Peringatan kepada kita selepas lebih 50 tahun pemergiannya.
Dalam risalah “Bainal Amsi wal Yaum” (Di Antara Semalam dengan Hari Ini) di bawah tajuk “Ranjau-ranjau di Jalan Kita”, Al-Syahid Imam Hasaan al-Banna menyatakan:
“Saya suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kamu ini masih belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai-bagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendokong dakwah. Ada pun sekarang mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.
Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli agama dan ulamak-ulamak yang resmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengaku jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.
Lanun-lanun ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah yang lemah dan akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta sesuatu daripada mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.
Kamu akan dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu. Mereka akan berusaha menonjolkan kekurangan dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta benda dan kuasa mereka.
Firman Allah Taala: “Mereka itu mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka dan Allah menyempurnakan agama-Nya sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir”. (As-Saff:8)
Dengan itu, kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta benda, disekat kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi, masa ujian yang bakal kamu hadapi ini panjang.
Firman Allah: “Apakah manusia itu mengira mereka ditinggalkan begitu sahaja untuk berkata: “Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji?”.
Tetapi Allah telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik.
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong agama Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Saiapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? “. Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan daripada Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir, maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang”. (As-Saff: 10-14)
“Setelah memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi penolong-penolong (pejuang-pejuang) menegakkan agama Allah?” |