14 Mac 1948 adalah tarikh penting dalam sejarah politik Malaysia. Pada tarikh itulah, para ulama dan cendikiawan Islam dari seluruh negara telah berhimpun di Maahad El-Ehya Asy-Syarif, Gunung Semanggol, Bukit Gantang untuk membincangkan agenda yang besar iaitu perjuangan politik, pendidikan, ekonomi dan dakwah Islam di negara ini.
Penggerak utamanya ialah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Hasilnya tertubuh sebuah wadah perjuangan umat Islam yang sangat berpengaruh di negara ini iaitu Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin adalah pancaran jihad umat Islam di Malaysia menentang penjajah British dan menerima pengaruh secara langsung daripada Ikhwan Muslimin di Mesir yang dipimpin oleh Asy-Syahid Hasan Al-Banna. Namun, usia parti ini tidak panjang apabila diharamkan oleh penjajah British menerusi Ordinan Darurat 1948. Ia adalah tapak asas kepada penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kemudiannya pada 23 Ogos 1951.
|