YAB PM berkata, 'Anwar sudah menjadi ancaman ekonomi dan mungkin keselamatan negara'.
Siapa yang sebenarnya 'terancam' dan 'diancam'?
Saya melihat kenyataan ini adalah ucapan pemimpin yang berada dalam keadaan terdesak akibat kemelut politik. Allah sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam lubuk hatimu, wahai PM. Semoga kenyataan itu tidak dipengaruhi oleh nafsu amarah pada bulan yang mulia ini. Pelik. Tiba-tiba saja ekonomi dan keselamatan negara terancam hanya selepas DSAI menghantar surat mengandungi beberapa harapan untuk bertemu membincangkan beberapa isu. Beliau mengumumkan lebih 30 MP yang telah bersedia secara hitam putih menyeberang kepada Pakatan Rakyat seterusnya membentuk kerajaan baru. Cuma, nama tidak diumumkan atas pelbagai sebab. Siapakah sebenarnya yang terancam? Adakah orang yang terpaksa bertukar kementerian untuk melepaskan jawatan demi 'peralihan kuasa' atau orang yang mendakwa telah mendapat sokongan untuk mengambil alih kerajaan? DAN; Orang yang menerima tekanan dan desakan daripada daripada Naib Presiden dan menteri/MP parti sendiri, parti sekutu keluar gabungan, hatta wakil rakyat pencen hingga ahli biasa atau orang yang menerima sokongan padu daripada parti sekutu dan rakyat agar penubuhan kerajaan baru berjaya? Jawablah. Masakan soalan ini pun tidak boleh dijawab?
Sewaktu menaikkan harga minyak dulu, alasan yang diberi kepada rakyat ialah harga minyak dunia naik. Kerajaan tak mampu menanggung kos dan subsidi. Tapi, hari ini harga minyak sudah turun kepada USD92. Kami mahu tahu, apa pula alasan harga minyak tidak diturunkan? Nanti Petronas rugi? Berilah alasan apa pun. Sekarang, rakyat bukan sahaja mahu harga minyak turun, bahkan kerajaan sekarang pun mahu diturunkan! Setiap langkahmu sekarang pincang! Tidak sedarkah lagi? |