Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik...." Umar menyebut: "Janganlah kamu mengagung-agungkan diriku sebagaimana orang Nasara mengagungkan Isa. Aku ini hamba Allah. Oleh itu, selalulah menyebut namaku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya."
WAHAI Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikuti Rasul-Mu. Oleh itu masukkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu). (Ali-Imran: 53).
Keterangan ayat. Ibn Jarir mengatakan bahawa apabila Nabi Isa a.s. dikepung bersama 19 pengikutnya daripada kalangan al-Hawariyyin di Baitul Maqdis. Maka Nabi Isa telah berkata kepada pengikutnya: “Siapakah yang akan mengambil wajahnya untuk dibunuh oleh musuh. Sebagai balasannya, Allah akan memberikan kepadanya syurga.” Maka seorang daripada mereka menerimanya lalu Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. (tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 53, surah Ali-Imran). “Masukkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi” bermaksud bersama Nabi Muhammad SAW dan umat baginda (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-‘Imran). Jika Nabi Isa a.s. yang mulia memohon tersenarai sebagai umat Nabi Muhammad SAW, alangkah malunya kita jika tidak memohon mendapatkan kemuliaan itu. Malah, lebih buruk jika menjadi penentang walaupun satu daripada pelbagai ajaran baginda yang mulia. |