CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Isnin, 29 September 2008
Perutusan Hari Raya Ketua Pengarah Pasti Malaysia
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Satu daripada usaha yang sedang laksanakan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah menerusi sistem pendidikan prasekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). Pada kesempatan ini, saya memohon kemaafan atas segala kesalahan dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada warga Pasti Malaysia. Semoga Aidil Fitri tahun ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal kebajikan di jalan Allah.

Ramadan al-Mubabarak pergi meninggalkan hamba-hamba-Nya dengan suatu janji untuk pertemuan pada tahun hadapan. InsyaAllah. Semoga madrasah tarbiah yang telah dilalui menjadikan kita golongan yang bertakwa. Ia perlu dibuktikan menerusi amalan kita iaitu meneruskan dakwah dan perjuangan meninggikan kalimah Allah serta melaksanakan syariat-Nya di atas muka bumi. Semoga ibadah dan gerak kerja untuk memahamkan masyarakat supaya turut sama-sama menghayati perjuangan Islam akan terus diperkasakan.

Dalam kegembiraan menyambut hari lebaran, jangan kita lupa akan saudara-saudara kita yang terluka. Di negara kita lebih 50 keluarga tahanan ISA dipisahkan kasih sayang antara anak isteri dengan suami. Di Palestine, Iraq, Afgahnistan, Chechnya, Kashmir, selatan Thailand, Mindanao dan lain-lain, kanak-kanak, para suami atau isteri diburu peluru dan kematian. Berdoalah untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka daripada diratah oleh musuh.

Kepada murid-murid Pasti, dalam gembira menyambut hari raya jangan sampai lupa kepada buku dan pelajaran. Pada 13 Oktober ini, peperiksaan akhir tahun selaras di seluruh negara akan dijalankan. Kepada ibu bapa, saya mengucapkan terima kasih kerana sentiasa prihatin dan bermurah hati menyumbang apa sahaja demi perkembangan pendidikan anak-anak di Pasti.

Kepada guru, terima kasih atas kesabaran dan dedikasi menjalankan amanah. Kita masih mempunyai satu lagi program besar iaitu Ihtifal Pasti peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 30 Oktober dan 1 November ini.

Tidak dilupakan juga kepada pasukan pengurusan di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat yang gigih dan komited melaksanakan tanggungjawab. Moga Aidil Fitri ini memberi kekuatan untuk meneruskan kecemerlangan pada tahun hadapan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

AZRIN BIN ABDUL MAJID

Ketua Pengarah Pasti Malaysia

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, September 29, 2008   0 comments
Ahad, 28 September 2008
Ke Makam Bonda
Sajak 'Ke Makam Bonda' adalah antara nukilan terbaik daripada Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang. Sajak ini saya pelajari sewaktu berada dalam tingkatan 4 Sastera A, tahun 1982. Guru yang mengajar mata pelajaran Sastera Melayu ketika itu ialah Cikgu Ishak Jaafar. Walau pun pada asalnya saya adalah pelajar aliran sains tulen, namun pengajarannya telah menimbulkan minat mendalam dalam subjek tersebut. Beliau adalah Ketua Dewan Pemuda Pas negeri Melaka ketika itu.

Sajak ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri saya dan saya pernah menghafalnya pada masa itu. Minat terhadap sastera mendorong saya berkarya waktu zaman remaja dulu. Temanya, cinta dan perjuangan.

Ramadan yang hampir pergi, mengingatkan daku kepada allahyarham bonda tercinta. Kasihmu tiada nilainya. 'Kucupanmu di pipiku terutama pada pagi aidil fitri masih aku terasa... 'Al-fatihah.

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan


~Usman Awang
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, September 28, 2008   0 comments
Islam Penyelesai Masalah
Semalam, 10.00 pagi 27 Ramadan, saya menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak yatim di Pasti Luqman Al-Hakim, Taman Seri Redan, Kg. Lubuk Redan, Masjid Tanah. Ia adalah sumbangan daripada ibu bapa murid dan bekas murid Pasti tersebut. Seramai 33 orang penerima telah datang atau dibawa dari rumah mereka oleh Ustaz Ismail Abdullah, suami Puan Gayah Jusoh. Dia mempelbagaikan aktiviti komuniti di situ. Nyata bahawa pasangan ini cakna dengan masyarakat setempat.

Saya masih ingat sewaktu kempen piliharaya lalu, Puan Gayah membawa saya menemui ramai ibu bapa dan keluarga bekas murid Pasti untuk membantu kempen calon DUN Tanjung Bidara, iaitu Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Saya diberi kesempatan berucap sebelum menyampaikan beras dan pelbagai makanan lain kepada mereka. Daripada perbualan saya dengan beberapa orang penerima, mereka memberitahu tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak Kebajikan Masyarakat. Saya menyatakan bantuan yang diberi ini sekadar untuk meringankan beban serta membolehkan mereka menikmati sedikit kelainan daripada makanan harian terutama pada hari raya nanti. Ia bukanlah penyelesaian segala masalah yang membelenggu kehidupan selama ini.


Zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, masyarakat Islam hidup makmur. Dicatatkan dalam sejarah, zaman pemerintahan baginda tiada orang yang layak menerima zakat kesan keadilan, kemakmuran dan keprihatinan umat dan pemerintah Islam dalam menangani keperluan rakyat. Pas di setiap peringkat turut menjalankan aktiviti mulia ini. Saya turut menceritakan pengalaman sewaktu melawat masyarakat Islam yang hidup jauh di pedalaman dan hidup miskin di Kudat, Sabah.

Negara kita juga makmur tetapi masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan. Kita iaitu rakyat dan pemerintah wajib memainkan peranan sepertimana umat sewaktu pemerintahan khalifah tersebut. Selagi fahaman kebendaan, mementingkan diri dan membela kroni masih menebal dalam diri umat dan pemerintah, selagi itulah lapan asnaf penerima zakat di negara ini tidak terbela. Masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan Islam. Insaflah!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, September 28, 2008   0 comments
Sabtu, 27 September 2008
'Marilah Bersama Perjuangan Islam'
Malam tadi saya bertarawikh di Pasti As-Salam, Kg. Air Panas dalam MTD Bemban. Ia terletak 10 km daripada rumah saya di Kg. Kelubi dalam MTD Rim, Jasin. Pasti tersebut adalah tempat anak saya, Muhammad Naim Hakim belajar. Ustazah berpesan kepadanya supaya mengajak bapa dan keluarga berbuka dan bertarawikh bersama-sama. Saya memenuhi harapannya walaupun Markas Pas Jasin/Hamas cuma 2 km sahaja dari rumah.

Saya dijemput memberi tazkirah bersama Ustaz Jumary Al-Hafiz serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada guru, pembantu dan para pelajar Pasti. Anak-anak Pasti ini bukan sahaja gembira menerima duit raya, tetapi bertemu rakan sebaya adalah keriangan yang tidak terhingga.

Saya tidak berkesempatan mendengar keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sehinggalah pulang dari tarawikh dan menonton berita ringkas 12.30, TV1.

Majlis Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) daripada Disember 2008 kepada Mac 2009. Parti ini semakin bercelaru. Ini penangguhan kali ke berapa? Berbeza dengan Pas yang saya sertai sebagai ahli seumur hidup sejak 1990, belum pernah menangguhkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan mahu pun pusat. Kita meneruskan pemilihan biar pun ada masalah yang menghimpit. Begitulah hormatnya pimpinan Pas kepada ahli yang membentuk semua peringkat kepimpinan.

Persoalannya, adakah Umno milik ahli MKT atau ahli di peringkat akar umbi? Parti terbesar dengan keahlian lebih 4 juta orang itu, tidak mampu menangani masalah persaingan dalaman parti di semua peringkat. Pemilihan Umno di beberapa cawangan terpaksa dikawal polis. Parti yang berusia lebih 62 tahun ini sebenarnya sedang nazak kesan kehilangan kewibawaan pemimpin bahana politik wang yang melanda mereka.

Apa agenda besar lain yang ingin diperjuangkan oleh Umno dan apa harapan besar yang ingin rakyat letakkan kepada mereka lagi? Mereka tidak mampu menjaga kepentingan bangsa Melayu dalam persoalan agama, bahasa, hak istimewa, ekonomi, wilayah dan sebagainya, walau pun ia dijamin dalam perlembagaan negara dan sudah sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka yang mengaku Islam?

Tidak tersentuhkah perasaan apabila membaca laporan akhbar, baik Utusan Malaysia mahupun Berita Harian, tentang pelbagai amalan negatif dalam pertandingan merebut jawatan yang nyata jauh menyimpang daripada prinsip bahawa 'jawatan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Taala?'

Semaklah laporan audit negara. Semua kerajaan negeri yang diterajui Umno menanggung beban hutang bukan setakat beratus juta, bahkan berbilion ringgit. Kerajaan persekutuan yang diterajui Umno turut menanggung hutang dalam dan luar negara berbilion ringgit.

Harapan orang Melayu dan Islam sebenarnya kepada Pas. Demikian juga harapan parti-parti lain yang menyedari betapa Umno semakin hilang arah perjuangan. Sdr. Kerk Kim Hock, bekas Setiausaha Agung DAP menurut kajiannya berkata, Pas adalah harapan dan mempunyai masa depan yang lebih baik dalam politik negara. Masyarakat Cina telah menyaksikan kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan sudah lama diyakini mereka manakala kerajaan Pakatan Rakyat Perak sedang membuktikannya. Tunggu apa lagi saudaraku sekalian? Nilailah kebenaran menerusi neraca iman.

Kepada pemimpin dan ahli Umno yang menyedari realiti, sahutlah seruan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, 'marilah bersama perjuangan Islam', dan sebagaimana seruan Nabi Muhammad s.a.w, 'masuklah Islam, kamu pasti selamat'!
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, September 27, 2008   0 comments
Khamis, 25 September 2008
Alahai, 10 sen!
Malam tadi, saya mengikuti ceramah Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden Pas di Pasti Jaya Insan, Bukit Katil, Melaka. Banyak idea dan kupasan penting disampaikan khususnya mengingatkan tanggungjawab seorang Islam dalam melaksanakan ibadah puasa dan hubungannya dalam membina sebuah daulah.

Saya tertarik dua premis ucapan beliau.

i. sejarah kejatuhan Turki Uthmaniyyah kerana bangsa Arab termakan umpan penjajah Barat yang mengatakan bahawa bangsa Arab diperintah oleh bangsa bukan Arab.

ii. keruntuhan Islam berlaku apabila pemimpin atau pemerintah mula mendirikan istana. Berbeza dengan zaman Khalifah Umar Al Khattab, sewaktu didatangi oleh wazir Rom, tempat rehatnya adalah di bawah pohon kurma.

Pandangan saya;

1. Isu perkauman dan kebangsaan dijadikan modal untuk meraih sokongan untuk mengekalkan kuasa. Bukankah kerajaan sekarang ditubuhkan oleh parti yang berasaskan kaum atau bangsa? Nicolo Machiavelli dalam bukunya 'The Prince' mengajar falsafah 'matlamat menghalalkan cara'. Ciri-cirinya; berunding untuk menang, tipu, helah, dan akhirnya memenjarakan atau membunuh.

Bagi Islam, falsafah dan pemikiran seperti itu tiada kena-mengena. Tiada soal perkauman dalam perjuangan Islam. Islam itu adil dan terbukti mampu memberi keadilan kepada semua kaum. Atas keadilan itulah, ia tersebar dan pernah memerintah 2/3 dunia selama lebih seribu tahun. Berbeza dengan Machiavellian, Islam berunding untuk mencari kebenaran, tiada tipu, tiada helah, tiada tangkap tanpa bicara dan tiada membunuh tanpa sebab.

2. Keruntuhan daulah Islam bukan kerana kerajaan miskin, sebaliknya hampir semua kerajaan tumbang ketika kaya raya. Kerajaan Islam Melaka, tumbang dalam keadaan pelabuhan Melaka adalah pelabuhan entreport. Digambarkan kekayaan Melaka oleh Puteri Gunung Ledang yang meminta hantaran sebagai syarat persetujuan perkahwinan dengan meminta Sultan Mahmud membina jambatan emas dan perak dari bandar Melaka hingga ke Gunung Ledang. Kini, Melaka berhutang dengan kerjaan pusat lebih daripada RM1.o5 billion.

Malaysia negara yang kaya dengan anugerah Allah Taala. Dari puncak gunung, hutan rimba, tanah daratan hinggalah ke dalam laut, nikmat itu tidak terhingga banyaknya. Petroleum yang menjadi sumber utama negara, cukai yang dipungut puluhan billion ringgit setahun dan segala macam khazanah lain ada, tapi harga barang terus kekal tinggi selepas peristiwa hitam kenaikan petroleum.

Minggu depan umat Islam akan menyambut aidil fitri. Teman-teman yang bukan Islam pun hendak turut meraikannya. Anak-anak amat gembira untuk menyambutnya, tapi 'bapa' beri 10 sen saja sebagai duit raya. Alahai! Patut ke?
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, September 25, 2008   0 comments
Selasa, 23 September 2008
Kelebihan Tarawikh 10 Malam Terakhir
Kelebihan solat tarawikh 10 malam terakhir.


Malam ke-20 - Allah mengurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang solih.


Malam ke-21 - Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.


Malam ke-22 - Ia datang pada hari kiamat dalam keadaan aman daripada sebarang kekalutan pada hari tersebut.


Malam ke-23 - Allah membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.


Malam ke-24 - Allah membuka peluang untuk 24 doa yang makbul pada hari itu.


Malam ke-25 - Allah akan mengangkat siksa kubur atasnya.


Malam ke-26 - Allah akan mengurniakan pahala 40 tahun ibadat bagi mereka yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.


Malam ke-27 - Allah akan mengurniakan kepadanya kemudahan melintas titian sirat sepantas kilat.


Malam ke-28 - Allah akan menaikkannya 1000 darjat di akhirat.


Malam ke-29 - Allah akan mengurniakan kepadanya 1000 haji yang mabrur.


Malam ke-30 - Allah akan memberi penghormatan kepada orang bertarawikh pada malam terakhir dengan firman-Nya; 'Wahai hambaku, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang bernama al-Kautsar.'

Berdoalah untuk kesejahteraan diri, anak-anak, isteri/suami, pemimpin kita, para pejuang dan umat Islam semuanya. Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, September 23, 2008   0 comments
Isnin, 22 September 2008
Guru, 'Penyuluh Kegelapan'
Nasihat Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Razali Ismail kepada 360,000 orang guru seluruh negara dan minda pengarang Berita Harian supaya guru tidak membincangkan isu politik ketika di sekolah menarik perhatian saya. Kata mereka;
i. dibimbangi boleh menjejaskan tumpuan tugas hakiki iaitu kepada pelajar dan pembelajaran,
ii. tugas mereka sudah cukup berat mendidik generasi muda,
iii. fikiran mereka terganggu atau terpesong jika asyik berpolitik atau mengikuti perkembangan isu politik semasa.
iv. tidak harus mencampuradukkan tugas mereka dengan pengaruh politik kepartian.
v. terbawa-bawa kepada soal kaum, agama dan kenegerian yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, serta memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat.

Pada hemat saya, pandangan itu ada pro kontranya. Namun, kenyataan tersebut secara tidak langsung merendahkan martabat guru yang memang kritis terhadap sesuatu perkara. Saya ada pandangan lain!

Saya faham bahawa pandangan itu ditujukan kepada guru yang pro Pakatan Rakyat (PR). Kalau yang menyokong Umno/BN, tiada masalah. Sebab? Bukankah hampir semua pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai Pelajaran Daerah, pengetua, guru besar dan penolong-penolong kanan serta Guru Kanan Mata Pelajaran dipastikan orang kuat Umno/BN, paling tidak penyokong mereka. Kalau ada daripada pembangkang, mereka itu dianggap sebagai pembangkang yang 'cair'. Perkara ini telah diketahui oleh para guru dan umum. Bukankah, timbalan menteri pun bekas pegawai pendidikan? Tanyalah diri sendiri, macam mana boleh jadi timbalan menteri kalau bukan orang kuat Umno? Atau, tanyalah Pengarah Pelajaran Kelantan!

