bin Ab. Majid
Ketua Pengarah Pasti Malaysia
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Oktober 13, 2008   0 comments
Ahad, 12 Oktober 2008
Apa kata Tun Perak, Hang Tuah dan Hang Jebat?
Shah Rukh Khan (SRK) menerima gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Khalil Yaakob. Tun Daim Zainuddin bekas Menteri Kewangan yang mencadangkan namanya dan akan menguruskan kedatangan pelakon itu pada bulan depan. Dia dianugerah Darjah Mulia Seri Melaka, bintang tertinggi keempat pula. Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, jika berjaya SRK akan mengambil peluang merakamkan filem terbarunya di sini. Oooo!

Demikianlah hebatnya negeri Melaka Bersejarah. Beberapa tahun lalu, heboh berita ‘Datuk RM20,000.00’ di Melaka. Ada yang baru berumur 30-an telah bergelar Datuk. Entah apa sumbangannya kepada agama, bangsa dan tanah air, kita pun tidak tahu. Kali ini, pelakon kontroversi itu pula yang mendapat tempat. Apa pula hubungan Tun Daim dalam meraikan hari jadi otai Umno ini? Oh, ya! Tun Daim bekas Bendahari, Tun Khalil pula bekas Setiausaha Agung Umno, zaman Tun Mahathir.

Wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, aktivis NGO, pengerusi JKKK dan juak-juak Umno/BN yang bertungkus-lumus membantu rakyat siang malam, pagi petang, banjir kemarau, ribut taufan, di hulu di hilir, di bukit di gunung, di darat di laut haram tidak mendapat bintang setinggi itu. Orang Pas, PKR dan DAP jangan mimpi! Mungkin wakil-wakil rakyat yang baru terpilih selepas PRU 12 yang lalu belum layak, tidak banyak menyumbangkan bakti dan tidak menonjol berbanding SRK agaknya. Ya, mungkin sebab ada yang sudah enam bulan bergelar YB, bersolat Jumaat, jamaah dan bertarawikh di masjid-masjid dalam DUN pun tidak pernah. Tok-tok imam dan khatib yang mendoakan kesejahteraan beliau saban Jumaat lagilah langsung tidak dipandang. Kenalah tunggu hari jadi ke-71, nampaknya. Itu pun kalau ada umur. Nasiblah lu, mamat!

Zaman kerajaan Islam Melaka, Hang Tuah dianugerah kebesaran kerana menumpaskan penyamun. Tun Perak dianugerahi kebesaran kerana kebijaksanaan dalam menggerakkan misi hubungan dalam negeri dan antarabangsa serta kehebatan sebagai panglima dalam meluaskan wilayah Melaka menerusi misi dakwah bil quwah. Tambahan pula, Sultan Muhammad Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah misalnya, terkenal dengan sifat warak. Islam berkembang di Nusantara serta daulah Islam terbentang kerana kesungguhan dan istiqamah para ulama dan umarak. Istana tempat rakyat mengaji Islam. Selain pedagang, ulama dari benua India yang ramai datang ke Melaka, bukan pelakon Bollywood!
Profesor Datuk Mohd Yusuf Hashim, guruku dan mahaguru sejarah Melaka boleh ceriterakan kepada pembesar Melaka kini akan kehebatan sultan dan pembesar zaman kerajaan Islam Melaka dahulu. Bacalah dengan teliti buku ‘Sulalatus Salatin’ karangan Tun Sri Lanang dan Kerajaan Melayu Melaka karangan beliau. Hang Tuah, jika masih hidup pasti tergelak dengan perangai pembesar Melaka yang bijak lagi lawak kini. Hang Jebat, dalam pemikiran Tun Musa pula dijustifikasikan wajar bangkit pada zaman itu dan zaman beliau. Rakyat Melaka kini, bagaimana?
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Oktober 12, 2008   2 comments
Jumaat, 10 Oktober 2008
Tazkirah:Kelebihan Hari Jumaat
Pagi ini, 10 Syawal 1429, saya memetik beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w sebagai peringatan dan renungan bersama. Moga ada manfaatnya untuk kita semua.

