CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Isnin, 27 Oktober 2008
Referendum terhadap PPSMI
Isu Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

YB Datuk Razali Ismail (DRI): Perbincangan meja bulat siri keempat anjuran Kementerian Pelajaran baru-baru ini bersetuju mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah terus diajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mahu kementerian memperkasakan pengajaran bahasa ibunda, khususnya bahasa Melayu.

Saya:

Sudah empat kali berbincang dan sudah empat kali keputusan berbeza dicapai. Inilah hebatnya para pemikir yang bijak di negara ini. Keputusan yang ketiga dahulu lain, kalau tidak silap. Saya rasa, wang rakyat yang digunakan untuk perbincangan itu lebih baik digunakan untuk membeli generator atau membina jambatan atau aktiviti lain bagi kepentingan murid di kawasan pedalaman seperti di perkampungan orang asli, Sabah atau Sarawak.

Memperkukuhkan pengajaran bahasa ibunda khususnya bahasa Melayu? Kenyataan ini serius atau lawak jenaka? Kalau pemikir dari kalangan orang Cina yang berkata begitu, memang sah pemikir Cina itu bijak. Cuba buat lawatan ke SJKC dan saksikan bagaimana pelaksanaan PPSMI ini. Yang bermasalah ialah cerdik pandai Melayu. PPSMI menyebabkan tujuh mata pelajaran yang diajar di sekolah aliran teknikal telah dan sedang diajar dalam bahasa Inggeris. Hanya subjek BM, Pendidkan Islam dan Sejarah sahaja yang diajar dalam bahasa Melayu sekarang. Nak perkukuh bahasa ibunda siapa? Jangan retorik tuan!

DRI berkata perbincangan juga diberitahu terlalu awal untuk membuat penilaian pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini bagi mengetahui keberkesanan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Saya:

DRI kata masih terlalu awal? Sudah enam tahun dasar ini berjalan dan dapatan awal kajian menunjukkan dasar ini tidak sesuai. Mengapalah susah dan liat sangat para cendikiawan yang berbincang ini membuat keputusan tentang PPSMI? Sewaktu ingin melaksanakan ‘dasar mi segera’ ini, tiada persidangan meja bulat, meja bundar atau sebagainya. DRI pegawai tinggi Kementeian Pelajaran pada masa itu mustahil tidak ingat.

DRI: Katanya, peserta perbincangan berpendapat 2013 adalah masa sesuai membuat penilaian kerana pelajar yang mula belajar Tahun Satu akan menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perbincangan keempat pada 21 Oktober disertai ahli akademik, wakil kerajaan serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta parti pembangkang.

Saya:

Tahun 2013 pula. Kita ingin tahu siapa yang terlibat dalam perbincangan tersebut. Tolong namakan setiap seorang.

DRI: "Perbincangan intelektual diadakan dalam cukup mesra kerana peserta tahu perbincangan ini adalah akademik dan pelbagai pandangan diberikan bagi memperkasakan sistem pendidikan negara," katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini semalam. Hasil perbincangan akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk diputuskan. "Kita juga mengambil kira pandangan sektor awam tetapi keputusan muktamad diputuskan Menteri Pelajaran dan perlu mendapat restu Kabinet," katanya.

Saya:

Sudah empat kali para intelektual berbincang namun tiada satu pendirian dibuat. Hebat! Bukan pandangan sektor awam sahaja yang perlu diambil kira tetapi semua pihak. Bijakkah menyerahkan perkara yang besar dan penting ini kepada seorang Menteri? Tidak biaskah nanti? Suara dan pandangan ibu bapa empunya anak di sekolah wajib diutamakan. Saya cadangkan kerajaan membuat referendum terhadap PPSMI. Kita mulakan referendum di negeri Johor. Setuju?
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Oktober 27, 2008  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER