CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Jumaat, 26 Disember 2008
Tazkirah
Mari kita renungi peringatan Allah Taala di dalam Al-Quran.

Malam tadi kita membaca surah Yaasin. Satu daripada 83 ayat yang kita baca ialah ayat 65, bermaksud;

“Pada hari ini (kiamat), Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Pagi ini kita solat subuh, baca surah sajadah. Ayat 22, satu daripada 30 ayat itu bermaksud;

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang berdosa”.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 26, 2008   1 comments
Tazkirah
1. Umar bin Abdul Aziz membaca ‘inna lillahi wainna ilaihi raji’un’ apabila wasiat Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dibacakan kepada umat Islam bahawa beliau adalah pengganti khalifah.

2. Kemudian dia berkata;

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dibebani dengan pekerjaan ini tanpa meminta pendapatku terlebih dahulu dan bukan pula ia atas permintaanku sendiri dan tidak pula atas musyawarah kaum muslimin. Dan sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada baiat yang terletak di atas bahu saudara-saudara terhadapku, maka pilihlah sesiapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas”.

Beliau mempraktikkan demokrasi musyawarah dengan mengubah amalan pewarisan pemerintahan yang telah diamalkan sejak zaman Muawiyah bin Abi Sufyan. Tetapi orang ramai menolak dan berkata; “Kami telah memilih engkau wahai amirul mukminin dan kami telah rela terhadap engkau. Perintahlah kami dengan baik dan berkat”.

3. Ucapan Umar bin Abdul Aziz selepas itu.

“Aku berwasiat kepada kamu semua supaya bertakwa kepada Allah kerana takwa kepada Allah itu lebih penting daripada segala sesuatu dan tidak ada kemuliaan yang dapat menggantikan takwa kepada Allah. Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana barangsiapa yang beramal untuk akhiratnya maka Allah s.w.t akan menjamin selesailah urusan kehidupan dunianya. Baikkanlah tingkah lakumu di waktu kamu bersunyi diri, nescaya Allah juga akan membaikkan tingkah lakumu tatkala kamu berada di khalayak umum. Perbanyakkanlah mengenang maut dan baikkanlah persiapanmu dalam menghadapinya sebelum ia datang menjemputmu kerana ia boleh mencegah hidup berfoya-foya dengan kelazatan. Barangsiapa yang tidak mahu mengenangkan nenek moyangnya yang telah meninggal sejak zamannya hingga kepada Nabi Adam a.s., nescaya akan menemui kematian yang hina dina”.

“Sesungguhnya umat ini tidak akan bersengketa tentang Tuhannya, tidak tentang Nabinya dan tidak pula akan bersengketa tentang benda, dinar dan dirham. Dan, aku demi Allah tidak akan memberi seseorang dengan cara yang batil dan tidak pula menghalangi seseorang akan hak yang harus diterimanya. Aku bukanlah bendaharawan, tetapi aku meletakkan sesuatu pada tempatnya sebagaimana aku diperintah oleh agamaku”.

“Wahai manusia! Sebelum aku, telah muncul ketua-ketua yang tidak kamu senangi dengan meletak kezaliman atas diri kamu. Ketahuilah bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada khalik. Barangsiapa yang mentaati Allah, wajiblah mentaatinya dan barangsiapa yang menderhaka kepada Allah maka tidak ada ketaatan kepadanya. Taatlah kamu kepadaku selama aku taat kepada Allah. Jika aku derhaka kepada Allah, tidak ada keharusan bagimu untuk taat kepadaku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku dan untuk saudara-saudara sekalian”.

4. Kata-kata Umar kepada pembantunya selepas pulang dari pengkebumian khalifah Sulaiman.
“Orang yang sepertiku ini, sekarang seharusnya berdukacita. Aku harus menyampaikan kepada setiap orang akan haknya, sekalipun ia tiada berkirim surat kepadaku tentang hal itu dan tidak pula memintanya”.