1. Daripada Abu Salmah daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda; 'Sesungguhnya hari yang terbaik di mana matahari terbit padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan. Pada hari itu juga dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu juga dia dikeluarkan daripada syurga. Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.'
2. Abdullah bin Mundzir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda; 'Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan yang terbesar di sisi Allah. Ia adalah hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari raya fitri. Pada hari itu telah terjadi lima perkara iaitu penciptaan Adam, pada hari itu dia dikeluarkan daripada dari syurga, pada hari itu juga dia diwafatkan dan pada hari itu terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba itu meminta sesuatu daripada Tuhannya melainkan akan dikurniakan kepadanya selagi tidak meminta yang haram. Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang malaikat muqarrabin pun di sisi Allah azza wajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.'
3. Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh para sahabat mengapa hari tersebut dinamakan hari Jumaat. Rasulullah menjawab; 'Lantaran pada hari itulah tanah yang dijadikan darinya Adam diuli dan diadun, pada hari itu terjadinya tiupan sangkakala yang pertama (kiamat terjadi pada hari Jumaat) dan hari kebangkitan dan pada hari itu juga doa seseorang dikabulkan oleh Allah s.w.t.'
Kalau difahami satu persatu kata-kata Rasulullah s.a.w itu telah menyampaikan berita gembira dan berita sedih lagi menakutkan kepada umat baginda sebagai bahan berfikir dan bertindak menuju keredaan Allah Taala.
Berita gembira ialah tentang kejadian Adam, Adam dimasukkan ke syurga dan janji Allah memakbulkan doa orang-orang yang beriman.
Berita sedih lagi menakutkan ialah Adam dikeluarkan dari syurga, tentang kematian, tiupan sangkakala, hari kiamat dan hari pembalasan.
Orang berniaga mengambil berkat Jumaat. Orang yang inginkan kelapangan rezeki mengambil berkat Jumaat. Pelajar mengharapkan kelebihan Jumaat. Apatah lagi orang berjuang di jalan Allah lebih-lebih lagi mengharapkan keberkatan Jumaat. Berdoalah untuk kesejahteraan dan kebaikan pemimpin, jamaah, sahabat, keluarga, masyarakat serta umat. Tan Sri Muhyiddin Yassin pun memilih hari ini untuk membuat perisytiharan apa jawatan yang ingin ditandingi kerana mengambil berkat hari Jumaat.
Kita semua daripada keturunan Adam. Semoga setiap turun naik nafas dan langkah kita adalah untuk menuju kembali ke syurga. Al-Quran dan as-Sunnah adalah panduannya. Muhasabahlah kita!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 10, 2008   1 comments
Khamis, 9 Oktober 2008
Akhiri dengan Tasbih Kafarah
Perisytiharan Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno, bermakna parti tersebut akan mendapat Presiden baru menjelang bulan Mac 2009 nanti. Siapa? Mungkin Datuk Seri Najib Razak.

Saya menulis kali ini untuk menyampaikan nasihat seorang rakyat biasa kepada pemimpin negara itu. Dalam sejarah kepimpinan Melayu disebut, antara ‘orang yang dipimpin’ dengan ‘orang yang memimpin’ atau ‘orang diperintah’ dengan ‘orang yang memerintah’ dan ‘anak’ dengan ‘bapa’. Tidak salah, bukan?

Lagipun, beliau adalah Menteri Pelajaran sewaktu saya bersekolah menengah dahulu. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Pendidikan sewaktu saya di universiti. Kedua-dua anak Pulau Mutiara ini pernah menjadi timbalan perdana menteri. Pak Lah akan bersara sebagai PM manakala DSAI pernah menjadi pemangku PM. Sebagai PM, DSAI belum lagi. Kita doakan apa-apa yang terbaik untuk mereka!

Sebagai Menteri Pelajaran, beliau menasihati kami supaya belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya dan membantu pembangunan negara. Sebagai seorang pelajar ketika itu saya telah menunaikan amanah yang diberikan. Begitulah juga nasihat dan amanah ibu bapa saya. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz mengingatkan, bukan sahaja kita hendak berjaya di dunia tetapi kita mesti berjaya di akhirat. Alhamdulillah, masing-masing sedang dan telah memainkan peranan tersebut.

Sewaktu di sekolah menengah, saya aktif dalam persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Pernah saya mendapat naib johan dalam pertandingan pidato GPMS peringkat negeri Melaka 1985 dan mengikuti kursus kepimpinan zon selatan di Tapian Gelanggang, Paroi. Saya dalam tingkatan 6 Atas pada tahun itu. Cikgu Ahmad Jawahir, Hj Mohd Dali dan Hj Hasan Sidek adalah guru pembimbing saya dan mereka adalah orang kuat GPMS Melaka ketika itu. Pak Lah pula adalah pemimpin GPMS nombor satu. Saya masih berhubung dengan mereka walaupun sudah lebih 23 tahun meninggalkan alam persekolahan. Cikgu Ahmad adalah orang kuat Pak Lah di Melaka sekarang. Hj Mohd Dali, adalah Bendahari Agung KOPENAS. Hebat guru-guruku!

Sewaktu Pak Lah mengambilalih kuasa daripada Tun Dr. Mahathir pada 31 Oktober 2003, saya telah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka sesi 2003-2005. Seorang pegawai polis cawangan khas menelefon dan meminta komen saya tentang pelantikan dan kepimpinan Pak Lah. Saya menyatakan harapan supaya Pak Lah mengubah pendekatan politik terhadap pembangkang, membaiki taraf ekonomi dan sosial rakyat. Harapan saya dan seluruh rakyat pada masa itu adalah sama seperti janji Pak Lah untuk membanteras rasuah. Semalam, Pak Lah mencadangkan satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan dibentang di Parlimen minggu depan. Masih belum selesai lagi kerja Pak Lah ni!!!

Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Pak Lah satu perkara sebelum pergi meninggalkan kekuasaan negara. Sejak menjadi Menteri Dalam Negeri dan PM kini, ratusan orang telah ditahan melalui ISA. Sebelum meninggalkan jawatan dan sebelum menghadap Allah Yang Agung, saya mengingatkan supaya mereka yang ditahan dibicarakan di mahkamah. Jika tidak, bebaskanlah mereka.

Saya memetik kata-kata Pak Lah semalam dalam isu hubungan kaum dan agama yang dikatakan semakin merosot sekarang iaitu, ‘Isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, menerusi dialog; tangani isu ini secara konstruktif dan adil bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan dan berikan fokus kepada aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek yang makin memecahbelahkan kita.’

Kalau benarlah itu harapan Pak Lah, kembalikanlah suami yang ditahan kepada anak-anak dan isteri mereka. Tidakkah Pak Lah dapat merasakan betapa gembira dan bahagianya Nory, Khairy, Kamaludin dan ibu Jeanne serta sanak keluarga, apabila ayah dan suami tercinta berada di sisi?

Kalau seseorang pegawai bersara, pelbagai hadiah diterima. Daripada yang sekecil-kecil hadiah, sehinggalah yang sebesar-besarnya. Salahkah Pak Lah memberi hadiah yang paling bermakna kepada keluarga tahanan ISA itu? Ada yang sudah enam tahun terpisah, Pak Lah! Kebajikan itu adalah seperti setitis air yang mengalir dari hulu sampai ke hilir kemudian ke lautan. Jangan tinggalkan beban ini kepada Perdana Menteri yang baru.

Akhirilah kekuasaan pemerintahan sepertimana kita mengakhiri kuliah tok guru dengan tasbih kafarah dan surah al-asr.
Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagi-Mu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain-Mu, aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.’
‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal solih. Nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat- menasihati supaya menetapi kesabaran.’
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Oktober 09, 2008   2 comments
Selasa, 7 Oktober 2008
Lu Fikirlah Sendiri!

Beberapa premis kenyataan Datuk Seri Adnan Yaakob menarik untuk difikirkan.

1. "saya risau dengan perkembangan sekarang kerana semakin ramai mencalonkan diri bertanding jawatan tertinggi....apa yang berlaku umpama anak berebut harta sedangkan ibu bapa masih ada."

Komen: Sebagai parti yang terkenal dengan amalan demokrasi, apatah lagi mereka yang menawarkan diri telah menyatakan keikhlasan serta mendapat sokongan padu daripada ahli peringkat akar umbi, maka mencalonkan diri tiada salahnya malah memang kena pada masanya.

Apalah sangat dibimbangkan dengan berebut harta tatkala ayah bonda masih hidup? Bukankah ayah bonda kaya raya? Petrol pun dah tinggi harganya dan untung pun mencecah ratusan billion. Berebut di depan mata ayah bonda barulah jantan namanya.

2. "bagi saya ini hanya menggambarkan Umno sebagai tempat memperjuangkan kepentingan diri mereka saja."

Komen: Tahniah atas pengakuan terbuka ini. Saya yakin semua orang setuju dengan kenyataan ini. Pendekkan cerita, 'Kalau bukan sekarang, bila? Kalau bukan Umno, siapa??

3. "Jika ada pihak mahu menuduh Umno Pahang sebagai lalang, mereka boleh berbuat begitu tetapi kita tidak akan buat sebarang pendirian...bagi saya, dunia sudah gila sekarang sebab ramai gila jawatan," katanya.

Yang ini, saya nak komen panjang sedikit.

a. Kesian Pahang. Dah tinggal lalang saja? Mana pergi balak yang banyak? DS Adnan tahu jawapannya. Tan Sri Khalil, TYT negeriku Melaka Bersejarah, lagi tahu. Orang kampung semua dah tahu.

b. Saya tertarik dengan pemilihan peribahasa gila jawatan oleh DS Adnan. Dalam bahasa Melayu banyak peribahasa atau ungkapan yang bermula dengan perkataan gila. Misalnya, gila bahasa, gila ekor, gila talak, gila judi, gila meroyan, gila perempuan, gila kuasa, gila babi dan gila-gila.

Pemilihan peribahasa Melayu gila jawatan oleh beliau membawa banyak tafsiran dan kesan. Saya merujuk Kamus Dewan edisi keempat untuk mencari jawapan dalam menentukan kategori manakah mereka yang mencalonkan diri itu dimaksudkan oleh DS Adnan.

Perkataan gila bermaksud;

i. tidak sihat atau tidak waras fikirannya (otaknya, ingatannya),

ii. penyakit tidak sihat otak (fikiran, ingatan),

iii. tidak seperti yang seharusnya (semestinya, selalunya), tidak normal, luar biasa,

iv. terlalu gemar (asyik, sayang, cinta dll) akan sesuatu.

Manakala perkataan jawatan bermaksud kedudukan dalam pekerjaan yang menentukan tugas seseorang.

DS Adnan mnggunakan perkataan 'gila' tanpa menentukan yang mana satu daripada empat makna di atas terhadap situasi 'mencalonkan diri' itu. Maka, yang mana satu gila jawatan yang dimaksudkan oleh beliau itu?

Adakah maksud DS seperti makna (i), atau (ii) atau (iii) atau (iv) atau keempat-empat sekali? Anda pilih yang mana?

DS Adnan memang terkenal dengan kenyataan sinikal seperti itu. Lebih sebulan lalu, DS Adnan ada menyatakan minat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Mungkinkah minat beliau itu ada kena-mengena dengan keadaan 'dunia sekarang' seperti yang dinyatakannya dan beliau termasuk dalam makna perkataan peribahasa yang saya nyatakan di atas?

Saya meminjam kata-kata Nabil, "Lu fikirlah sendiri"!

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Oktober 07, 2008   1 comments
Ahad, 5 Oktober 2008
Ironi
Ada berita penting yang perlu diberi perhatian dan menjadi bahan berfikir kita bersama.

Pertama, fikirkan pandangan Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain, seorang penganalisis politik dan pemikir Umno. Katanya, 'mereka yang kalah dalam pemilihan Umno sepatutnya mendokong dan menyokong kumpulan yang menang. Sama juga seperti pembangkang, sepatutnya menerima kekalahan dan menghormati parti yang menang (memerintah kerajaan).' Begitulah indahnya pandangan seorang yang terpelajar, tinggi pula ilmu lagi luas pula analisisnya.

Sekali pandang, pendapat beliau memang baik dan patut menjadi amalan. Tetapi, adakah ia benar berlaku dalam konteks politik Malaysia? Jawapannya tidak. Dalam Umno, pertandingan membawa permusuhan. Ia bukan setakat tidak menyokong pemimpin yang menang tetapi dalam sejarah Umno, pertandingan membawa pembunuhan.

Sejarah juga telah mencatatkan banyak hal yang dilakukan oleh Umno/BN dalam hubungannya dengan parti pembangkang. Profesor boleh membuat kajian terhadap negeri yang diperintah PR. Kalau tidak, boleh arahkan para pelajar di bawah seliaan membuat kajian lapangan.

Saya ingin beri satu contoh sahaja. Bukankah Umno/BN menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan di semua negeri yang diperintah PR? Tuan Guru dan rakyat Kelantan telah melalui 18 tahun pengalaman 'kerajaan dalam kerajaan' yang diwujudkan oleh Umno/BN. Jangan-jangan Prof. sendiri salah seorang pemikir Umno/BN yang mencadangkan idea tersebut. Mana tahu?

Kedua, ketika DS Mohd Ali Rustam, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Nur Jazlan telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, Datuk Shahrir Samad, 59 pula mengisytiharkan tidak akan bertanding mana-mana jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno nanti. Beliau ingin memberi peluang dan membuka ruang kepada pemimpin muda untuk tampil dalam barisan kepimpinan. Ada dua kemungkinan beliau membuat keputusan tersebut. Mungkin beliau benar-benar ikhlas atau mungkin juga beliau cuba menguji sokongan daripada bahagian-bahagian. Saya berpendapat Datuk Shahrir serius.

Datuk Shahrir adalah antara Menteri yang terpelanting bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga Umno, selepas pertempuran Team A dan Team B tahun 1987. Beliau berpengalaman dan telah melalui kemelut dalam Umno sejak zaman Tun Dr. M sehinggalah sekarang zaman Pak Lah pula. Realitinya, kini Team B yang mengetuai Umno dan kerajaan. Kemelut dan pertarungan sekarang lebih dahsyat. Mungkin beliau menjangkakan sesuatu...Wallahu a'lam.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Oktober 05, 2008   0 comments
Sabtu, 4 Oktober 2008
Berguru Kepalang Ajar

Saya mendapat mesej (sms) daripada seorang kawan lama zaman persekolahan dahulu. Mungkin 'sms' ini telah tersebar dalam kalangan orang 'Melayu sejati' seperti dia, agaknya.

Dia kata, Saya jawab.

Dia : SALAM AIDIL FITRI...MAAF ZAHIR BATIN..

Saya: Terima kasih atas ingatan.

Dia : Orang Melayu itu bangsa berbahasa,

Saya: Betul tu. Tapi kenapa sains dan matematik tidak ajar dalam bahasa Melayu ? Tak tahukah enam subjek dalam aliran sains tulen dan tujuh subjek dalam aliran teknik tingkatan empat kini diajar dalam bahasa Inggeris? Mana nak letak bahasa kita? Bacalah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan .

Dia : Orang Melayu itu bangsa beradab,

Saya: Yang menuduh orang tanpa saksi, bersumpah di sana-sini, yang tak mau jumpa rakyat tu beradab ke namanya?

Dia : Orang Melayu itu bangsa beradat,

Saya: Bawa artis Barat, anjur konsert sana-sini, tidakkah menjahanamkan adat namanya? Yang jaga adat kata, biar mati anak jangan mati adat. Sekarang, anak mati, adat pun mati.

Dia : Melayu itu Islam,

Saya: Belum tentu semua. Lina Joy, Kamarudin Abdullah, Ayah Pin apa agamanya sekarang? Yang tolak hukum hudud, qisas dan ta'zir tu Islam ke tidak? Melayu tidak beriman dengan undang-undang tersebut, Islamkah agamanya?

Dia : Melayu taat setia pada Raja Sultannya,

Saya: Betul ke taat? Yang bergaduh dengan raja sultan dulu dan buang kuasa raja sultan tu siapa? Dulu dia Presiden parti yang kau sokong bukan?

Dia : Zaman berzaman Melayu percaya adanya Tuhan,

Saya: Setakat percaya saja, umat nabi-nabi terdahulu dan Arab Jahiliah lebih dulu percaya. Percaya dengan beriman tu samakah? Yang penting beriman dengan uluhiyah, rubbubiyah, asma wassifat bro!

Dia : Melayu banyak petua dan falsafahnya...

Saya: Antara dua perkara itu dengan kalamullah, sunah rasul-Nya dan hikmah ulama, yang mana lebih baik ?

Dia : Pantang Maut sebelum ajal,

Saya: 'Walikulli ummatin ajal'. Setiap umat itu ada ajalnya. Sejak merdeka, berjuta anak bangsa sudah mati sebelum ajal. Tidak nampakkah?

Dia : Agamanya jangan engkau ludahi,

Saya: 'Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada kitab, dan kufur pada sebahagian yang lain?'

Dia : Maut padahnya nanti,

Saya: Para samseng pun akan mati juga akhirnya..

Dia : Raja Sultannya jangan engkau langkahi,

Saya: Parti apa yang telah mencatat sejarah itu..?

Dia : Sanggup bertikam berlembing,

Saya: Dah kuat sangat ke? Jangan cari pasal.

Dia : Bercerai nyawa dari badan kamu nanti,

Saya: Jangan menjual terlalu murah. Nanti ada yang membelinya...

Dia : Biar putih tulang jangan putih mata,

Saya: Mati dalam ketaatan kepada Allah lebih baik daripada hidup menderhakai-Nya.

Dia : Hidupnya Melayu biar miskin harta,

Saya: Ini ajaran songsang pemimpin kamu. Pemimpin songlap kekayaan. Yang kaya biar dia sorang, orang lain biarlah jadi macam yang kau kata. Negara ini kaya. Tugas kami mengagihkannya menurut acuan Islam.

Dia : Jangan miskin budi bahasa,

Saya : Ibu bapa dah didik budi bahasa. Yang hendak diajar ialah orang yang tidak reti bahasa.

Dia : Merdekanya Melayu dengan gema MERRRRRDEKAAA!!!

Saya: Sejak datangnya penjajah kumpulan Islam berjihad dengan darah dan air mata..Yang merompak kemerdekaan dan 'dianugerah' kemerdekaan daripada British ialah Umno/Perikatan. Tak faham sejarah?

Dia : Bukan kecil langkah Melayu,

Saya: Para syuhada tempatnya di syurga. Para nasionalis di mana?

Dia : Hampir lima abad menjadi hamba,

Saya: Para mujahid menghambakan diri hanya pada Khalik, bukan sesama manusia. Dia menggantikan kehidupan dunia dengan keluasan hidup di akhirat.

Dia : Bermandi darah dan keringat, Membasahi tanah bertuah ini,

Saya: Kemerdekaan dengan cara apa? Tidak layak nak cakap..retorik!

Dia : Tanah ini Melayu empunya.....**/**

Saya: Bumi dan alam ini milik Allah. Dijadikan manusia berbangsa-bangsa supaya saling kenal-mengenal. 'Orang yang Kami beri kekuasaan memerintah di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada kemungkaran, dan bagi Allah terserah segala urusan.'

Dia : HIDUP MELAYU!!!!

Saya: Islam Untuk Semua. Tegakkan keadilan, runtuhkan kezaliman. 'Masuklah Islam sepenuhnya, dan jangan turuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya, ia musuhmu yang amat nyata.'

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Oktober 04, 2008   0 comments
Jumaat, 3 Oktober 2008
Ya, Allah Makbulkanlah Doa Mereka!
Pertama, saya berdoa semoga Allah Yang Agung mengurniakan kesejahteraan, ketabahan serta memakbulkan apa jua doa para isteri dan anak-anak tahanan ISA.

Saya ingin menulis berkaitan ISA, sudah lama. Tulisan Sdr. Azamin Amin, dalam ruangan Fikrah muka surat 24, sisipan Harakah bertajuk 'Acik, bawa ayah balik ya...' serta berita oleh Anis Nazri amat menyentuh naluri kebapaan, kemanusiaan, persaudaraan yang mendalam dan menitiskan air mata.

Berita perdana TV3 jam 8.00 malam ini pula menyiarkan segmen ISA. Menurut seorang pensyarah undang-undang, Singapura, Israel, Amerika Syarikat, England, India, Pakistan, Sri Lanka dan negara-negara lain yang jumlahnya 25 buah, mengamalkan undang-undang semacam ISA di Malaysia. O, Malaysia macam Israel dan Amerika, ya!

Saya mula mengenali Ordinan Darurat 1948 dan ISA 1960 sewaktu mempelajari Sejarah Malaysia tingkatan 3 di bawah tajuk Darurat. Mereka yang menduduki SRP tahun 1981 dan SPM 1983 pasti membaca bab tersebut. Pada 1985, ketika mengambil STPM, saya mengikuti banyak rencana tentang ISA khususnya selepas berlaku Peristiwa Memali yang menyebabkan Ustaz Ibrahim Libya dan 13 yang lain syahid.

Pada sesi 1988-89, saya mengambil kuliah 'Politik Malaysia 1950-1980-an' yang disampaikan oleh Encik (Datuk) Mahadzir Mohd Khir, di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Bekas guru saya ini pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani dan Timbalan Menteri Pelajaran. Kronologi politik Malaya pasca Perang Dunia Kedua telah saya pelajari termasuklah ISA. Pada 1987, ramai pemimpin politik pembangkang ditahan di bawah akta sial itu menerusi Operasi Lalang.

Saya tidak bercadang menulis nota kuliah mengenai ISA itu, tetapi sekadar mengimbau isi kandungan kuliah beliau yang menyatakan bahawa kebanyakan tahanan tanpa bicara ISA ketika pramerdeka dan pascamerdeka adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) serta pemimpin pembangkang seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi (Pas) dan Ahmad Boestamam. Bacalah buku 'Hari-hari Aku Dizalimi' dan 'Suara Dari Kamunting' oleh Saari Sungib. Semoga ia dapat melembutkan hati yang keras dan menghidupkan hati yang mati!

Kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat hingga enam tahun berjumlah lebih 1.5 juta orang di seluruh negara. Mereka adalah seusia dengan anak-anak Puan Hidayu Kamrulzaman, Puan Shamie Aza, Puan Siti Hajar Ibrahim, Puan Jobaidah Ismail dan lebih 60 orang isteri tahanan ISA yang lain. Bezanya, anak-anak mereka adalah mangsa kezaliman ISA dan mangsa kejahilan orang tidak mengetahui nikmat dan hikmah memeluk anak-anak kecil itu pada pagi raya, sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sebabnya, mereka sedang seronok memeluk kekayaan dan kekuasaan dunia yang sementara.

Anak-anak dan isteri-isteri tahanan menyambut aidil fitri tanpa bapa dan suami tercinta. Satu hari yang dinantikan berlalu bagaikan seribu tahun lamanya. Si anak tiada bapa untuk bermanja. Tiada bapa yang memeluknya dalam kedinginan malam apatah lagi pada pagi raya yang mulia. Dia terus membesar tetapi tidak sama seperti kanak-kanak berbapa yang seusia dengannya. Para isteri sudah kering air mata. Mereka menatap kenangan manis bersama suami tercinta dan menempuh kehidupan dengan hiba. Kasih sayang mereka direntap oleh akta durjana!

Hari Raya sudah tiga hari berlalu namun belum ada berita tentang tahanan akan dibebaskan. Permohonan maaf zahir batin oleh pemimpin yang hipokrit itu tiada bermakna. Pembangunan modal insan tiada ertinya kerana air mata para isteri dan anak tahanan saban hari 'dimakannya'. Hindraf yang ingin berjumpa pun dihamunnya pada pagi raya.

Saya teringat kata-kata karamah Tuan Guru Haji Jalaludin Abdul Wahid dalam satu usrah bulanannya sekitar 1994 dahulu. Beliau berkata, 'Islam bukan dinilai daripada baka keturunan. Kalau ibu bapa kita seorang pejuang Islam, kita wajib mengikut jejak langkah mereka yang mulia itu, tetapi jika ibu bapa kita daripada perjuangan asabiah, maka kita wajib memutuskan pertalian pejuangan jahiliah tersebut.'

Ibuku mendidik anak-anaknya supaya menjaga maruah dan jangan menjahanamkan nama baik keluarga. Pak Lah, ingatlah bahawa kita semua pasti akan bertemu janji Allah!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 03, 2008   0 comments
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER