Pertama, saya berdoa semoga Allah Yang Agung mengurniakan kesejahteraan, ketabahan serta memakbulkan apa jua doa para isteri dan anak-anak tahanan ISA.
Saya ingin menulis berkaitan ISA, sudah lama. Tulisan Sdr. Azamin Amin, dalam ruangan Fikrah muka surat 24, sisipan Harakah bertajuk 'Acik, bawa ayah balik ya...' serta berita oleh Anis Nazri amat menyentuh naluri kebapaan, kemanusiaan, persaudaraan yang mendalam dan menitiskan air mata.
Berita perdana TV3 jam 8.00 malam ini pula menyiarkan segmen ISA. Menurut seorang pensyarah undang-undang, Singapura, Israel, Amerika Syarikat, England, India, Pakistan, Sri Lanka dan negara-negara lain yang jumlahnya 25 buah, mengamalkan undang-undang semacam ISA di Malaysia. O, Malaysia macam Israel dan Amerika, ya!
Saya mula mengenali Ordinan Darurat 1948 dan ISA 1960 sewaktu mempelajari Sejarah Malaysia tingkatan 3 di bawah tajuk Darurat. Mereka yang menduduki SRP tahun 1981 dan SPM 1983 pasti membaca bab tersebut. Pada 1985, ketika mengambil STPM, saya mengikuti banyak rencana tentang ISA khususnya selepas berlaku Peristiwa Memali yang menyebabkan Ustaz Ibrahim Libya dan 13 yang lain syahid. Pada sesi 1988-89, saya mengambil kuliah 'Politik Malaysia 1950-1980-an' yang disampaikan oleh Encik (Datuk) Mahadzir Mohd Khir, di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Bekas guru saya ini pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani dan Timbalan Menteri Pelajaran. Kronologi politik Malaya pasca Perang Dunia Kedua telah saya pelajari termasuklah ISA. Pada 1987, ramai pemimpin politik pembangkang ditahan di bawah akta sial itu menerusi Operasi Lalang.
Saya tidak bercadang menulis nota kuliah mengenai ISA itu, tetapi sekadar mengimbau isi kandungan kuliah beliau yang menyatakan bahawa kebanyakan tahanan tanpa bicara ISA ketika pramerdeka dan pascamerdeka adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) serta pemimpin pembangkang seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi (Pas) dan Ahmad Boestamam. Bacalah buku 'Hari-hari Aku Dizalimi' dan 'Suara Dari Kamunting' oleh Saari Sungib. Semoga ia dapat melembutkan hati yang keras dan menghidupkan hati yang mati!
Kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat hingga enam tahun berjumlah lebih 1.5 juta orang di seluruh negara. Mereka adalah seusia dengan anak-anak Puan Hidayu Kamrulzaman, Puan Shamie Aza, Puan Siti Hajar Ibrahim, Puan Jobaidah Ismail dan lebih 60 orang isteri tahanan ISA yang lain. Bezanya, anak-anak mereka adalah mangsa kezaliman ISA dan mangsa kejahilan orang tidak mengetahui nikmat dan hikmah memeluk anak-anak kecil itu pada pagi raya, sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sebabnya, mereka sedang seronok memeluk kekayaan dan kekuasaan dunia yang sementara.
Anak-anak dan isteri-isteri tahanan menyambut aidil fitri tanpa bapa dan suami tercinta. Satu hari yang dinantikan berlalu bagaikan seribu tahun lamanya. Si anak tiada bapa untuk bermanja. Tiada bapa yang memeluknya dalam kedinginan malam apatah lagi pada pagi raya yang mulia. Dia terus membesar tetapi tidak sama seperti kanak-kanak berbapa yang seusia dengannya. Para isteri sudah kering air mata. Mereka menatap kenangan manis bersama suami tercinta dan menempuh kehidupan dengan hiba. Kasih sayang mereka direntap oleh akta durjana!
Hari Raya sudah tiga hari berlalu namun belum ada berita tentang tahanan akan dibebaskan. Permohonan maaf zahir batin oleh pemimpin yang hipokrit itu tiada bermakna. Pembangunan modal insan tiada ertinya kerana air mata para isteri dan anak tahanan saban hari 'dimakannya'. Hindraf yang ingin berjumpa pun dihamunnya pada pagi raya.
Saya teringat kata-kata karamah Tuan Guru Haji Jalaludin Abdul Wahid dalam satu usrah bulanannya sekitar 1994 dahulu. Beliau berkata, 'Islam bukan dinilai daripada baka keturunan. Kalau ibu bapa kita seorang pejuang Islam, kita wajib mengikut jejak langkah mereka yang mulia itu, tetapi jika ibu bapa kita daripada perjuangan asabiah, maka kita wajib memutuskan pertalian pejuangan jahiliah tersebut.'
Ibuku mendidik anak-anaknya supaya menjaga maruah dan jangan menjahanamkan nama baik keluarga. Pak Lah, ingatlah bahawa kita semua pasti akan bertemu janji Allah! |