Semalam, 10.00 pagi 27 Ramadan, saya menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak yatim di Pasti Luqman Al-Hakim, Taman Seri Redan, Kg. Lubuk Redan, Masjid Tanah. Ia adalah sumbangan daripada ibu bapa murid dan bekas murid Pasti tersebut. Seramai 33 orang penerima telah datang atau dibawa dari rumah mereka oleh Ustaz Ismail Abdullah, suami Puan Gayah Jusoh. Dia mempelbagaikan aktiviti komuniti di situ. Nyata bahawa pasangan ini cakna dengan masyarakat setempat.
Saya masih ingat sewaktu kempen piliharaya lalu, Puan Gayah membawa saya menemui ramai ibu bapa dan keluarga bekas murid Pasti untuk membantu kempen calon DUN Tanjung Bidara, iaitu Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut hadir dalam majlis tersebut. Saya diberi kesempatan berucap sebelum menyampaikan beras dan pelbagai makanan lain kepada mereka. Daripada perbualan saya dengan beberapa orang penerima, mereka memberitahu tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak Kebajikan Masyarakat. Saya menyatakan bantuan yang diberi ini sekadar untuk meringankan beban serta membolehkan mereka menikmati sedikit kelainan daripada makanan harian terutama pada hari raya nanti. Ia bukanlah penyelesaian segala masalah yang membelenggu kehidupan selama ini. Zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, masyarakat Islam hidup makmur. Dicatatkan dalam sejarah, zaman pemerintahan baginda tiada orang yang layak menerima zakat kesan keadilan, kemakmuran dan keprihatinan umat dan pemerintah Islam dalam menangani keperluan rakyat. Pas di setiap peringkat turut menjalankan aktiviti mulia ini. Saya turut menceritakan pengalaman sewaktu melawat masyarakat Islam yang hidup jauh di pedalaman dan hidup miskin di Kudat, Sabah. Negara kita juga makmur tetapi masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan. Kita iaitu rakyat dan pemerintah wajib memainkan peranan sepertimana umat sewaktu pemerintahan khalifah tersebut. Selagi fahaman kebendaan, mementingkan diri dan membela kroni masih menebal dalam diri umat dan pemerintah, selagi itulah lapan asnaf penerima zakat di negara ini tidak terbela. Masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan Islam. Insaflah! |