Nasihat Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Razali Ismail kepada 360,000 orang guru seluruh negara dan minda pengarang Berita Harian supaya guru tidak membincangkan isu politik ketika di sekolah menarik perhatian saya. Kata mereka;
i. dibimbangi boleh menjejaskan tumpuan tugas hakiki iaitu kepada pelajar dan pembelajaran, ii. tugas mereka sudah cukup berat mendidik generasi muda, iii. fikiran mereka terganggu atau terpesong jika asyik berpolitik atau mengikuti perkembangan isu politik semasa. iv. tidak harus mencampuradukkan tugas mereka dengan pengaruh politik kepartian. v. terbawa-bawa kepada soal kaum, agama dan kenegerian yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, serta memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat. Pada hemat saya, pandangan itu ada pro kontranya. Namun, kenyataan tersebut secara tidak langsung merendahkan martabat guru yang memang kritis terhadap sesuatu perkara. Saya ada pandangan lain! Saya faham bahawa pandangan itu ditujukan kepada guru yang pro Pakatan Rakyat (PR). Kalau yang menyokong Umno/BN, tiada masalah. Sebab? Bukankah hampir semua pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai Pelajaran Daerah, pengetua, guru besar dan penolong-penolong kanan serta Guru Kanan Mata Pelajaran dipastikan orang kuat Umno/BN, paling tidak penyokong mereka. Kalau ada daripada pembangkang, mereka itu dianggap sebagai pembangkang yang 'cair'. Perkara ini telah diketahui oleh para guru dan umum. Bukankah, timbalan menteri pun bekas pegawai pendidikan? Tanyalah diri sendiri, macam mana boleh jadi timbalan menteri kalau bukan orang kuat Umno? Atau, tanyalah Pengarah Pelajaran Kelantan! Seseorang guru tidak dinamakan guru kalau tidak mengajar atau tiada murid. Rata-rata guru yang mengajar di sekolah, sebelum dan sesudah menjawat jawatan tersebut, mengikuti pelbagai disiplin ilmu sewaktu mengikuti diploma perguruan atau pun kursus di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah. Di sinilah keistimewaan dunia pendidikan sebab guru berlatar belakangkan pelbagai bidang ilmu. Ilmu keguruan mereka semakin hari semakin mantap kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku antara mereka dengan para pelajarnya. Kebimbangan terhadap tumpuan guru tidak berbangkit, kecualilah mereka yang bercakap itu sengaja ingin menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa terhadap guru. Tidak tahulah pula, adakah guru yang menjadi juru kempen menjelang pemilihan agung Umno turut dimaksudkan dengan kebimbangan tersebut.
Memang tidak dinafikan bahawa tugas guru semakin berat. Apatah lagi sistem pendidikan negara masa kini berorientasikan peperiksaan dan mengejar kelulusan berbanding dengan matlamat mendidik pelajar dalam pelbagai lapangan untuk menempuh kehidupan pada hari muka. Kalau sudah mengakui tugas guru semakin berat, maka tiada sebab kepada kerajaan tidak memenuhi tuntutan kesatuan berhubung kebajikan mereka dalam isu kenaikan gaji, pangkat, beban tugas, peluang mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran dan banyak lagi. Peliklah. Kalau guru bercakap soal politik, mereka berkata tugas guru sudah cukup berat, tetapi apabila menuntut kebajikan, macam-macam pula alasan! Fikiran siapa yang terpesong? Analogi mudah kepada Datuk yang menjaga orang belajar dan terpelajar. Guru, kalau anak muridnya membuat kesalahan pasti ditegur. Kalau jawapan dalam latihan, ujian atau peperiksaan itu salah, maka dipangkah atau tidak diberi markah, tetapi kemudian diberi jawapan yang betul lagi tepat. Sebaliknya, kalau pemimpin membuat kesalahan, siapa yang patut menegur mereka? Tentulah rakyat yang memberi mandat. Kenapa takut dengan teguran rakyat? Siapa yang asyik berpolitik? Guru mengikuti perkembangan politik kerana itu fitrah manusia. Apa-apa yang diucap dan dilakukan pemimpin dinilai mengikut neraca ilmu, iman dan kemanusiaan. Keterlibatan mereka dalam politik belum tentu boleh sampai kepada jawatan timbalan menteri pendidikan. Datuk kena tanya diri sendiri. Sewaktu naik sebagai wakil rakyat, Datuk mewakili parti politik atau tidak? Bukankah dinaikkan kerana terlibat kuat dengan Umno. Kalau tidak, macam mana Umno boleh melantik Datuk mewakili mereka dan orang lain yang berangan ingin jadi calon pun boleh ternganga? Isu yang Datuk bangkitkan, akan menimbulkan seribu persoalan kepada Datuk. Tiada salahnya guru sama ada berpolitik, mengikuti politik, menganalisis politik, mengundi parti pembangkang atau apa sahaja. Berbicara soal politik mestilah kena dengan orang dan tempatnya. Ini negara demokrasi, bukan komunis! Guru hari ini adalah matang dan waras. Perjuangan mereka atas asas agama, kaum dan negeri perlu didengar dengan penuh keterbukaan oleh pemimpin yang berjiwa negarawan. Bukankah guru mengajar, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung? Istilah guru sebagai 'penyuluh kegelapan' jangan sedap diucap dalam majlis sambutan hari guru atau pada hari mengenang jasa semata-mata. Martabat mereka perlu dijaga. Peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan rohani, emosi, intelek dan politik jangan diremehkan. Pandangan mereka jangan dikesampingkan. Pemimpin hari ini pernah diajar oleh guru di sekolah pada suatu masa dahulu. Apakah guru perlu mengajar kalian sekali lagi? Mereka jangan diberi kata dua. Itu kurang adab namanya. |