Seseorang guru tidak dinamakan guru kalau tidak mengajar atau tiada murid. Rata-rata guru yang mengajar di sekolah, sebelum dan sesudah menjawat jawatan tersebut, mengikuti pelbagai disiplin ilmu sewaktu mengikuti diploma perguruan atau pun kursus di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah. Di sinilah keistimewaan dunia pendidikan sebab guru berlatar belakangkan pelbagai bidang ilmu. Ilmu keguruan mereka semakin hari semakin mantap kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku antara mereka dengan para pelajarnya. Kebimbangan terhadap tumpuan guru tidak berbangkit, kecualilah mereka yang bercakap itu sengaja ingin menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa terhadap guru. Tidak tahulah pula, adakah guru yang menjadi juru kempen menjelang pemilihan agung Umno turut dimaksudkan dengan kebimbangan tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa tugas guru semakin berat. Apatah lagi sistem pendidikan negara masa kini berorientasikan peperiksaan dan mengejar kelulusan berbanding dengan matlamat mendidik pelajar dalam pelbagai lapangan untuk menempuh kehidupan pada hari muka. Kalau sudah mengakui tugas guru semakin berat, maka tiada sebab kepada kerajaan tidak memenuhi tuntutan kesatuan berhubung kebajikan mereka dalam isu kenaikan gaji, pangkat, beban tugas, peluang mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran dan banyak lagi. Peliklah. Kalau guru bercakap soal politik, mereka berkata tugas guru sudah cukup berat, tetapi apabila menuntut kebajikan, macam-macam pula alasan!

Fikiran siapa yang terpesong? Analogi mudah kepada Datuk yang menjaga orang belajar dan terpelajar. Guru, kalau anak muridnya membuat kesalahan pasti ditegur. Kalau jawapan dalam latihan, ujian atau peperiksaan itu salah, maka dipangkah atau tidak diberi markah, tetapi kemudian diberi jawapan yang betul lagi tepat. Sebaliknya, kalau pemimpin membuat kesalahan, siapa yang patut menegur mereka? Tentulah rakyat yang memberi mandat. Kenapa takut dengan teguran rakyat?

Siapa yang asyik berpolitik? Guru mengikuti perkembangan politik kerana itu fitrah manusia. Apa-apa yang diucap dan dilakukan pemimpin dinilai mengikut neraca ilmu, iman dan kemanusiaan. Keterlibatan mereka dalam politik belum tentu boleh sampai kepada jawatan timbalan menteri pendidikan.

Datuk kena tanya diri sendiri. Sewaktu naik sebagai wakil rakyat, Datuk mewakili parti politik atau tidak? Bukankah dinaikkan kerana terlibat kuat dengan Umno. Kalau tidak, macam mana Umno boleh melantik Datuk mewakili mereka dan orang lain yang berangan ingin jadi calon pun boleh ternganga? Isu yang Datuk bangkitkan, akan menimbulkan seribu persoalan kepada Datuk. Tiada salahnya guru sama ada berpolitik, mengikuti politik, menganalisis politik, mengundi parti pembangkang atau apa sahaja. Berbicara soal politik mestilah kena dengan orang dan tempatnya. Ini negara demokrasi, bukan komunis!

Guru hari ini adalah matang dan waras. Perjuangan mereka atas asas agama, kaum dan negeri perlu didengar dengan penuh keterbukaan oleh pemimpin yang berjiwa negarawan. Bukankah guru mengajar, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung?

Istilah guru sebagai 'penyuluh kegelapan' jangan sedap diucap dalam majlis sambutan hari guru atau pada hari mengenang jasa semata-mata. Martabat mereka perlu dijaga. Peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan rohani, emosi, intelek dan politik jangan diremehkan. Pandangan mereka jangan dikesampingkan. Pemimpin hari ini pernah diajar oleh guru di sekolah pada suatu masa dahulu. Apakah guru perlu mengajar kalian sekali lagi? Mereka jangan diberi kata dua. Itu kurang adab namanya.

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, September 22, 2008   0 comments
Khamis, 18 September 2008
Siapa Terdesak?
YAB PM berkata, 'Anwar sudah menjadi ancaman ekonomi dan mungkin keselamatan negara'.

Siapa yang sebenarnya 'terancam' dan 'diancam'?

Saya melihat kenyataan ini adalah ucapan pemimpin yang berada dalam keadaan terdesak akibat kemelut politik. Allah sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam lubuk hatimu, wahai PM. Semoga kenyataan itu tidak dipengaruhi oleh nafsu amarah pada bulan yang mulia ini.

Pelik. Tiba-tiba saja ekonomi dan keselamatan negara terancam hanya selepas DSAI menghantar surat mengandungi beberapa harapan untuk bertemu membincangkan beberapa isu. Beliau mengumumkan lebih 30 MP yang telah bersedia secara hitam putih menyeberang kepada Pakatan Rakyat seterusnya membentuk kerajaan baru. Cuma, nama tidak diumumkan atas pelbagai sebab.

Siapakah sebenarnya yang terancam?

Adakah orang yang terpaksa bertukar kementerian untuk melepaskan jawatan demi 'peralihan kuasa' atau orang yang mendakwa telah mendapat sokongan untuk mengambil alih kerajaan?

DAN;

Orang yang menerima tekanan dan desakan daripada daripada Naib Presiden dan menteri/MP parti sendiri, parti sekutu keluar gabungan, hatta wakil rakyat pencen hingga ahli biasa atau orang yang menerima sokongan padu daripada parti sekutu dan rakyat agar penubuhan kerajaan baru berjaya?

Jawablah. Masakan soalan ini pun tidak boleh dijawab?


Sewaktu menaikkan harga minyak dulu, alasan yang diberi kepada rakyat ialah harga minyak dunia naik. Kerajaan tak mampu menanggung kos dan subsidi. Tapi, hari ini harga minyak sudah turun kepada USD92. Kami mahu tahu, apa pula alasan harga minyak tidak diturunkan? Nanti Petronas rugi?

Berilah alasan apa pun. Sekarang, rakyat bukan sahaja mahu harga minyak turun, bahkan kerajaan sekarang pun mahu diturunkan! Setiap langkahmu sekarang pincang! Tidak sedarkah lagi?

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, September 18, 2008   0 comments
RENUNGAN
TANDA KEBAHAGIAAN



1. Tidak kasih kepada dunia dan cinta akan akhirat.

2. Sentiasa ingin beribadat dan membaca Al-Quran.

3. Sedikit berbicara mengenai hal yang tidak perlu.

4. Memelihara solat lima waku.

5. Warak terhadap barang yang haram dan syubahat.

6. Bersahabat dengan orang yang baik-baik.

7. Bersifat tawaduk, tidak sombong.

8. Dermawan lagi pemurah.

9. Bersifat belas kasihan terhadap makhluk yang dicintai Allah Taala.

10. Menjadi orang yang bermanfaat kepada makhluk.

11. Banyak mengingati mati.



TANDA KECELAKAAN



1. Rakus dalam mengumpul harta.

2. Keinginan hanya untuk memuaskan nafsu syahwat dan kesenangan dunia.

3. Ucapannya kotor dan suka memburukkan orang.

4. Meremehkan solat lima waktu.

5. Bergaul dengan orang berbuat dosa.

6. Buruk budi pekerti.

7. Bongkak dan sombong.

8. Kikir.

9. Tidak belas kasihan terhadap orang yang beriman.

10. Tidak memberi manfaat kepada manusia.

11. Tidak mengingati mati.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, September 18, 2008   0 comments
Selasa, 16 September 2008
KENAPA TIDAK BOLEH BERJUMPA?
Saya merujuk kepada laporan Berita Harian ruangan Nasional halaman 14 berhubung kenyataan DS Mohd Ali Rustam (DSMAR) mengenai rancangan DS Anwar Ibrahim (DSAI) untuk bertemu PM. Kenyataan ini dikeluarkan selepas beliau menghadiri majlis berbuka puasa dan penutup Tilawah Al-Quran Gerakan Belia 4B Perak di Ipoh.
i. ia perbuatan sia-sia.

ii. 'dia boleh cakap dalam Parlimen...nak jumpa (PM) sana-sini adalah buang masa.'

iii. 'dia parti pembangkang...kita (kerajaan) nak buat kerja, jadi tiada masa nak melayan dia saja.'

iv. 'dakwaan Anwar hanya omongan kosong kerana beliaulah yang sebenarnya menggunakan agama untuk kepentingan parti.'

Komen.

