Beberapa premis kenyataan Datuk Seri Adnan Yaakob menarik untuk difikirkan. 1. "saya risau dengan perkembangan sekarang kerana semakin ramai mencalonkan diri bertanding jawatan tertinggi....apa yang berlaku umpama anak berebut harta sedangkan ibu bapa masih ada." Komen: Sebagai parti yang terkenal dengan amalan demokrasi, apatah lagi mereka yang menawarkan diri telah menyatakan keikhlasan serta mendapat sokongan padu daripada ahli peringkat akar umbi, maka mencalonkan diri tiada salahnya malah memang kena pada masanya. Apalah sangat dibimbangkan dengan berebut harta tatkala ayah bonda masih hidup? Bukankah ayah bonda kaya raya? Petrol pun dah tinggi harganya dan untung pun mencecah ratusan billion. Berebut di depan mata ayah bonda barulah jantan namanya. 2. "bagi saya ini hanya menggambarkan Umno sebagai tempat memperjuangkan kepentingan diri mereka saja." Komen: Tahniah atas pengakuan terbuka ini. Saya yakin semua orang setuju dengan kenyataan ini. Pendekkan cerita, 'Kalau bukan sekarang, bila? Kalau bukan Umno, siapa?? 3. "Jika ada pihak mahu menuduh Umno Pahang sebagai lalang, mereka boleh berbuat begitu tetapi kita tidak akan buat sebarang pendirian...bagi saya, dunia sudah gila sekarang sebab ramai gila jawatan," katanya. Yang ini, saya nak komen panjang sedikit. a. Kesian Pahang. Dah tinggal lalang saja? Mana pergi balak yang banyak? DS Adnan tahu jawapannya. Tan Sri Khalil, TYT negeriku Melaka Bersejarah, lagi tahu. Orang kampung semua dah tahu. b. Saya tertarik dengan pemilihan peribahasa gila jawatan oleh DS Adnan. Dalam bahasa Melayu banyak peribahasa atau ungkapan yang bermula dengan perkataan gila. Misalnya, gila bahasa, gila ekor, gila talak, gila judi, gila meroyan, gila perempuan, gila kuasa, gila babi dan gila-gila. Pemilihan peribahasa Melayu gila jawatan oleh beliau membawa banyak tafsiran dan kesan. Saya merujuk Kamus Dewan edisi keempat untuk mencari jawapan dalam menentukan kategori manakah mereka yang mencalonkan diri itu dimaksudkan oleh DS Adnan. Perkataan gila bermaksud; i. tidak sihat atau tidak waras fikirannya (otaknya, ingatannya), ii. penyakit tidak sihat otak (fikiran, ingatan), iii. tidak seperti yang seharusnya (semestinya, selalunya), tidak normal, luar biasa, iv. terlalu gemar (asyik, sayang, cinta dll) akan sesuatu. Manakala perkataan jawatan bermaksud kedudukan dalam pekerjaan yang menentukan tugas seseorang. DS Adnan mnggunakan perkataan 'gila' tanpa menentukan yang mana satu daripada empat makna di atas terhadap situasi 'mencalonkan diri' itu. Maka, yang mana satu gila jawatan yang dimaksudkan oleh beliau itu? Adakah maksud DS seperti makna (i), atau (ii) atau (iii) atau (iv) atau keempat-empat sekali? Anda pilih yang mana? DS Adnan memang terkenal dengan kenyataan sinikal seperti itu. Lebih sebulan lalu, DS Adnan ada menyatakan minat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Mungkinkah minat beliau itu ada kena-mengena dengan keadaan 'dunia sekarang' seperti yang dinyatakannya dan beliau termasuk dalam makna perkataan peribahasa yang saya nyatakan di atas? Saya meminjam kata-kata Nabil, "Lu fikirlah sendiri"! |
Tahun depan parti anta berebut jawatan pulak. Main duit pun dah ada juga oi.