5. Selepas solat Umar berdoa dan menangis. Dia berkata kepada isterinya, Fatimah binti Abdul Malik.

“Wahai Fatimah! Aku telah menanggung beban untuk mengurus umat Muhammad s.a.w, baik yang berkulit hitam mahupun merah. Lantas terfikir akan aku tentang nasib orang fakir miskin yang lapar, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak mempunyai pakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang ramai anak serta harta bendanya sedikit, dan lain-lain lagi yang seperti mereka itu yang terdapat di seluruh penjuru bumi dan pelosok negeri. Aku ingat, bahawa Tuhanku akan menanya dan meminta pertanggungjawabanku tentang mereka semua pada hari kiamat kelak. Maka aku takut kalau aku tidak boleh memberikan keterangan hujahku. Sebab itu aku menangis”.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 26, 2008   0 comments
Rabu, 24 Disember 2008
Sah, Abu Zahar sertai Pas
Wednesday, December 24, 2008

Sah, Abu Zahar sertai PAS
Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Abu Zahar Hashim - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - menyertai PAS hari ini. Beliau telah menyerahkan keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini. Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.-malaysiakini
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, Disember 24, 2008   0 comments
Antara Melaka-Gg Ledang dengan Melaka-Dumai

Melaka adalah negeri yang bersejarah. Daripada sebuah perkampungan pinggir laut, ia kemudian muncul sebagai kerajaan maritim dan empayar Islam yang terpenting di Nusantara. Selain berperanan sebagai pelabuhan entreport, ia adalah pusat penyebaran Islam yang unggul. Sejarah mencatatkan, kerajaan Melaka mencapai kegemilangan terutama selepas menjalin hubungan dengan kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di rantau ini.

Pun begitu, pemimpin-pemimpin kerajaan Melaka memiliki keinginan dan wawasan yang ‘luar biasa’. Kalau dahulu, ada diceriterakan dan kini dijadikan silibus bahasa Melayu dalam Sijlil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, kisah Sultan Mahmud yang ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang yang tidak diketahui ibu bapanya dan asal-usulnya. Kononnya, memintalah puteri tersebut jambatan emas dan perak bagi menyambungkan gunung dengan bandar Melaka sebagai syarat persetujuan perkahwinan alam nyata-alam khayalan itu.

Kini, legasi ceritera khayalan membina jambatan itu muncul kembali. Kali ini, DS Mohd Rustam dan DS Najib Razak bercakap tentang pembinaan jambatan juga, bukan Melaka-Gunung Ledang tetapi Melaka-Dumai di Sumatera yang tertangguh rancangannya sejak 1995.

Persoalannya, perlukah jambatan Melaka-Dumai sepanjang 58km dan kos RM38 billion (US$11 billion) itu? Apa untungnya kepada kerajaan dan rakyat Melaka? Apa tindakan kerajaan pimpinan DS Mohd Ali menyelesaikan kesengsaraan rakyat Melayu Islam di Pengkalan Balak dan sekitarnya yang berpuluh tahun menghidu bau babi? Siapa yang nak tanggung hutang kerajaan negeri berbilion RM sekarang? Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran pemimpin Melayu ini? Tolong komen sikit….
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, Disember 24, 2008   1 comments
Sabtu, 20 Disember 2008
Berfikirlah para pengundi PRK P36!
Assalamu’alaikum,

Bagus apabila berlaku pertandingan dalam Umno. Sedikit-sebanyak kita dapat maklumat tentang pelbagai perkara dalam rumah tangga mereka. Ada maklumat berbentuk lisan, tulisan, foto, sms, video dan sebagainya.
Pertembungan antara calon Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita sudah berlanjutan sejak beberapa bulan lalu. PRK P36 Kuala Terengganu adalah medan menguji kekuatan pengaruh setiap mereka yang bertanding. Bagi ‘petugas-petugas’ kumpulan atau individu yang bertanding, ‘makan keliling’ lagilah nampaknya.
Persolannya,
i. Mampukah rakyat dan pengundi di kawasan tersebut berfikir atau disedarkan bahawa mereka adalah sasaran bagi setiap kumpulan kepimpinan Umno yang sedang merebut jawatan sekarang?
ii. Mampukah pengundi di situ berfikir atau difahamkan bahawa mereka sedang berdepan dengan pemimpin serta parti yang tidak pernah aman daripada pertelingkahan dan perebutan jawatan dalaman parti?
iii. Mampukah mereka diyakinkan dan dipastikan tidak mengundi parti yang memang bermasalah dan menjadi punca kepada segala masalah seperti politik wang, rasuah, salah guna kuasa, memperkayakan kroni, kenaikan harga barang dan segala masalah lain yang sedang menghimpit kehidupan kita?

Kita wajib berusaha meyakinkan mereka supaya mengundi calon PR dan bertawakal kepada-Nya.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Disember 20, 2008   0 comments
Jumaat, 19 Disember 2008
Demokrasi: Rakyat atau Pemerintah Yang Membuka Ruangnya?
Assalamu’alaikum,

Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya banyak membeli dan membaca akhbar Sinar Harian. Isi kandungannya lebih terbuka terutama berita politik berbanding dengan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Kalau membaca dua akhbar ini sahaja, orang cerdik boleh menjadi sebaliknya, orang waras pun boleh menjadi gila.
Hari ini, dalam ruangan nasional halaman enam, Sinar melaporkan dua orang tokoh Umno yang disebut-sebut sebagai bakal calon PRK P36 Kuala Terengganu iaitu Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh dan Mohd Zuber Embong. Dalam posting yang lalu, saya ada menulis pandangan kontra saya terhadap Allahyarham Datuk Razali Ismail tentang penglibatan kakitangan sektor pendidikan dalam politik.
Yang menarik perhatian saya ialah Mohd Zuber Embong. Beliau ialah Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Terengganu dan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Laporan ini mengesahkan pegawai tinggi kerajaan khususnya dalam sektor pendidikan boleh melibatkan diri dalam politik dan memegang jawatan dalam parti politik. Sahabat-sahabatku dalam kalangan pendidik, apa komen? Fikirlah!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Disember 19, 2008   0 comments
Ahad, 14 Disember 2008
Rehlah bersama Bang Mat
Memenuhi undangan ke rumah walau untuk menikmati secawan teh adalah sebahagian daripada akhlak bersahabat. Ia menjadi lebih istimewa jika sahabat yang hadir adalah salah seorang pemimpin tertinggi dan seorang pejuang Islam sejati. Kehadirannya pasti menjadi kenangan manis bukan hanya kepada keluarga, malah meletakkan pemimpin sentiasa dekat di hati rakyat.
Petang tadi, Tuan Haji Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Bang Mat sudi minum petang di rumah saya. Bang Mat adalah pemimpin yang dikagumi, mudah didekati, celotehnya menggelikan hati dan ceramahnya digemari oleh kami sekeluarga. Turut bersama beliau ialah Sdr Adly Zahari (TPJ 1), Sdr Yuhaizad Abdullah (NYDP Jasin) dan Sdr Aminuddin Ali (Bendahari Jasin) dan Sdr Abdul Halim, usahawan muda dari Shah Alam.










Selepas itu, kami pergi menjala ikan di kolam milik Sdr Adly di Durian Tunggal. Sah, Bang Mat memang pakar menjala ikan dan rezeki beliau pun murah petang tadi. Tidak sampai satu jam, 10 kg ikan dapat dinaikkan. Ikan haruan seberat hampir 1 kg turut menjadi habuan. ‘Yang ini saya nak masak rempah bercuka’, kata Bang Mat.
‘Baru-baru ini, ketika memancing di Pontian, lebih 20 kg ikan kurau, jenahak dan ikan merah dinaikkan,’ kata Yuhaizad.
Yang pasti, Bang Mat memang berjiwa rakyat manakala rehlah begini menyihatkan badan, menenangkan fikiran serta meneguhkan ukhwah.










posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Disember 14, 2008   1 comments
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER