CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Selasa, 29 Disember 2009
Perutusan Khas Sesi Persekolahan 2010
Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini.

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara.

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan ilahi. Terima kasih.

AZRIN BIN AB. MAJID
Ketua Pengarah
PASTI Malaysia
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Disember 29, 2009   0 comments
Doa Murid Sesi Persekolahan 2010
Ya, Allah, aku mahu menjadi murid yang:

1. mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang ikhlas melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan-Mu,

2. mentaati ibu bapa sebab harapan dan doa mereka sentiasa terdengar di telinga,

3. mentaati guru sebab mereka bersungguh-sungguh mendidik, mengasuh, membimbing, mengajar dan membantu saya dalam pelajaran,

4. rajin berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi,

5. menjadi contoh teladan yang baik kepada rakan-rakan dan oang lain.

Ya, Allah, aku tidak mahu menjadi murid yang:

1. mentaati kemungkaran dan kemaksiatan sebab ia adalah dosa dan menjadi kemurkaan-Mu,

2. menderhaka kepada ibu bapa serta mempersia-siakan harapan dan doa mereka,

3. menghampakan harapan tinggi guru-guru yang mengharapkan kecemerlangan muridnya,

4. pemalas tapi gila nak jadi pemimpin kemudian kaya, tidak berdisiplin, kaki ponteng, kaki perempuan, kaki arak, tahi ekor, kaki rempit, kaki dadah dan segala yang mencemarkan nama baik Islam, ibu bapa, guru dan maruah diri,

5. apabila menjadi...

i. sultan atau raja - mementingkan diri serta kaum kerabat dan mengabaikan rakyat,

ii. perdana menteri - mementingkan projek, kroni dan isteri, membazirkan duit beratus-ratus juta dan berbilion-bilion sebab itu bukan duit aku, bukan duit emak bapak aku tetapi duit rakyat yang memberi amanah kepada aku,

iii. menteri - menjual negeri, peralatan kementerian, jahanamkan bahasa kebangsaan dll.,

iv. wakil rakyat - ponteng sidang dewan, pinjam duit ceti, kahwin curi-curi, berlagak dengan rakyat dll.,

v. hakim - boleh dijual-beli,

vi. guru - nampak cerdik tetapi dungu berfikir menilai sesuatu sebab menjadi kaki ampu,

vii. tentera perwira - gagah perkasa tapi enjin jet hilang pun tidak disedari,

viii. rakyat - penakut sampai mati, tidak tahu menilai mana yang baik mana yang celaka pada diri, anak, isteri, keluarga, masyarakat dan negara.
Amin, ya rabb al 'alamin
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Disember 29, 2009   3 comments
Khamis, 17 Disember 2009
Ceramah Ustaz Idris Ahmad di Jasin
Pas Kawasan Jasin meneruskan program pada bulan ini. Kali ini Y.Bhg. Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat akan datang untuk mengisi dua program yang telah disusun pada 21 Disember 2009 (Ahad).

1. Ceramah Hijratul Rasul dan isu-isu semasa bertempat di Kompleks Pas Kawasan Jasin, Dataran Hamas, Simpang Kemendore, Jasin pada jam 7.15 malam.

2. Ceramah HIjratul Rasul dan isu-isu semasa bertempat di Markas Pas Cawangan Bukit Tembakau, Umbai, Melaka pada jam 9.15 malam. Turut berceramah ialah Ustaz Kamarudin bin Hj Sedik, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Melaka.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Disember 17, 2009   1 comments
Selasa, 15 Disember 2009
Tapisan keselamatan adalah penentu, bukan kelulusan
Terima kasih YB Dr. Mujahid kerana membawa suara para guru yang berkelulusan sarjana dan phd.ke dalam parlimen. Keprihatinan tuan adalah bukti perjuangan murni pemimpin Pakatan Rakyat yang tahu menghargai nilai ilmu walaupun nilai itu bukan hanya boleh dibuat melalui kelulusan. Apa yang lebih penting, suara itu lebih mulia daripada kata-kata retorik pemimpin yang lebih sanggup mengaut keuntungan dalam projek ekonomi pendidikan melalui PPSMI, contohnya.

Ramai guru yang terhenti pengajian mereka di peringkat sarjana muda dan sarjana. Ramai juga daripada mereka yang memperoleh keputusan yang cemerlang di peringkat sarjana tetapi terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat phd disebabkan yuran pengajian yang tinggi.

Benar bahawa motivasi penting dalam kehidupan. Namun, manusia atau guru tidak hanya bergantung hidup dengan motivasi daripada orang lain. Bahkan, motivasi sahaja tidak cukup untuk mengubah realiti kehidupan selagi tindakan terhadap kerajaan yang mencorakkan realiti ini tidak ditumbangkan.

Cadangan YB memang bagus. Selain kelulusan tertinggi dijadikan kriteria, kombinasi faktor kekananan atau senioriti dengan kelulusan akan memantapkan lagi pendidikan di negara kita. Ia akan menjadi lebih bermakna apabila pelantikan dibuat tanpa mengira faktor politik, berbanding dengan amalan sekarang iaitu hanya mereka yang disahkan sebagai Umno/BN sahaja yang diberi keutamaan.

Jika pangkat dan kenaikan gaji mampu menggerakkan perjuangan maka ia adalah wajar diberi sebab perjuangan mereka tidak dilemahkan oleh faktor pangkat dan poket. Namun, saya saya fikir usaha yang paling sesuai sekarang ialah memotivasikan para guru menentang setiap realiti yang dicipta dan dipaksakan ke atas diri mereka oleh Umno/BN.

Bilangan guru yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau phd adalah terlalu kecil bilangannya. Majoriti daripada mereka mengeluarkan belanja sendiri atau membuat pinjaman daripada bank atau koperasi untuk mencapai cita-cita murni tersebut.

Lebih malang lagi, peluang mereka dinafikan oleh tapisan keselamatan sama ada oleh pihak polis ataupun SPRM walaupun mereka telah berjaya pada peringkat temuduga lisan. Faktor politik kepartian adalah satu daripada aspek tapisan itu. Dalam bahasa yabg mudah, mereka yang pro pembangkang dan tegas pendiriannya jangan haraplah ingin mendapat lebih daripada itu.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Disember 15, 2009   0 comments
Guru Lulusan Sarjana dan Phd perlu insentif
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.
"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Disember 15, 2009   0 comments
Jumaat, 11 Disember 2009
DS Mohd Ali tidak faham hikmah undang-undang jenayah syariah
MELAKA 10 Dis. - Kerajaan negeri mencadangkan agar agensi penguatkuasaan dan pendakwaan syariah dinaik taraf menjadi sebuah jabatan dan mempunyai anggota tetap bagi melancarkan urusan pendakwaan kes yang berkaitan dengannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata,

i. Melaka berhasrat menjadi negeri pertama yang melaksanakan usaha tersebut sekiranya cadangan itu diterima di peringkat Pusat. Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan syariah perlu diperkasa termasuk menambah bilangan anggota bagi mempercepatkan proses tersebut pada mada depan. Selain cadangan menambah anggota, agensi itu perlu diperkukuhkan dengan tambahan prasarana yang lebih sempurna.

ii. pihaknya berpendapat antara kemungkinan proses pendakwaan kes syariah mengambil masa lama adalah disebabkan oleh faktor ketidakseragaman undang-undang syariah sedia ada sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

iii. Melaka mencatatkan 1,129 kes jenayah syariah setakat pada 30 November lalu. Bilangan kes itu, ujarnya, menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sejumlah 1,392 kes.

Komen.

Kita ingin bertanya adakah usaha ini bertujuan untuk mendapat nama atau benar-benar mahu meningkatkan prestasi agensi berkenaan. Daripada apa yang dinyatakan, jelas bahawa undang-undang syariah mengalami zaman malap walaupun negara sudah 52 tahun merdeka. Siapa yang menyebabkan agensi malap kalau bukan Umno dan BN.

Undang-undang syariah tidak seragam? Ini menunjukkan bahawa undang -undang yang dikatakan undang-undang syariah itu ada yang tidak kena dengan ajaran Islam sebenar. Apa yang kita pelajari, perbezaan pandangan ulama ahli sunnah wal jamaah adalah perbezaan pandangan ulama-ulama mazhab tentang cara pelaksanaan undang-undang syariah tersebut, bukan ketidakseragaman hingga menyebabkan undang-undang syariah tidak terlaksana.

Hudud, qisas dan ta'zir telah bercelaru dalam undang-undang syariah masa kini. Antara contoh punca kecelaruan ialah sikap pemimpin Umno yang menolak pelaksanaan undang-undang jenayah syariah yang telah diluluskan oleh kerajaan Kelantan pada 1991 lagi.
Dalam tempoh 23 bulan, sebanyak 2521 kes jenayah syariah direkodkan di Melaka iaitu secara purata 3.6 kes sehari. Ini tidak termasuk jenayah bunuh, curi, rompak, qazaf dan murtad yang terkandung dalam undang-undang jenayah syariah dalam Islam. Ada di antara undang-undangnya bertindih dalam syariah dan sivil.


Hikmah undang-undang jenayah syariah selain daripada menghukum, pelaksanaannya memberi pengajaran, keinsafan dan menggerunkan manusia supaya tidak melakukan kesalahan jenayah. Mampukah DS Mohd Ali mengusulkan dalam persidangan DUN atau di mana-mana bahawa kerajaan negeri Melaka mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam iaitu hudud, qisas dan ta'zir demi menyelamatkan rakyat terutamanya umat Islam di Melaka yang sedang berhadapan dengan pelbagai gejala sosial yang semakin parah itu?

Kita mahu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah sepenuhnya, bukan sekadar menaiktaraf agensi menjadi jabatan.

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 11, 2009   0 comments
Tazkirah
Firman Allah Taala:

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibn sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.

(Iaitu) orang-orang yang kikir, dan menyuruh orang lain berbuat kikir, dan menyembunyikan kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepada mereka. Dan kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir siksa yang menghinakan.

Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta mereka kerana riya' kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya.

Surah An-Nisa':36-38
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 11, 2009   0 comments
Saintis Islam Selangor wajar bincang teknologi nuklear
Kadar baru mas kahwin RM300 minimum menggembirakan bagi mereka yang bakal bergelar isteri di negeri Selangor mulai 1 Januari 2010. Kadar tersebut memang hadiah kepada pengantin baru, walaupun mengikut Islam, si suami boleh memberi lebih daripada kadar tersebut jika mahu dan berkemampuan. Ia digunapakai kepada pengantin baru dan janda yang bakal menjadi pengantin sekali lagi. Itu tuah muslimat sekeluarga di negeri Selangor. Ia juga satu lagi keprihatinan JAIS di negeri yang kerajaan Pakatan Rakyat memerintah dan mahu melaksanakan banyak program ihsan kepada rakyat.

Namun, kerajaan pusat yang dikuasai Barisan Nasional pula bakal menimbangkan permohonan Tenaga Nasioanal Berhad (TNB) untuk memperkenalkan kadar tarif baru bekalan tenaga elektrik kepada rakyat. Dalam keadaan ekonomi lemah, peluang pekerjaan terhad, harga barangan melambung dan kuasa beli rakyat semakin merosot, kenaikan tarif elektrik akan menambah beban kepada rakyat. Ia juga satu lagi kezaliman BN yang melaksanakan banyak program untuk membatu-nisankan rakyat.

Saya mencadangkan negeri-negeri Pakatan rakyat menubuhkan syarikat bekalan elektrik sendiri untuk meringankan beban kenaikan tarif tersebut. Mungkin boleh membina empangan hidro antara kerajaan Kedah-Kelantan misalnya.

Persidangan saintis Islam di Selangor yang akan diadakan dalam masa terdekat ini perlu memikirkan bagaimana kemajuan sains dan teknologi nuklear misalnya boleh membantu mengatasi masalah monopoli TNB dalam soal bekalan tenaga elektrik di negara ini. Paling tidak ia dapat dipraktikkan di Selangor walaupun kita tahu kosnya besar dan banyak isu lain yang akan muncul pula. Kejayaan program nuklear Iran yang membekalkan tenaga elektrik yang murah ke seluruh negara tersebut boleh dijadikan contoh.

Muslimat di Selangor boleh gembira dengan berita kadar mas kahwin yang baru, tetapi umumnya rakyat sudah pasti tidak gembira mendapat kadar tarif baru elektrik itu sebagai hadiah tahun baru.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 11, 2009   0 comments
Khamis, 10 Disember 2009
Pengetua buang guru, Guru buang kerajaan
Dato' Dr Fuad Zarkasyi, Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia bercadang untuk memberi kuasa kepada pengetua untuk melantik atau membuang guru. Kenyataan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi. Cadangan tersebut dipercayai berpunca daripada pelbagai isu yang dihadapi oleh kementerian masa kini seperti isu guru kontrak, guru terlibat dengan dadah, guru ponteng tugas, guru tidak hadir bertugas dan lain-lain lagi.

Dalam memikirkan idea itu yang bakal mencetuskan konflik baru dalam kalangan warga pendidik pula, para guru perlu melihat dengan penuh keinsafan bahawa kementerian telah membazirkan banyak wang rakyat khususnya dalam program PPSMI. Berbilion ringgit wang rakyat telah dibazirkan kerana projek ekonomi-pendidikan tersebut, selain pelbagai isu nasional yang menjahanamkan wang rakyat.

Kalau kementerian boleh berfikir untuk memberi kuasa kepada pengetua untuk membuang atau memilih guru,, maka guru juga mesti berfikir untuk menukarkan menteri seterusnya 'membuang' parti yang menerajui kerajaan yang tidak cekap, membazir dan rasuah dengan menggunakan kuasa undi dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Disember 10, 2009   0 comments
Sabtu, 5 Disember 2009
Kabinet Kerajaan Pembohong
Tan Sri Muhyidin berkata;

"Rasa tak boleh apa nak dikata. Yang kita tahu sebelum ini pun, kita kata sebagai orang Islam tak pernah mendoakan seorang Islam lain itu musnah hanya kerana sebab-sebab konflik tertentu dan dalam hal Kelantan berkaitan royalti minyak.

Saya kata; mati dalam taat lebih baik daripada hidup merdehaka kepada-Nya. Tipu rakyat Kelantan dengan tidak memberi royalti kepada kerajan yang sah adalah perbuatan jahat. Memberi wang ehsan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) lagi besar celakanya.

"Itu sudah diputuskan oleh Kabinet. Jadi, saya tak tahu nak kata apa kerana ini bukan pertama kali, berulang-ulang kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-65 di sini hari ini.

Mafhum kata-kata TS Muhyidin ialah beliau telah berulang-ulang kali mengatakan pembohongan tersebut. Kabinet adalah kerajaan. Ketua kabinet adalah perdana menteri. TS Muhyidin adalah TPM. Beliau adalah anggota kabinet. TS Muhyidin berulang-ulang kali menyatakan bahawa beliau dan kabinet adalah kaki putar alam.

Beliau berkata, kerajaan negeri Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih dan wang itu akan disalurkan dalam bentuk pembangunan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.

Kalau bukan hak kerajaan negeri Kelantan, kenapa beri juga walaupun dinamakan wang ehsan? TPM yang juga Menteri Pelajaran berbohong dan tidak layak menjadi menteri untuk generasi pelajar. Macam mana pelajar sekolah nak berakhlak kalau menterinya tidak menunjukkan contoh teladan yang baik?

"Ini satu perbuatan yang langsung tidak mencerminkan semangat cara Islam yang sebenarnya," katanya.

Ewah, pandai berkata-kata! Perbuatan menafikan hak rakyat Kelantan itu semangat Islam sebenarlah ya? Kalau Allah boleh menurunkan surah mencelaka-laknatkan Abu Lahab, takkanlah pengikut Islam yang ditipu tidak boleh berdoa kepada Allah Taala agar ’memberi balasan yang terbaik’ kepada para pembohong dan kabinetnya?
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Disember 05, 2009   0 comments
Jumaat, 4 Disember 2009
Kelahiran Anak Luar Nikah di Melaka Semakin Menakutkan
Kelmarin, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melaporkan, dalam tempoh lima hari sebanyak sembilan kes hamil luar nikah dikendalikan.

Pada hari Isnin sahaja, tiga kelahiran dicatatkan membabitkan perempuan muda antara 21 hingga 23 tahun. Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Ustaz Rahimin Bani kes kelahiran anak tidak sah taraf itu menunjukkan jenayah syariah membabitkan perbuatan zina menyumbang kepada perkara itu.

'Hasil siasatan pegawai Jaim terhadap pesalah ditahan, mereka mengakui melakukan persetubuhan haram bersama paangan berulang kali dalam tempoh panjang.'

'Ini menunjukkan gejala maksiat dilakukan bukan sahaja meruntuhkan akhlak, malah menyumbang kepada maslah kelahiran anak luar nikah.' katanya.

Jenayah syariah/hudud jenis zina semakin serius di negeri Melaka. Berdasarkan kekerapan sembilan kelahiran anak luar nikah dalam tempoh lima hari iaitu 1.8 sehari, maka kemungkinan setahun 657 orang yang dilahirkan luar nikah. Cuba hitung jika jumlah ini berterusan selama setahun, lima tahun, sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang. Kita bimbang generasi yang bakal dibesarkan di Melaka adalah generasi anak luar nikah.

Ini adalah persoalan besar berkaitan dengan akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Ia membabitkan nasab keturunan dan maruah. Kita tidak mahu 'Melaka Maju 2010' juga dikenali sebagai 'Melaka Maju Anak Luar Nikah'. Pemerintah tidak bimbangkah akan perkara ini?

Faktor berlakunya jenayah ini ialah kejahilan, persekitaran (biah), pergaulan tanpa batas, ibu bapa atau penjaga yang tidak bertanggungjawab, program percampuran lelaki perempuan yang tidak terkawal dan seribu satu sebab lain jika mahu dicari. Lebih malang lagi, faktor percampuran tanpa batasan ini membabitkan program anjuran kerajaan negeri atas nama program pelancongan dan satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah perangai dalam kalangan sebahagian pemimpin dan rakyat Melaka yang kaki pesta.

Namun satu sebab yang tidak boleh dinafikan ialah balasan Allah Taala kepada orang Islam di Melaka yang sama ada mempersendakan, mempermainkan atau menolak hukum hudud daripada Allah Taala itu dalam keadaan jahil, tidak mengetahui atau berilmu tetapi mengada-adakan pelbagai alasan yang bertujuan supaya undang-undang tersebut tidak dilaksanakan.

Fikirkan undang-undang yang digunapakai dengan ayat Al-Quran ini.

i. Seksyen 54, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang menyatakan hamil atau kelahiran anak luar nikah boleh didenda maksimum sehingga RM3000.00 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali. Sedangkan punca kehamilan dan kelahiran anak luar nikah itu tadi adalah sebab zina.

ii. "Penzina perempuan dan penzina lelak hendaklah dikenakan hukuman sebat setiap orang seratus kali." (a-Nur:2)

Mengikut mazhab Syafi'e dan Hanbali, hukuman sebat dicampurkan dengan hukuman buang daerah selama setahun di tempat yang jaraknya mengharuskan sembahyang qasar.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w: 'Ambillah daripadaku: Sesungguhnya Allah telah mengadakan satu jalan penyelesaian kepada perempuan-perempuan itu, iaitu si dara yang berzina dengan si lelaki hendaklah dihukum sebat seratus kali serta dibuang daerah selama setahun dan si yang telah berkahwin berzina dengan si yang telah berkahwin hendaklah dihukum seratus kali sebat serta direjam.'

Sejak merdeka hingga kini, berapa ramai orang yang sudah ditangkap, didakwa dan dihukum kerana kesalahan zina? Berapa ramai pula anak luar nikah sejak tempoh tersebut? Tidak terfikirkah untuk memperjuangkan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Melaka? Kalau terlupa, bacalah sejarah dan fahami Hukum Kanun Melaka pada zaman pemerintahan Islam di Melaka lebih lima ratus tahun lampau.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 04, 2009   0 comments
Tazkirah
Allah Taala berfirman:
'Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, tetapi tidak dapat bersembunyi daripada Allah. Allah adalah bersama mereka itu pada malam hari, ketika mereka mengucapkan perkataan yang tidak disukai oleh Allah dan Allah adalah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka kerjakan.'
(An-NIsa':108)
Daripada Ibn Mas'ud r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
'Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan kepada syurga dan sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata benar sehingga dicatatkan ia di sisi Allah sebagai seorang yang ahli berkata benar. Dan sesungguhnya berkata dusta itu menunjukkan kepada kecurangan dan sesungguhnya kecurangan itu menunjukkan kepada neraka dan sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata dusta sehingga dicatatkan ia di sisi Allah sebagai seorang yang ahli berkata dusta.'
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 04, 2009   0 comments
Bapa Pembangunan Alam Buana
Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka yang baru berlalu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DSMAR) masih mahukan projek jambatan Melaka-Dumai terlaksana. Kosnya USD12.5 bilion atau RM44.25 bilion. Ia adalah projek termahal yang mengundang persoalan dan kemarahan banyak pihak.

Cita-cita ini banyak bezanya dengan mimpi Sultan Mahmud yang memerintah Melaka kira-kira enam kurun yang lampau. Sultan bermimpi dan hendak berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang yang meletakkan satu daripada tujuh syaratnya ialah membina jambatan emas dan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Maka, apa pula mimpi atau realiti DSMAR yang beriya-iya benar mahukan projek raksasa ini terlaksana?

Menurut laporan, 85% atau RM37.6 bilion kos pembiayaan projek itu adalah melalui pinjaman Exim China Bank manakala 15% atau RM6.63 bilion lagi adalah pembiyaan kerajaan negeri menerusi pinjaman daripada kerajaan pusat.

Belanjawan kerajaan negeri yang diluluskan baru-baru ini RM375 juta. Kerajaan negeri memerlukan 118 tahun untuk memperolehi wang sebanyak RM44.25 bilion itu, hanya untuk membina jambatan Melaka-Dumai, tanpa berbelanja untuk perkara lain termasuk membayar gaji Ketua Menteri dan wakil rakyat. Ini belum dikira faedah yang dikenakan oleh pihak yang memberi pinjaman.

Rekod 10 tahun pemerintahan beliau, hutang kerajaan Melaka kepada kerajaan Persekutuan RM4.4 bilion. Memerintah 100 tahun lagi, berhutang RM44.25 bilion, apa ada hal? Bukankah wakil-wakil rakyat Umno/BN, para pegawai serta semua pengampunya boleh bekerja tanpa upah? Permasyhuran beliau sebagai Bapa Pembangunan Melaka sahaja kurang tepat, sepatutnya beliau digelar Bapa Pembangunan Alam Buana.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 04, 2009   0 comments
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER