CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Jumaat, 31 Oktober 2008
Tun Dr M sudah lupa?
Tindakan Umno menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi menyebabkan mereka menyertai PAS, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Umno, kata beliau, seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

Alhamdulillah. Dakwaan Tun mungkin ada benarnya. Cuma kita mahu tahu, bila mereka disekat dan mengapa disekat? Mungkin faktor sekatan menjadi satu sebabnya. Ada banyak faktor lain. Mungkin tidak ramai cerdik pandai yang menjadikan ia faktor major. Saya meletakkan faktor kesedaran Islam sebagai punca utama mereka tidak bersama Umno. Pas parti Islam, Umno nasionalis Melayu. Samakah antara Islam dengan kebangsaan? Samakah Al-Quran dengan buku The Prince atau Sejarah Melayu?

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan. Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," mStar Online memetik bekas Presiden Umno itu berkata dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani.

Sekarang Tun menyalahkan ketua cawangan pula. Nasib kaulah Labu. Tun mengakui bahawa Umno memang tidak suka orang cerdik memimpin partinya, sama seperti sikapnya yang tidak boleh menerima ada orang yang sama pandai atau lebih pandai daripada dirinya. Lagi pun, orang cerdik memang tidak suka politiking dan politik wang sebab mereka tahu ia sinonim dengan rasuah. Kalau di peringkat cawangan sudah kena cantas, apa lagi di peringkat yang lebih tinggi. Seingat saya, tindakan itu telah dilakukan secara berleluasa sejak Tun menjawat jawatan PM. Apa yang hendak dihairankan?
Sewaktu pemilihan 1987, muncul Team A dan Team B. Waktu itu, Team B pimpinan Tengku Razaleigh dan Dato’ Musa Hitam dilihat mewakili pemikiran golongan muda yang proaktif dan tampak lebih kehadapan.
Namun, Team A yang diketuai Tun melakukan ‘political cleansing’ selepas pemilihan tersebut. Dato’ Musa tercampak dan terus berkubur karier politiknya. Tengku Razaleigh sehingga sekarang masih terkial-kial bersama beberapa kerat penyokong setianya. Datuk Ibrahim Ali terpaksa ‘mencium punggung’ (itu kata-kata beliau di hadapan Dato’ Harun Idris, Ku Li, Marina Yusof pada 1989 dahulu dalam satu ceramah yang pernah saya hadiri di Bukit Kerinchi, Lembah Pantai) dan terus melekat pada Tun. Datuk Seri Dr Rais Yatim terpaksa membina semula jambatan yang sudah dibakar. Baca buku Talkin untuk Umno tulis Pak Habib Syed Hussein Al-Attas.
Zaman Reformasi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi jelas ‘political cleansing’ yang dilakukan. Kalau tidak, masakan Umno kalah banyak pada PRU 10 dan hilang 2/3 selepas PRU 12.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing. "Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk PAS kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Ada tiga perkara menarik di sini.

i. generasi muda (berkelulusan tinggi) masuk Pas kerana Umno sendiri menyekat.

Betulkah dakwaan ini? Islam itu amat luas dan Pas membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin memperjuangkan Islam menerusi wadahnya. Generasi muda yang memahami Islam melihat Pas sebagai tapak meluaskan segala bentuk amalan kebajikan serta mencegah kemungkaran. Pengaruh gerakan Islam yang sedang berkembang di Malaysia dan seluruh dunia jangan dikesampingkan. Generasi muda sudah bijak menilai antara permata dengan kaca. Mereka telah menyaksikan sendiri perjalanan hidup, perjuangan serta kepimpinan Tun di peringkat nasional dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan.
Jangan menafikan kebijaksanaan golongan berpelajaran tinggi menentukan hala tuju perjuangan mereka. Mereka menggunakan kebijaksanaan menolak parti yang mengabaikan tanggungjawab membela rakyat, mengamalkan pilih kasih, amalan perkauman, menghapuskan biasiswa, menangkap orang tanpa bicara (ISA), memanipulasi pilihan raya IPT dan berbagai-bagai perkara buruk yang menjadi amalan Umno. Ringkasnya, adalah satu kebijaksanaan menolak semua kebejatan itu dan sungguh tidak bijak jika bersekongkol dengannya.

ii. …sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber iaitu berkebolehan, kemampuan, kecekapan berfikir dll (Kamus Dewan)

Maknanya, Tun mengakui bahawa Pas sedang disertai dan dipimpin oleh orang yang berkaliber manakala Umno disertai dan dipimpin oleh orang yang tidak berkaliber. Terima kasih. Pemimpin Pas kena sedar bahawa kalian adalah orang yang lebih berkaliber…Teruskan.

iii. maka ini bermakna semakin lama semakin merosot.

Ya. Umno sedang merosot dan akan terus merosot. Saya memetik pengakuan Tengku Ahmad Ritthaudden bahawa politik wang dalam Umno seperti barah yang semakin merebak. Ia menunggu masa untuk menamatkan riwayat Umno.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

Ahli Umno pun hendak hidup juga. Wang yang diberi pemimpin mereka ambil. Ahli dan pemimpin sekarang sama saja. Bagus tu…

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Betul. Sebab ramai yang tidak berkebolehan maka yang menonjol adalah ketidakbolehan jugalah.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.
"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Tun pernah duduk di atas. Sekarang Tun menyalahkan orang di atas. Ini bermakna Tun perlu menyalahkan diri sendiri juga. Semasa menjadi PM dahulu, bagaimana? Adakah memecat timbalan perdana satu kelakuan baik? Bail-out kerugian syarikat anak-anak sendiri satu perbuatan yang baik? Menghina ulama satu perbuatan terpuji? Sekarang kita tunggu keputusan Mukhriz lawan Khairy pula.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.
"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.
Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.
"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Tidak puas hati adalah faktor universal tumbangnya sesebuah kerajaan di dunia. Rakyat telah memberi isyarat pada PRU 12 yang lalu. Kita minta rakyat memberi jawapan yang lebih padu kepada persoalan Tun ini dalam PRU 13 nanti. Selepas itu, baru kita tahu sama ada betul atau salah dakwaan Tun ini. Kesimpulannya, Tun memang sudah lupa banyak perkara.
Pesan nabi s.a.w ‘Mati dalam keadaan taat lebih baik daripada hidup menderhakai-Nya.’
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Oktober 31, 2008  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER