Malam tadi, saya mengikuti ceramah Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden Pas di Pasti Jaya Insan, Bukit Katil, Melaka. Banyak idea dan kupasan penting disampaikan khususnya mengingatkan tanggungjawab seorang Islam dalam melaksanakan ibadah puasa dan hubungannya dalam membina sebuah daulah.
Saya tertarik dua premis ucapan beliau.
i. sejarah kejatuhan Turki Uthmaniyyah kerana bangsa Arab termakan umpan penjajah Barat yang mengatakan bahawa bangsa Arab diperintah oleh bangsa bukan Arab.
ii. keruntuhan Islam berlaku apabila pemimpin atau pemerintah mula mendirikan istana. Berbeza dengan zaman Khalifah Umar Al Khattab, sewaktu didatangi oleh wazir Rom, tempat rehatnya adalah di bawah pohon kurma.
Pandangan saya;
1. Isu perkauman dan kebangsaan dijadikan modal untuk meraih sokongan untuk mengekalkan kuasa. Bukankah kerajaan sekarang ditubuhkan oleh parti yang berasaskan kaum atau bangsa? Nicolo Machiavelli dalam bukunya 'The Prince' mengajar falsafah 'matlamat menghalalkan cara'. Ciri-cirinya; berunding untuk menang, tipu, helah, dan akhirnya memenjarakan atau membunuh.
Bagi Islam, falsafah dan pemikiran seperti itu tiada kena-mengena. Tiada soal perkauman dalam perjuangan Islam. Islam itu adil dan terbukti mampu memberi keadilan kepada semua kaum. Atas keadilan itulah, ia tersebar dan pernah memerintah 2/3 dunia selama lebih seribu tahun. Berbeza dengan Machiavellian, Islam berunding untuk mencari kebenaran, tiada tipu, tiada helah, tiada tangkap tanpa bicara dan tiada membunuh tanpa sebab.
2. Keruntuhan daulah Islam bukan kerana kerajaan miskin, sebaliknya hampir semua kerajaan tumbang ketika kaya raya. Kerajaan Islam Melaka, tumbang dalam keadaan pelabuhan Melaka adalah pelabuhan entreport. Digambarkan kekayaan Melaka oleh Puteri Gunung Ledang yang meminta hantaran sebagai syarat persetujuan perkahwinan dengan meminta Sultan Mahmud membina jambatan emas dan perak dari bandar Melaka hingga ke Gunung Ledang. Kini, Melaka berhutang dengan kerjaan pusat lebih daripada RM1.o5 billion.
Malaysia negara yang kaya dengan anugerah Allah Taala. Dari puncak gunung, hutan rimba, tanah daratan hinggalah ke dalam laut, nikmat itu tidak terhingga banyaknya. Petroleum yang menjadi sumber utama negara, cukai yang dipungut puluhan billion ringgit setahun dan segala macam khazanah lain ada, tapi harga barang terus kekal tinggi selepas peristiwa hitam kenaikan petroleum.
Minggu depan umat Islam akan menyambut aidil fitri. Teman-teman yang bukan Islam pun hendak turut meraikannya. Anak-anak amat gembira untuk menyambutnya, tapi 'bapa' beri 10 sen saja sebagai duit raya. Alahai! Patut ke? |