1. Umar bin Abdul Aziz membaca ‘inna lillahi wainna ilaihi raji’un’ apabila wasiat Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dibacakan kepada umat Islam bahawa beliau adalah pengganti khalifah.
2. Kemudian dia berkata;
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dibebani dengan pekerjaan ini tanpa meminta pendapatku terlebih dahulu dan bukan pula ia atas permintaanku sendiri dan tidak pula atas musyawarah kaum muslimin. Dan sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada baiat yang terletak di atas bahu saudara-saudara terhadapku, maka pilihlah sesiapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas”.
Beliau mempraktikkan demokrasi musyawarah dengan mengubah amalan pewarisan pemerintahan yang telah diamalkan sejak zaman Muawiyah bin Abi Sufyan. Tetapi orang ramai menolak dan berkata; “Kami telah memilih engkau wahai amirul mukminin dan kami telah rela terhadap engkau. Perintahlah kami dengan baik dan berkat”.
3. Ucapan Umar bin Abdul Aziz selepas itu.
“Aku berwasiat kepada kamu semua supaya bertakwa kepada Allah kerana takwa kepada Allah itu lebih penting daripada segala sesuatu dan tidak ada kemuliaan yang dapat menggantikan takwa kepada Allah. Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana barangsiapa yang beramal untuk akhiratnya maka Allah s.w.t akan menjamin selesailah urusan kehidupan dunianya. Baikkanlah tingkah lakumu di waktu kamu bersunyi diri, nescaya Allah juga akan membaikkan tingkah lakumu tatkala kamu berada di khalayak umum. Perbanyakkanlah mengenang maut dan baikkanlah persiapanmu dalam menghadapinya sebelum ia datang menjemputmu kerana ia boleh mencegah hidup berfoya-foya dengan kelazatan. Barangsiapa yang tidak mahu mengenangkan nenek moyangnya yang telah meninggal sejak zamannya hingga kepada Nabi Adam a.s., nescaya akan menemui kematian yang hina dina”.
“Sesungguhnya umat ini tidak akan bersengketa tentang Tuhannya, tidak tentang Nabinya dan tidak pula akan bersengketa tentang benda, dinar dan dirham. Dan, aku demi Allah tidak akan memberi seseorang dengan cara yang batil dan tidak pula menghalangi seseorang akan hak yang harus diterimanya. Aku bukanlah bendaharawan, tetapi aku meletakkan sesuatu pada tempatnya sebagaimana aku diperintah oleh agamaku”.
“Wahai manusia! Sebelum aku, telah muncul ketua-ketua yang tidak kamu senangi dengan meletak kezaliman atas diri kamu. Ketahuilah bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada khalik. Barangsiapa yang mentaati Allah, wajiblah mentaatinya dan barangsiapa yang menderhaka kepada Allah maka tidak ada ketaatan kepadanya. Taatlah kamu kepadaku selama aku taat kepada Allah. Jika aku derhaka kepada Allah, tidak ada keharusan bagimu untuk taat kepadaku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku dan untuk saudara-saudara sekalian”.
4. Kata-kata Umar kepada pembantunya selepas pulang dari pengkebumian khalifah Sulaiman. “Orang yang sepertiku ini, sekarang seharusnya berdukacita. Aku harus menyampaikan kepada setiap orang akan haknya, sekalipun ia tiada berkirim surat kepadaku tentang hal itu dan tidak pula memintanya”.
5. Selepas solat Umar berdoa dan menangis. Dia berkata kepada isterinya, Fatimah binti Abdul Malik.
“Wahai Fatimah! Aku telah menanggung beban untuk mengurus umat Muhammad s.a.w, baik yang berkulit hitam mahupun merah. Lantas terfikir akan aku tentang nasib orang fakir miskin yang lapar, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak mempunyai pakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang ramai anak serta harta bendanya sedikit, dan lain-lain lagi yang seperti mereka itu yang terdapat di seluruh penjuru bumi dan pelosok negeri. Aku ingat, bahawa Tuhanku akan menanya dan meminta pertanggungjawabanku tentang mereka semua pada hari kiamat kelak. Maka aku takut kalau aku tidak boleh memberikan keterangan hujahku. Sebab itu aku menangis”. |