DSMAR adalah Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden Umno. Beliau pemimpin kerajaan dan parti. DSAI adalah Ketua Pembangkang dalam sistem kerajaan demokrasi berparlimen Malaysia dan Ketua Umum PKR. Sesuai dengan jawatan tersebut, apa-apa perkara berkaitan dengan rakyat yang dibawa oleh pemimpin parti yang tidak mengetuai kerajaan atau pembangkang (perkataan politik yang dianggap negatif dalam kalangan BN), dalam konteks sebuah kerajaan, sepatutnya ia tidak boleh dianggap sebagai perbuatan sia-sia apatah membuang masa oleh seorang pemimpin sebuah kerajaan. Perlu diingat, DSAI mewakili suara 49% undi popular rakyat ketika ini, BN tiada majoriti 2/3 dalam Parlimen dan Pakatan Rakyat sedang menguasai lima kerajaan negeri.

DSMAR kerap keluar negara khususnya ke Eropah, Amerika Utara dan Amerika Latin mencari pelaburan asing terutama dalam sektor pelancongan. Kalaupun tidak mahu belajar daripada kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau sepatutnya mempelajari perjalanan politik demokrasi di negara-negara maju di benua Amerika dan Eropah itu, khususnya berkaitan dengan hubungan politik parti yang memerintah kerajaan dengan pembangkang. Hanya pemimpin yang sombong dan angkuh sahaja yang menganggap setiap pertemuan dengan lawan politiknya sebagai perbuatan sia-sia dan membuang masa.

DSAI dan PR telah memperkatakan banyak perkara yang membabitkan ketidakselesaan hidup rakyat pada hari ini. Kalau kita membaca laporan akhbar, saban hari kita menatap wajah sayu keluarga susah lagi miskin menyambut Syawal yang bakal menjelang. Ia kesan kenaikan harga minyak, isu rasuah, laporan audit tentang ketirisan wang negara, keselamatan dan banyak lagi. Tidakkah tersentuh dengan rintihan rakyat itu? Ataukah menganggap pertemuan itu, jika berlaku, memang usaha yang sia-sia dan membuang masa sebab kerajaan BN memang tidak mahu mendengar apa-apa keluhan rakyat yang datang dari suara Ketua Pembangkang? Alasannya, sibuk konon. Kami mahu tahu sibuk dengan urusan apa? Salahkah kalau sibuk kerana berbincang demi kesejahteraan rakyat?

Ketidakterbukaan beliau memang telah dikenali pejuang politik pembangkang hatta Umno di Melaka. Tidak mesra rakyat yang menyokong pembangkang adalah sifatnya.

Menggunakan agama untuk kepentingan politik? Eh! Bukankah beliau bercakap selepas majlis tilawah Al-Quran? Memperkenalkan Islam Hadhari dan menghabiskan ratusan juta wang rakyat kerananya, itu bukan menggunakan agama demi kepentingan politikkah? Inilah penyakit fahaman sekular yang melanda pemimpin nombor satu Melaka.

Malang bagi rakyat Melaka yang 600 tahun dahulu pernah menjadi kerajaan Islam tersohor di rantau Nusantara ini. Sultan Muhammad Syah dan sultan-sultan selepas baginda, menggunakan Islam sebagai asas kepada pengembangan wilayah politik, empayar, dakwah dan ekonomi Melaka pada abad ke-15 dahulu. Umno perlu sedar bahawa kamu diamanahkan mewarisi pentadbiran negeri yang keluasannya hanya sebesar sekarang. Apa salah menggunakan agama sebagai panduan berpolitik dan berusaha mencapai cita-cita perjuangan Islam menerusi politik? Bukankah ia diajar oleh Rasulullah s.a.w dan disuruh menjadi pegangan untuk tidak sesat dalam kehidupan dunia serta keselamatan di akhirat? Kalau tidak mahu menggunakan agama, nak gunakan apa? Wang? Akal? Itulah bahana yang melanda kamu sekarang! Tidak sedar lagikah? Inilah akibat apabila Islam dipisahkan dalam kehidupan dan pemerintahan.

Rakyat Melaka dan para pejuang sekalian, ingat! Menjelang tahun 2011 nanti, genap 500 tahun(1511-2011) tumbangnya empayar Islam Melaka, bukan Kerajaan Melayu Melaka sebagaimana yang dicatat dalam buku sejarah kini. Bangkit dan mara wahai para pejuang!

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, September 16, 2008   0 comments
Rabu, 10 September 2008
Menghidupkan Semangat Anti Kezaliman
Pagi ini, hari ke-10 rahmat bulan Ramadan 1429 yang Allah janjikan, seperti biasa, dalam kesempatan yang ada, saya meneruskan bacaan buku 'Belajar Daripada Dua Umar' tulisan Hepi Andi Bastoni yang saya beli 15 Ogos lalu, sempena Muktamar Pas di Ipoh. Hati kecil berkata, 'buku menarik ini entah bila dapat aku habiskan, sedang ada lebih sepuluh buku lain yang dibeli hanya sempat dibelek sepintas lalu atau memilih bab tertentu'. Tatapan saya ialah bab lima bertajuk 'Piawai Menangani Perbezaan'.

Seperti bab-bab yang terdahulu, bab lima ini memberi pengajaran selain memberi ilmu yang amat berguna dan ingin dikongsi bersama-sama sahabat seperjuangan yang lain. Mudah-mudahan ia memberi manfaat, aamin.

Bab lima:

Isu utama yang diutarakan ialah berkenaan perbezaan pendapat para sahabat Rasulullah s.aw. berhubung dengan menentukan apakah bentuk tindakan yang ingin diambil terhadap 70 tawanan Perang Badar. Abu Bakar as-Siddiq mencadangkan supaya tawanan dibebaskan dengan pembayaran tebusan daripada keluarga mereka sedangkan Umar bin Khattab tidak setuju, dan mahukan mereka dibunuh.

Pandangan Abu Bakar supaya pembebasan dengan wang tebusan tentu bukan dilandasi keinginan memperoleh harta, tetapi atas rasa belas kasihan dan harapan mereka akan tersentuh dan akhirnya beriman kepada Allah. Harta itu boleh dijadikan sebagai ganti kepada mangsa kejahatan puak kafir Makkah itu di samping membaiki taraf hidup di Madinah. Ringkasnya, pandangan Abu Bakar lebih lembut manakala Umar lebih tegas dan keras.

Rasulullah s.aw. menerima pandangan Abu Bakar.

Pengajaran kepada kita:

i. Sungguhpun begitu, hikmah ilahiyah tidak menyetujui kaum muslimin menjadikan harta sebagai ukuran dalam memutuskan perkara besar. Allah menegur melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal:67-68;

'Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Kalulah tidak kerana adanya ketetapan daripada Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab siksa yang besar disebabkan (penebusan diri) yang kamu ambil (daripada orang-orang tawanan) itu.'

Teguran Allah kepada Rasul-Nya dan para sahabat bukan persoalan belas kasihan terhadap tawanan tetapi dibimbangi kecenderungan untuk mengejar harta benda, dan menjadi rujukan kepada generasi pejuang akan datang. Pengajaran ilahiyah yang dapat dipelajari ialah setiap perjuangan tidak boleh ada niat sekecil apapun melainkan menegakkan kalimah Allah.

ii. Rasulullah s.a.w mengelolakan perbezaan kedua-dua pandangan bertentangan tanpa menyakiti kedua-dua pihak. Kebijaksanaan Rasulullah s.a.w dalam mengambil jalan persuasif ( mempengaruhi atau meyakinkan orang lain) tatkala berdepan dengan situasi sukar itu mampu melunakkan Umar yang terkenal dengan ketegasan, biarpun akhirnya pandangan Umar mendapat dokongan ayat Al-Quran. Kebijaksanaan inilah yang perlu ada pada pemimpin.

iii. Doa Rasulullah kepada Ahlul Badar, 'Ya Allah, mereka berjalan tanpa alas kaki. Ringankanlah langkah mereka. Ya Allah, mereka kekurangan makanan, anugerahilah mereka makanan. Ya Allah mereka itu lapar, kenyangkanlah mereka.' Berdoa untuk kesejahteraan sahabat seperjuangan diajar oleh baginda. Hargailah perjuangan dan pengorbanan, bukan mencari kesilapan semata-mata.

Allahu a'lam.

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, September 10, 2008   0 comments
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER