"Jika sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir."
Al-Hasyir: 27
Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Janganlah kamu menuntut ilmu untuk menyombongkannya terhadap para ulama dan untuk meninggikan diri di kalangan orang-orang bodoh dan yang buruk perangainya, janganlah pula untuk menonjolkan diri dalam majlis untuk menarik perhatian kepadamu. Barangsiapa melakukan seperti itu maka baginya neraka....neraka."
Malam tadi, jam 10.10 hingga 10.55, Yang Berbahagia Profesor Datuk Nik Safiah Abdul Karim menyampaikan ceramah beliau berhubung dengan Pengajaran-Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Dataran Hamas, Pejabat Pas Kawasan Jasin, Melaka. Walaupun terpaksa menahan kesejukan kerana hujan namun lebih 1000 orang yang hadir tidak berganjak mendengar kupasan yang cukup akademik, bersemangat lagi menarik daripada tokoh bahasa Melayu tersohor di rantau ini.
Tulisan saya kali ini memuatkan sebahagian daripada isi kandungan ucapan beliau. Setiap butir kalimatnya sangat bermakna, tegas serta sopan. Inilah kekuatan guruku.
Katanya, "Lama-lama bangsa Melayu tidak akan ada bahasanya di dunia ini."
Tiga sebab penting mengapa saya menentang dasar PPSMI ini.
i. Dasar ini tidak adil.
Dasar ini tidak adil kerana menganaktirikan golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar. Orang yang menyokong dasar ini adalah mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka tidak peduli orang di luar bandar yang miskin, tidak mampu menghantar anak tuisyen, malah ada yang tidak tahu ada guru tuisyen yang boleh mengajar anak-anak mereka. Dasar ini hanya mengntungkan segolongan kecil orang di bandar manakala yang rugi adalah orang luar bandar. Di mana keadila? Mengapa kita mesti menyokong dasar yang tidak adil ini?
ii. Dasar ini tiada alasan kukuh untuk dilaksanakan.
Kajian Unesco menyatakan ilmu dasar seperi sains dan matematik lebih baik diajar dalam bahasa ibundanya. Hal ini lebih disedari oleh masyarakat Cina. Mereka menolak dasar ini dan tetap mengajar murid mereka dalam bahasa Cina. Kejayaan Jepun, Korea, China, Perancis dan Jerman kerana semua negara itu mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda. Di Indonesi, tiga tahun pertama persekolahan, murid diajar dalam bahasa ibunda sama ada Jawa Sunda, Makasar dan sebagainya. Hanya tahun keempat, murid diajar bahasa Indonesia. Mengapa kita tidak belajar daripada kejayaan orang lain?
iii. Dasar ini tidak betul.
Ia terbit daripada kerisauan pemimpin yang anak-anak kita tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka tidak risau anak-anak tidak tahu berbahasa Arab atau membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. Mereka nak bawa ilmu dari luar, berniaga dan seumpamanya. Anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negara bertahun-tahun, apabila pulang ke tanah air menghadapi masalah bertutur bahasa Melayu. Tetapi mereka menyalahkan bahasa Melayu sebab anak-anak mereka tidak tahu berbahasa Melayu. Mereka adalah seperti doktor yang tersalah memberi ubat untuk mengubati penyakit yang lain.
Kita perlu sedar bahawa bukan bahasa Inggeris sahaja bahasa antarabangsa malah bahasa-bahasa Arab, Sepanyol, Mandarin juga adalah bahasa antarabangsa.
Persoalan ahli-ahli bahasa ialah, mengapa hanya sains dan matematik mesti diajar dalam bahasa Inggeris? Jika anak-anak belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu pun mereka tidak faham dan cemerlang, apatah lagi bahasa Inggeris.
Jika ingin tingkatkan bahasa Inggeris, baikilah apa sahaja kelemahan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut. Jangan usik bahasa Melayu. Guru-guru era pasca merdeka, khususnya yang belajar sains dan matematik dilatih dalam bahasa Melayu tetapi dikehendaki mengajar dalam bahasa Inggeris. Adilkah mereka yang berkursus bahasa Inggeris tiga bulan dipaksa melaksanakan tugas sedemikian? Sebab itu, adalah sangat zalim memaksa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Anak-anak tidak mendapat ajaran yang sempurna kerana guru tidak terlatih dalam bahasa Inggeris. Amat zalim apabila anak-anak dipaksa bercakap dan menguasai konsep matematik dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak faham. Mereka yang mempertahankan dasar ini berdosa kepada anak-anak, ibu bapa, guru serta bangsa Melayu keseluruhannya kerana ia adalah dasar yang salah.
Sasterawan Negara telah bersuara menentukan pendirian dan arah tuju pejuangan, pejuang bahasa sudah menjelajah seluruh pelusuk negara dan KITA akan bersama meneruskan perjuangan yang masih belum selesai. Hayati sajak indah yang menggugah jiwa anak merdeka...
"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.
"Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.
"Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.
A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhamad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berusia enam bulan, keluarganya berpindah ke Singapura. Di Singapuralah, A. Samad Said membesar dan seperti kanak-kanak yang lain, memasuki alam persekolahan.
Zaman persekolahan, bagi A. Samad Said ialah "dunia indah kedua". Sebagai pelajar yang termasuk dalan kelompok pintar, A. Samad Said selalu diminta guru mengetuai aktiviti membaca di dalam kelas. Bagi seorang pelajar sepertinya, hal ini sesuatu yang membanggakan. Walau bagaimanapun, dunia indah ini tidak kekal lama apabila Singapura dihujani bom, dan terbabit secara langsung dalam kemelut Perang Dunia Kedua.
Keperitan melalui zaman perang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri A. Samad Said. Buku Di Hadapan Pulau (1978), Salina (1961) dan Lantai T. Pinkie (1997) adalah karya penting beliau yang berlatar belakangkan zaman perang.
Penulis yang prolifik dan cukup dihormati ini menerima pengiktirafan sebagai Pejuang Sastera (1976), penerima SEA Write Award (1979), penerima Anugerah Sasterwan Negara (1989), pelbagai anugerah yang lain. Pada tahun 1996, A. Samad Said dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka oleh Kerajaan Melaka yang membawa gelaran Datuk.
Hari ini, beliau bukan seperti dahulu, menulis dan mengolah kata bicara indah kisah pada zaman perang, tetapi menjadi watak penting dalam sebuah kisah perjuangan menentang PPSMI demi mendaulatkan semula bahasa Melayu bukan hanya dalam dunia pendidikan tetapi sebagai bahasa negara merdeka Malaysia tercinta. Syabas Pak Samad. Semoga Allah menerima perjuangan kita semua.
“Sekarang Islam mempunyai keistimewaan ‘duduk’ di hadapan. Dalam perundingan itu, kita duduk dan agama-agama lain pun ada sekali buat keputusan untuk semua, apakah keistimewaannya Islam?” soalnya. (petikan Utusan Melayu, 25 Februari 2009)
Banyak persoalan yang bermain di fikiran saya tentang kenyataan YB Shabudin Yahaya, YDP MAINPP berhubung isu Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama yang beliau cetuskan.
1. Saya berpendapat YB tidak memahami makna perkataan yang YB sendiri gunakan. Nasihat saya, YB rujuk semula Kamus Dewan dan fahami setiap makna perkataan itu dengan teliti. Saya bimbang kegagalan YB menguasai makna istilah dalam ungkapan tersebut sebagai akibat daripada sikap YB yang mengagungkan bahasa Inggeris.
i. Majlis ertinya badan yang dilantik atau dipilih, yg mempunyai kuasa mentadbir, membuat peraturan dan menasihat.
ii. Perundingan ertinya perbuatan berunding, pembicaraan, permesyuaratan, perembukan.
iii. Silaturahim ertinya tali atau perhubungan persahabatan (persaudaraan)
iv. Agama ertinya 1. kepercayaan pd Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan pd yg Maha Kuasa: agama Islam, agama Kristian;orang yg memeluk agama Islam disebut juga orang mukmin; agama langit agama yg bukan ciptaan manusia. 2. kepercayaan pd sesuatu dewa dll (yg dipuja dsb yg dianggap sbg sesuatu yg amat berkuasa).
Dalam bahasa Sanskrit, agama berasal daripada dua perkataan iaitu 'a' ertinya tidak dan 'gama' ertinya 'kacau'. Orang yang berpegang kepada mana-mana kepercayaan, 'tidak kacau' kepercayaan orang lain. Islam mengajar kita supaya tidak 'mengacau' kepercayaan orang lain.
2. YB berkata Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Namun, pemikiran dan sikap yang disuarakan menunjukkan YB sebagai pemimpin yang rendah akal budi dan jauh daripada mencerminkan sifat ketinggian Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan ajaran Al-Quran dalam berhadapan dengan golongan bukan Islam.
Adakah merealisasikan rundingan, dianggap menghilangkan keistimewaan Islam? Adakah YB adalah orang yang tidak boleh dibawa berunding?
Saya berpendapat, YB adalah orang tidak kena untuk duduk mengetuai jawatan yang sepenting MAINPP, lebih-lebih lagi dengan sikap berkeras tidak kena tempat itu.
Minggu lalu, saya menulis tentang wasiat Bendahara Paduka Raja. Kali ini, kita baca, fahami, renungi, ambil nilai dan iktibar daripada wasiat Sultan "Alaudin Riayat Syah pula. Semoga baginda termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang solih. Al-Fatihah.
Maka titah Sultan ‘Alauddin, “Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya. Hai anakku, yang hidup ini sedia akan mati jua sudahnya, melainkan iman seperti itulah yang kekal selamanya. Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ‘ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu.
Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksyai baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu, kerana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, "kullukum raa’in wakullukum mas’ulun arra’iyati’', ya’ni, segala kamu yang mengembala lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu. Ertinya, segala raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah daripada segala kebelaannya daripada segala ra’yatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat ‘adil dan syaksama, supaya di sana dipeliharakan Allah Ta’ala kiranya engkau dalam akhirat.
Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besyar-besyar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan ‘adilnya. Adapun raja-raja itu upama api, segala perdana menteri upama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala. (Hadis-penulis). Ertinya, yang ra’yat itu upama akar, raja itu upama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja-raja Melayu itu dengan segala ra’yatnya.
Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah, kerana segala Melayu itu {ke}tu{h}anmu, seperti hadis: …….(penulis), ertinya, yang hamba itu upama tu{h}annya, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa. Hai anakku, hendaklah kau ingatkan segala wasiatku ini, syahdan engkau kerajaan supaya berkat engkau diberi Allah.”
Setelah itu maka Sultan ‘Alauddin pun mangkatlah, berpindah daripada negeri yang fana ke negeri yang baqa, inna lillahi wainna ilaihi raji’un. Maka anakanda baginda Raja Mamatlah kerajaan menggantikan ayahanda baginda. Maka gelar baginda di atas kerajaan Sultan Mahmud Syah.
1. "Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak." Surah Ibrahim:42
2. Rasulullah s.a.w bersabda; "Tiada lurus iman seorang hamba sebelum lurus hatinya, dan tiada lurus hatinya sebelum lurus lidahnya." Hadis riwayat Ahmad.
3. Yahya bin Muaz r.a berkata; "Angan-angan menghalangi kebaikan, ketamakan (rakus) menghalangi kebenaran, kesabaran membawa kepada kejayaan serta keuntungan dan nafsu selalu mendorong kepada kejahatan."
Isu rampasan kuasa di Perak dan Perutusan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat mendorong saya menelaah semula karya agung bangsa Melayu iaitu Sulalat al-Salatin atau Perteturun Segala Raja-raja Melayu atau Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang.
Saya perturunkan sebahagian daripada petikan karya tersebut. Fikir, renung, serta ambil apa-apa nilai dan pengajaran daripada wasiat Paduka Raja atau lebih dikenali sebagai Tun Perak itu.
Arkian maka Bendahara Paduka Raja pun sakitlah, terlalu sangat. Maka bendahara pun menyuruh memanggil anak cucu-nya, yang sehari dua hari perjalanan disuruhnya panggil. Setelah sudah berkampung semuanya maka Bendahara Paduka Raja pun berwasiat pada segala anak cucunya. Demikian kata bendahara, “Hai anak cucuku, jangan kamu tukarkan agama dengan dunia, yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Syahadan yang hidup sahaja akan mati juga kesudahan. Hendaklah kau tuluskan hatimu pada berbuat kebaktian pada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan akan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan berbuat kebaktian akan raja dan {akan} jangan kamu kelupai pada segala hukuman bahawa raja-raja yang ‘adil itu dengan Nabi Allah, upama dua permata pada sebentuk cincin. Lagipun yang raja itu upama ganti Allah. Apabila berbuat kebaktian akan Nabi Allah serasa berbuat kebaktian akan Allah, seperti firman Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an: 59 (awal ayat sahaja-penulis)Yakni: Berbuat baktilah kamu akan Allah dan akan Rasulullah. Inilah wasiatku kepada kamu semuanya. Hendaklah jangan kamu lupa supaya kebesaran dunia akhirat kamu sekalian peroleh.”
Setelah itu maka bendahara memandang pula pada Seri Nara al-Diraja. Maka kata bendahara pada Sri Nara al-Diraja, Seri Maharaja Mutahir, “Mutahir, engkaulah kelak menjadi orang besar, daripada aku pun lebih kebesaranmu, tetapi jangan pada bicaramu engkau bapa saudara raja. Jikalau melintas pada hatimu engkau bapa saudara raja, engkaulah dibunuh orang.”
Maka bendahara mengadap pula pada Tun Zainal ‘Abidin. Maka kata bendahara, “Hai Zainal ‘Abidin, jika engkau tiada bekerja raja hendaklah engkau diam di hutan, karena perut panjang sejengkal oleh taruk kayu dan daun kayu pun kafi isinya.”
Maka bendahara berkata kepada Tun Pauh, “Pauh, jangan engkau diam di negeri, diam engkau ke rantau supaya sapa sarap pun sekalian menjadi emas.”
Maka bendahara berkata kepada Tun Isak, “Isak, jangan mencari pencarianmu di balairung raja.”
Demikianlah wasiat Bendahara Paduka Raja pada segala anak cucunya, tiada sekata, pada seorang lain, masing (-masing) pada patutnya.
Setelah Sultan ‘Alauddin Syah menengar Bendahara Paduka Raja sangat sakit maka Sultan ‘Alauddin pun datang mendapatkan Bendahara Paduka Raja. Maka Bendahara Paduka Raja menyembah pada Sultan ‘Alauddin.
Maka sembah bendahara kepada Sultan ‘Alauddin, “Adapun tuanku, pada perasaan patik, dunia ini luputlah daripada genggaman patik, melainkan negeri akhiratlah semata patik harap. Hendaklah jangan tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya; jikalau tuanku dengarkan sembah orang yang demikian itu akibatnya tuanku menyesal. Yang kehendak nafsu jangan tuanku turutkan, kerana banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Ta’ala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya.”
Setelah itu maka Bendahara Paduka Raja pun kembalilah ke rahmatullah. Maka dikerjakan Sultan ‘Alauddin seperti adat bendahara mati. Maka Tun Perpatih Putih, adik Bendahara Paduka Raja, ialah yang dijadikan oleh Sultan ‘Alauddin Bendahara, disebut orang Bendahara Putih. Maka Bendahara Putih pun beranak seorang laki-laki, baik rupanya, bernama Orang Kaya Tun Abu Sait. Maka Orang Kaya Tun Abu Sait beranak dua orang laki-laki, yang tuha bergelar Seri Amar Bangsa, yang muda bernama Orang Kaya Tun Muhammad, ialah beranakkan Orang Kaya Tun Adan, dan Orang Kaya Tun Sulat, dan bonda Tun Hamzah dan bonda Datuk Darat. Adapun akan Orang Kaya Tun Muhammad itu jikalau duduk pada jumlah Melayu ialah ‘alim, tahu akan saraf nahu sedikit, akan ‘ilmu fikah sedikit, akan ‘ilmu usul pun mengerti.
Perutusan Tuan Guru berkenaan Isu Rampasan Kuasa di Perak - Malaysiakini
RAJA DAN DEMOKRASI
1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan penculikan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.
2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini.
Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”
3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.
4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.
5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.
6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman. Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud : “Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45). Wallahua’lam.
Name: Cikgu Azrin Ab. Majid Home: Jasin, Melaka, Malaysia About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin. See my complete profile