CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Khamis, 9 Oktober 2008
Akhiri dengan Tasbih Kafarah
Perisytiharan Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno, bermakna parti tersebut akan mendapat Presiden baru menjelang bulan Mac 2009 nanti. Siapa? Mungkin Datuk Seri Najib Razak.

Saya menulis kali ini untuk menyampaikan nasihat seorang rakyat biasa kepada pemimpin negara itu. Dalam sejarah kepimpinan Melayu disebut, antara ‘orang yang dipimpin’ dengan ‘orang yang memimpin’ atau ‘orang diperintah’ dengan ‘orang yang memerintah’ dan ‘anak’ dengan ‘bapa’. Tidak salah, bukan?

Lagipun, beliau adalah Menteri Pelajaran sewaktu saya bersekolah menengah dahulu. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Pendidikan sewaktu saya di universiti. Kedua-dua anak Pulau Mutiara ini pernah menjadi timbalan perdana menteri. Pak Lah akan bersara sebagai PM manakala DSAI pernah menjadi pemangku PM. Sebagai PM, DSAI belum lagi. Kita doakan apa-apa yang terbaik untuk mereka!

Sebagai Menteri Pelajaran, beliau menasihati kami supaya belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya dan membantu pembangunan negara. Sebagai seorang pelajar ketika itu saya telah menunaikan amanah yang diberikan. Begitulah juga nasihat dan amanah ibu bapa saya. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz mengingatkan, bukan sahaja kita hendak berjaya di dunia tetapi kita mesti berjaya di akhirat. Alhamdulillah, masing-masing sedang dan telah memainkan peranan tersebut.

Sewaktu di sekolah menengah, saya aktif dalam persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Pernah saya mendapat naib johan dalam pertandingan pidato GPMS peringkat negeri Melaka 1985 dan mengikuti kursus kepimpinan zon selatan di Tapian Gelanggang, Paroi. Saya dalam tingkatan 6 Atas pada tahun itu. Cikgu Ahmad Jawahir, Hj Mohd Dali dan Hj Hasan Sidek adalah guru pembimbing saya dan mereka adalah orang kuat GPMS Melaka ketika itu. Pak Lah pula adalah pemimpin GPMS nombor satu. Saya masih berhubung dengan mereka walaupun sudah lebih 23 tahun meninggalkan alam persekolahan. Cikgu Ahmad adalah orang kuat Pak Lah di Melaka sekarang. Hj Mohd Dali, adalah Bendahari Agung KOPENAS. Hebat guru-guruku!

Sewaktu Pak Lah mengambilalih kuasa daripada Tun Dr. Mahathir pada 31 Oktober 2003, saya telah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka sesi 2003-2005. Seorang pegawai polis cawangan khas menelefon dan meminta komen saya tentang pelantikan dan kepimpinan Pak Lah. Saya menyatakan harapan supaya Pak Lah mengubah pendekatan politik terhadap pembangkang, membaiki taraf ekonomi dan sosial rakyat. Harapan saya dan seluruh rakyat pada masa itu adalah sama seperti janji Pak Lah untuk membanteras rasuah. Semalam, Pak Lah mencadangkan satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan dibentang di Parlimen minggu depan. Masih belum selesai lagi kerja Pak Lah ni!!!

Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Pak Lah satu perkara sebelum pergi meninggalkan kekuasaan negara. Sejak menjadi Menteri Dalam Negeri dan PM kini, ratusan orang telah ditahan melalui ISA. Sebelum meninggalkan jawatan dan sebelum menghadap Allah Yang Agung, saya mengingatkan supaya mereka yang ditahan dibicarakan di mahkamah. Jika tidak, bebaskanlah mereka.

Saya memetik kata-kata Pak Lah semalam dalam isu hubungan kaum dan agama yang dikatakan semakin merosot sekarang iaitu, ‘Isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, menerusi dialog; tangani isu ini secara konstruktif dan adil bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan dan berikan fokus kepada aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek yang makin memecahbelahkan kita.’

Kalau benarlah itu harapan Pak Lah, kembalikanlah suami yang ditahan kepada anak-anak dan isteri mereka. Tidakkah Pak Lah dapat merasakan betapa gembira dan bahagianya Nory, Khairy, Kamaludin dan ibu Jeanne serta sanak keluarga, apabila ayah dan suami tercinta berada di sisi?

Kalau seseorang pegawai bersara, pelbagai hadiah diterima. Daripada yang sekecil-kecil hadiah, sehinggalah yang sebesar-besarnya. Salahkah Pak Lah memberi hadiah yang paling bermakna kepada keluarga tahanan ISA itu? Ada yang sudah enam tahun terpisah, Pak Lah! Kebajikan itu adalah seperti setitis air yang mengalir dari hulu sampai ke hilir kemudian ke lautan. Jangan tinggalkan beban ini kepada Perdana Menteri yang baru.

Akhirilah kekuasaan pemerintahan sepertimana kita mengakhiri kuliah tok guru dengan tasbih kafarah dan surah al-asr.
Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagi-Mu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain-Mu, aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.’
‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal solih. Nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat- menasihati supaya menetapi kesabaran.’
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Oktober 09, 2008  
2 Comments:
  • At 23 Oktober 2008 pada 1:49 PG, Blogger afya said…

    salam. pertama saya ucapkan selamat hari raya. alhamdulillah syukur kepada Allah. kita sebagai rakyat bawahan mesti dan wajib memilih pemimpin yang diredhai Allah. semoga kita tidak sesat lagi menyesatkan. sukar kita untuk membezakan yang mana hak yang mana batil kerana hati kita seperti cermin yang kotor dan berdebu. mana mungkin dapat memperlihatkan wajah kita. banyakkan taubat dan beribadat mampu membersihkan hati yang kotor. di samping menjauhkan perkara subhat dan was was dalam kehidupan harian kita. insyaallah, Allah akan beri hidayah dan petunjuk. wassalam.

     
  • At 27 Oktober 2008 pada 8:50 PTG, Blogger wardah said…

    Salam alaik...
    Pendek citer...kenapa ahli UMNO khususnya dan rakyat amnya (termasuklah kita) yang sudah tau peri sahsiah Dayo' Najib tidak menyuarakan secara terus terang menolak sama sekali kepimpinan beliau untuk menerajui negara kita yang tercinta ini...

    Pakatan Rakyat patut berhimpun lagi atas nama "Perhimpunan Bersih ke 2" menyatakan penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib yang dinamakan sebagai PM selepas Pak Lah...

    Lebih dari itu, ana yakin sekiranya PAS dengan penuh keyakinan mengenengahkan nama Tuan Guru Nik Aziz sebagai PM setelah Pak Lah...semua golongan rakan dan lawan pasti akan menyambutnya dengan penuh teruja..

    Berani berubah...

     
Catat Ulasan
<< Home
 
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER