CIKGU AZRIN BIN AB. MAJID
Ahad, 29 Mac 2009
Politik Tidak Boleh Dipisahkan daripada Islam
Naib Presiden Umno yang baru DS Hishammuddin Tun Hussen mencadangkan agar golongan pendidik, terutama guru dalam kumpulan A diberi kelonggaran untuk dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti politik.
Jika kebenaran hanya untuk menyokong Umno, saya fikir ini adalah satu kesedaran yang mentah. Tidak sepatutnya hanya guru yang pro-Umno sahaja dibenarkan berpolitik. Benarkan semua guru, bukan sekadar kumpulan A sahaja. Benarkan juga untuk memilih parti dan bukan parti Umno sahaja. Mereka yang pro-pembangkang juga mesti diizinkan.
Guru adalah orang yang berilmu. Sepatutnya kepelbagaian latar ilmu dan pendidikan dapat dimanfaatkan untuk kemajuan politik negara ke arah yang lebih sihat dan benar. Saya sudah terlibat dalam PAS sejak 1991 lagi dan sudah melalui pelbagai tekanan. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan amat penting untuk kesejahteraan kehidupan.
Sebagaimana guru menanda latihan, ujian mahupun peperiksaan, murid yang salah jawapannya akan diperbetulkan. Begitu juga politik. Adakah guru akan membenarkan perbuatan rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan, pilih kasih dan berbagai-bagai macam kecurangan yang dilakukan oleh pemimpin politik Umno dulu dan masa kini?
Guru-guru dahulu, sebahagiannya memang benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi tidak sedikit juga yang tersasar daripada matlamat tersebut. Apabila sudah bergelar Datuk, Tan Sri, memegang banyak GLC dan entah apa-apa lagi, status hidup pun berubah manakala panggilan 'cikgu' sudah tiada karamahnya lagi.
Guru-guru yang bercita-cita untuk menyambut cadangan ini kena berfikir dengan petunjuk iman, bukan dengan keghairahan.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 29, 2009   0 comments
Jawapan Salah daripada seorang bakal PM
"Ia akan melibatkan lebih kurang 32,000 projek pembangunan yang akan melibatkan kontraktor kelas F, yang juga penyokong kuat Umno," katanya.

DS Najib Razak yang baru diisytiharkan sebagai Presiden Umno menyatakan bahawa sejumlah RM1.5 bilion akan dibelanjakan sehingga akhir bulan hadapan dan RM 2.5 bilion sehingga akhir bulan Mei.
Pengumuman ini dibuat sewaktu menjawab usul ekonomi yang dikemukakan oleh perawakilan yang turut mendedahkan bahawa kerajaan berkemungkinan memperuntukkan kira-kira RM 200 bilion lagi di bawah Bajet (Belanjawan) 2010, selepas RM 206 bilion pada Belanjawan 2009 serta pakej rangsangan pertama RM7 bilion dan pakej kedua RM60 bilion.

Ini adalah jawapan yang salah oleh seorang bakal Perdana Menteri. Kalau berbelanja duit sendiri atau duit emak bapak sendiri pun kita kena berhati-hati, inikan pula duit RAKYAT.

Kita faham bahawa kontraktor yang menjadi penyokong kuat Umno pun rakyat tetapi mengapa mereka mesti diberi keistimewaan?

DS Najib masih tidak mahu belajar daripada sejarah. Kita tengok sampai bila beliau boleh bertahan. Apa yang RAKYAT wajib lakukan untuk memperbetulkan kesalahan ini?

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 29, 2009   0 comments
Sabtu, 14 Mac 2009
PPSMI: PM pun kena buli - Mahfuz
Abdul Aziz Mustafa Sat Mar 14, 09 3:22:56 am

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak terperanjat beliau dicari oleh pihak polis kerana dipercayai terbabit dalam perarakan tanpa permit membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Istana Negara, Sabtu lalu kerana "Perdana Menteri pun kena buli".

"Apa yang nak dihairankan, Perdana Menteri pun kena buli," kata beliau sambil merujuk laporan bertajuk "Bahasa Inggeris: Kajian dasar tidak akan dipercepat, tegas Hishammuddin" setelah disiarkan berita bertajuk "Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar".

"Bukan setakat (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) Karpal (Singh) yang dibuli oleh Pemuda Umno apabila mereka menyerang beliau di bangunan Parlimen, Perdana Menteri pun dibuli oleh Ketua Pemuda Umno kalau kita baca laporan mengenai kenyataan (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) mengenai PPSMI.

"Kalau Perdana Menteri pun kena buli, apa nak dihairankan rakyat bawahan seperti saya dicari polis," kata Mahfuz.

Mahfuz seterusnya berkata, kalau Ketua Pemuda Umno sendiri begitu ketara tidak menghormati Perdana Menteri yang juga Presiden partinya sendiri, tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno.

"Kita bercakap mengenai Perdana Menteri dari Umno, bukan (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Perdana Menteri, beliau juga Perdana Menteri dari Umno dan tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno kerana Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menghormati Perdana Menteri dari partinya malah Presiden partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Pihak polis Khamis lalu mengedarkan nama kesemua individu tersebut supaya mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samad Mah berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana perhimpunan dan perarakan PPSMI itu tidak mendapat permit dan dianggap melanggar undang-undang mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.

"Kami harap individu terbabit boleh membantu kami dengan memberikan keterangan kepada pegawai kita seberapa segera," katanya.

Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad; Timbalan Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain; Setiausaha GMP, Hasni Abas; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Mahfuz; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Akademik, Prof Abdullah Hasan; Ainon Mohd; penggiat teater, Shamsudin Othman (Dinsman); Suhaizan Kaiat; Mohamad Faizal Abd Aziz; Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua AMK Bahagian Batu, Rozan Azen Mat Rasip. , . _
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Mac 14, 2009   0 comments
Hizbul Muslimin
14 Mac 1948 adalah tarikh penting dalam sejarah politik Malaysia. Pada tarikh itulah, para ulama dan cendikiawan Islam dari seluruh negara telah berhimpun di Maahad El-Ehya Asy-Syarif, Gunung Semanggol, Bukit Gantang untuk membincangkan agenda yang besar iaitu perjuangan politik, pendidikan, ekonomi dan dakwah Islam di negara ini.

Penggerak utamanya ialah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Hasilnya tertubuh sebuah wadah perjuangan umat Islam yang sangat berpengaruh di negara ini iaitu Hizbul Muslimin.
Hizbul Muslimin adalah pancaran jihad umat Islam di Malaysia menentang penjajah British dan menerima pengaruh secara langsung daripada Ikhwan Muslimin di Mesir yang dipimpin oleh Asy-Syahid Hasan Al-Banna.
Namun, usia parti ini tidak panjang apabila diharamkan oleh penjajah British menerusi Ordinan Darurat 1948. Ia adalah tapak asas kepada penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kemudiannya pada 23 Ogos 1951.

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Mac 14, 2009   0 comments
Jumaat, 13 Mac 2009
Kelantan Darul Naim menang lagi.
NiK Nur Madihah yang memperoleh 19 1A dan 1 2A dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan bersama bapanya, Nik Mohd. Kamal Husin dan ibu, Mariani Omar.

TAHNIAH. Teruskan perjuangan kerana ilmu itu masih luas. Pencapaian kamu membuktikan bahawa belajar dalam aliran agama juga boleh berjaya dengan cemerlang. Kelantan DN menang lagi.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Mac 13, 2009   1 comments
Tazkirah
Firman Allah Taala; Al-Baqarah:186

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku (Allah) maka (jawablah) bahawa Aku ini hampir. Aku memperkenankan doa orang yang memohon apabila dia (sungguh-sungguh) bermohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku, semoga mereka selalu mendapat panduan yang baik."
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Mac 13, 2009   0 comments
Khamis, 12 Mac 2009
Jangan Menangis Budak Tua
Jangan menangis
budak tua
hidup tak selalu manis
tapi....
ombak tua
pantai keredut
kalaupun kau menangis
gunung akan di situ juga
sungai mengalir ke hilir....


A. Ghafar Ibrahim
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Mac 12, 2009   0 comments
Syair Cinta Aisyah...

Wahai manusia yang tidak sekalipun mengenakan sutera,
Yang tidak pernah sejeda pun
membaringkan raga pada empuknya tilam

Wahai kekasih yang kini telah meninggalkan dunia,
Ku tau perut mu tak pernah kenyang
dengan pulut lembut roti gandum

Duhai, yang lebih memilih tikar sebagai alas pembaringan

Duhai, yang tidak pernah terlelap sepanjang malam
karena takut sentuhan neraka Sa’ir

~ Aishah ra


Kesedihan

Dan antara kesedihan itu
ialah apabila engkau menyintai seseorang,
akan tetapi si dia yang engkau cintai itu
menyintai orang lain selainmu.

Ataupun [kesedihan itu ialah]
apabila engkau menghendaki
perkara yang baik untuk seseorang,
sebaliknya dia mahu menyakitimu.

~ Imam Shafi’i

Pintaku Padamu

Kalau esok kasih kita `kan hancur jua
usah ditaburi bumi ini dengan air mata
dunia bukan semata milik orang bercinta
hidup jua bukan semata untuk berlagu kecewa

di bawah mentari pagi demikian jernihnya
hayunkan gagah langkahmu sepenuh khidmat
usapi kesetiaan hati seluruh umat

Kalau esok jua hidup dijenguk kematian
usah ditangisi sepinya tanah kelahiran
nyanyikan lagu perindu ke wajah Tuhan
tanda hatimu setia dalam usia pengembaraan

tau-taulah di bintang satu
di hari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara
di hari mati kita mengira pahala dan dosa

Dharmawijaya (1963)

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Mac 12, 2009   0 comments
Rabu, 11 Mac 2009
Akta Pendidikan 1996
Status dan kedudukan pendidikan bahasa Melayu dalam Akta Pendidikan 1996 ternyata di bawah bahagian Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dalam seksyen 15 dan 16 Akta Pendidikan 1996, diperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi.
Sistem ini meliputi tiga kategori institusi pendidikan iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta.
Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di Sekolah Jenis Kebangsaan ataupun mana-mana institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan. Institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan perlu mengajar bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, Mac 11, 2009   0 comments
"Kita punya pandangan serupa dengan GMP" - TG NIk Aziz
Harakahdaily Wed Mar 11, 09 9:20:43 am MYT

KOTA BAHARU, 11 Mac (Hrkh) -- Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu penglibatan parti pembangkang dalam himpunan 100,000 anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) 7 Mac lalu bukan bertujuan mengambil kesempatan tetapi kerana mempunyai pandangan sama terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata disebabkan kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan GMP mempunyai aliran yang sama maka berlakulah himpunan besar-besaran itu secara serentak.
"Ya lah, aliran pemikiran serupa, mana ada manusia yang cintakan bahasa tidak mahu masukkan ilmu Sains dan Matermatik dalam bahasa Melayu, kami pembangkang juga setuju," katanya yang dipetik daripada laporan agensi berita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan PAS dalam himpunan dan perarakan membantah pelaksanaan PPSMI dari Masjid Negara ke Istana Negara.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata himpunan itu diadakan kerana kerajaan tidak mempeduli bantahan yang dibuat oleh orang ramai berhubung isu PPSMI.

Beliau menyifatkan kerajaan tidak memahami dengan kehendak pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diutamakan sehingga sanggup menuduh GMP diperalatkan pembangkang.

Dua hari lepas, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI pada Sabtu jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu. - azm
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Rabu, Mac 11, 2009   0 comments
Isnin, 9 Mac 2009
Pooorah
Saya terima mesej pesanan ringkas ini daripada abang ipar saya. Saya kenal bahawa abang ipar saya ini adalah pemimpin pemuda Umno sejak era 1970-an lagi. Beliau menjadi penggerak utama kepada kebangkitan politik Datuk Mohamad Rahmat dan Datuk Ajib Ahmad, di Johor Bahru kemudian menjadi penyokong kuat Dato' Musa Hitam serta Team B dalam pertembungan dengan Dr Mahathir bersama Team A.
Sekarang, saya fikir beliau memang tidak menyokong banyak perkara dalam Umno atas pelbagai sebab terutamanya idealisme perjuangan Melayu yang memang sudah berkubur dalam Umno. Tetapi beliau tidak juga membulatkan diri bersama adik-adik iparnya dalam PAS. "Ya, Allah berilah petunjuk dan kekuatan kepadanya." Amin.

Datuk Hishammuddin Tun Hussein terimalah ini.

"...Ditambah dengan pemimpin Melayu yang yang tiada jati diri Melayu. Cium keris pun nak minta maaf pada Cina. Kecik-kecik tak campur orang Melayu. Tak baca sejarah Melayu. Masa 13 Mei entah kat mana. Lepas tu nak jadi pemimpin Melayu. Pooorah......"
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 09, 2009   2 comments
FRU pun kena gas juga...

Lihat gambar ini dengan teliti. Pelik tetapi benar. Gas pemedih mata yang dilepaskan, meletup di hadapan muka mereka terlebih dahulu sebelum meluncur ke udara. Soalan saya, siapa yang mula-mula terkena gas tersebut dan apakah yang dirasai oleh mereka? Ya, sama seperti kita! Pedih mata, pedih dan gatal di bahagian muka serta loya, turut mereka rasa.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 09, 2009   0 comments
GAZA DI MALAYSIA
GAZA DI MALAYSIA
Oleh: Raudah HS Nuur

Percikan api di Gaza tidak seperti
Percikan bunga api di sorak merdeka Kuala Lumpur
Percikan api di Gaza
Bersama percikan darah dan air mata

Tangisan anak-anak Gaza tidak seperti
Tangisan anak-anak Malaysia yang merajuk
Minta dibelikan KFC dan Mc Donald
Tetapi tangisan anak-anak Gaza
Merintih minta ibu dan ayah
yang hilang bersama asap dan runtuhan
Jeritan di Gaza tidak seperti
Jeritan rakyat Malaysia di Masjid Negara
Menyokong keranda PPSMI
Tetapi jeritan di Gaza
Meraung anak-anak yang terkulai
Oleh Israel berjiwa syaitan

Gaza dan Malaysia
Tetapkan hati pada tuhan
Serahkan jiwamu dengan kerendahan
Mimpi ngerimu takkan berulang
Kerana kami bersamamu berjuang
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 09, 2009   0 comments
Singkirkan - oleh Faisal Tehrani
9 March 2009

"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said .

Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam buletin utama dan buletin 1:30 (ahad lalu) memang dangkal.

Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: 'Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap.

'Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna.
Hayati sikap Datuk A. Samad Said ini:

1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua. Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac.

Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.
6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.

Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan. Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

7. Malah ketika di bawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.

Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang menguncupkan bahasa ini.- Datuk A. Samad Said.


Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden UMNO terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis.

Kata-kata Pak Samad: 'Ertinya kalau di mana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita' akan menghantui beliau.
Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata. Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak.

Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang: Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu, di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam.


Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu.
Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!):

Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan:
1. Ia bermotif politik.
2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI?
3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris.
4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI.
5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI?
6. PPSMI akan membantu pengajaran BI.
7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM.dan banyak lagi persepsi cetek.
Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik.

Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini:


dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi.Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya - seniman selalu akan menang.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 09, 2009   0 comments
Muhammad s.a.w Rasul Ikutan
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik...."

Umar menyebut: "Janganlah kamu mengagung-agungkan diriku sebagaimana orang Nasara mengagungkan Isa. Aku ini hamba Allah. Oleh itu, selalulah menyebut namaku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya."

WAHAI Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikuti Rasul-Mu. Oleh itu masukkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu). (Ali-Imran: 53).
Keterangan ayat.
Ibn Jarir mengatakan bahawa apabila Nabi Isa a.s. dikepung bersama 19 pengikutnya daripada kalangan al-Hawariyyin di Baitul Maqdis. Maka Nabi Isa telah berkata kepada pengikutnya: “Siapakah yang akan mengambil wajahnya untuk dibunuh oleh musuh. Sebagai balasannya, Allah akan memberikan kepadanya syurga.” Maka seorang daripada mereka menerimanya lalu Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. (tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 53, surah Ali-Imran).
“Masukkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi” bermaksud bersama Nabi Muhammad SAW dan umat baginda (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-‘Imran).
Jika Nabi Isa a.s. yang mulia memohon tersenarai sebagai umat Nabi Muhammad SAW, alangkah malunya kita jika tidak memohon mendapatkan kemuliaan itu. Malah, lebih buruk jika menjadi penentang walaupun satu daripada pelbagai ajaran baginda yang mulia.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 09, 2009   0 comments
Ahad, 8 Mac 2009
Mataku Takkan Buta Kerana Gas Ini..









"Mataku takkan buta hanya kerana gas ini. Tetapi yang buta mata hatinya ialah mereka yang tidak peduli dengan perjuangan ini....
Allah berkati usia SN Pak Samad."

















posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 08, 2009   0 comments
Gas Pemedih Mata




































posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 08, 2009   0 comments
Rubaiyat Umar Khayyam
Petikan Rubaiyat Umar Khayyam

Mari kita ikuti kisah seorang anak manusia
dan kita lupakan usia
dengan keindahan bintang di malam hari
tidur tak mampu memperpanjang usia manusia
berjaga malam
juga tidak mengurangi umur manusia sedikit pun.

=======
Mata

Oh mata,
kau tak buta,
lihat liang lahad itu
dan lihat dunia yang penuh kekacauan dan sengsara
raja, kadi dan putera, semua terkubur di dalam tanah
lihat si wajah cantik di rahang-rahang semut

~Rubaiyat Umar Khayyam

Inilah Aku ~ Umar Khayyam

Masa kini dan di masa depan orang akan datang dan berkata, “Inilah aku!”
Hadiah emas atau perak ia berikan, sambil berkata, “Inilah aku!”
Namun ketika suatu masa dalam hidupnya ia jatuh sakit
Maut memerangkap dan berkata, “Inilah aku!”
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 08, 2009   0 comments
Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa

Ingin kurakamkan segalanya pada malam ini
bagaimana kutidur di dadamu
dan kau cuba mengeringkan airmata
tapi aku tidak dapat bersuara
apabila setiap kata-kataku
telah menjadi sebuah dosa

Bila kau bertanya sesuatu
paling mudah menjawab “tidak tahu”
kerana berkata benar
telah menjadi sebuah dosa

Dan apalagi yang tinggal
selain mulut yang bisu
bila suaraku
telah menjadi merbahaya
dan kata-kata
telah menjadi sebuah dosa.

Zurinah Hassan, 1977
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Ahad, Mac 08, 2009   0 comments
Sabtu, 7 Mac 2009
Air mata di Masjid Negara
Manusia, sama ada suka atau tidak suka, pasti mencipta atau membaca sejarah hidupnya tersendiri.

Jam 12.45 tengah hari tadi saya bersama-sama sahabat seperjuangan iaitu Ustaz Imran, Sdr Adram dan Sdr Azman bertolak dari ibu pejabat Pasti di Gombak menuju ke Sogo. Kami berjalan kira-kira dua kilometer menuju ke Masjid Negara untuk bergabung dengan para demonstran dari Central Market serta mereka yang sedia menunggu di Masjid Negara untuk ke Istana Negara. Kumpulan kami agak besar, kira-kira 1000 orang. Mungkin kami adalah kumpulan yang kedua atau ketiga dari Sogo.
Adram membawa kami mengikut jalan pintas menuju istana. Belum sempat tiba di bulatan Kg. Attap, kedengaran bunyi loceng dan siren kereta FRU dan diikuti pancutan meriam air berasid. Kami yang berada kira-kira 50 meter menyelamatkan diri kerana gas sulfur dan air berasid amat memedihkan mata dan muka.

Puluhan ribu berundur ke Masjid Negara. Suasana semakin hangat dan tegang. Kami dimaklumkan pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI sudah berada di dalam masjid. Kami berada di luar tidak masuk ke perkarangan masjid memandangkan suasana provokasi semakin menggila yang kami yakini dilakukan oleh pihak polis.
Mesej pesanan ringkas dan doa srikandi bahasa yang tidak dapat bersama-sama di medan, membakar semangat kami semua.
"Allah, kenapa mereka semakin crazy. Cikgu hati-hati ya. Berdebar pula rasa apabila ada sahabat dalam kelompok pejuang." "Ya, Allah bariskan pejuang-pejuang ini dengan para syuhada dan beri mereka kemenangan."

Tuan-tuan boleh menilai bagaimana keadaan petang tadi. Polis/FRU menggunakan kuasa tanpa budi bicara sebagai seorang manusia. Para demonstran 99.99% adalah orang Islam, berlindung di rumah Allah dan yang 'menggila' petang tadi FRU yang mengaku Islam juga.

































posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Mac 07, 2009   0 comments
Istana Pantun
Pantun Pahlawan

Air yang dalam bertambah dalam
Hujan di hulu belumlah teduh
Luka yang dalam bertambah dalam
Luka dahulu belumlah sembuh

Apa guna padi bukit
Padi dibendang menabur bunga
Apa guna hati sakit
Mati bertikam termasyhur lama

Memang pahit buah peria
Makanan orang pergi menjala
Jikalau mengaku taat setia
Bersamalah kita pertahan bahasa

Cik Embun orang berbidan
Pandai mengurut sakit kepala
Biar berkalang nyawa di badan
Kedaulatan bangsa kupertahankan jua

Apa guna kepuk di ladang
Kalau tidak berisi padi
Apa guna keris di pinggang
Kalau tidak berani mati

Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkatkan paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang

Lemaknya nasi bergulai udang
Lemak berbau santan kelapa
Rela kumati berputih tulang
Tidak kumahu berputih mata

Perahu payang layarnya merah
Belayar menuju arah utara
Keris dipegang bersintukkan darah
Adat pahlawan membela negara

Sungguh cantik bunga yang merah
Malangnya lama tidak disirami
Kalau jasadku rebah ke tanah
Rela aku disemadikan di sini
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Mac 07, 2009   0 comments
PPSMI Membazirkan Wang Rakyat
























Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memang wajib ditentang. Dari satu sudut, bahasa Melayu akan menerima nasib buruk bukan sahaja dalam konteks pendidikan tetapi juga kedudukannya dari sudut politik dan ekonomi. Dalam konteks pendidikan, perubahan dasar itu turut mengakibatkan matapelajaran lain seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Lukisan Kejuruteraan dan Pengajian Kejuruteraan turut berubah kepada bahasa Inggeris.

Telitilah gambar yang dipaparkan di atas. Ia menggambarkan sikap tidak serius pelbagai pihak dalam merealisasikan hasrat PPSMI itu sendiri. Saya yakin keadaan ini berlaku di banyak sekolah di seluruh negara. Nyata, dari sudut yang lain pula, PPSMI ini membazirkan bukan sedikit wang rakyat.

Sekiranya wang rakyat tidak dibazirkan dengan cara begini, kita mampu menyalurkan peruntukan PPSMI yang bernilai berbilion RM itu kepada beberapa perkara asas yang lebih penting daripada mengadakan lcd yang boleh dikatakan tidak sempat digunakan waktu pengajaran pembelajaran, sangkar keselamatan lcd, pembesar suara, skrin dan pembekal kuasa elektrik seperti yang terdapat dalam gambar itu. Pada pendapat saya, adalah lebih waras wang itu digunakan untuk:


i. meningkatkan geran perkapita kepada pelajar dan setiap matapelajaran di sekolah agar proses pengajaran pembelajaran dapat dilaksanakan oleh dengan baik seterusnya pelajar mendapat manfaat besar dalam proses tersebut.

ii. menghapuskan kos yuran persekolahan kepada semua pelajar.

iii. membina bangunan tambahan atau sekolah baru yang berdekatan dengan kawsan kediaman pelajar sekaligus menamatkan sistem sekolah dua sesi atau sekolah melebihi 2000 orang pelajar yang masih ada sekarang.

iv. membina makmal sains tulen sebab masih banyak sekolah yang menawarkan aliran tersebut tetapi tidak mempunyai makmal sains tulen.

v. membina sekolah di kawasan perumahan yang banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan sekarang. Maka, tidak akan tersiar berita di dada akhbar bahawa ada pelajar yang belajar di dalam kabin, di kantin, di bawah pokok, membentang tikar di padang badminton dan seumpamanya.

vi. menyediakan prasarana untuk aktiviti sukan dan permainan serta persatuan, kelab dan unit beruniform yang lebih sempurna.

vii. menambah bilangan guru supaya nisbah guru-murid dapat dikecilkan untuk memberi impak pengajaran-pembeajaran yang lebih berkesan.

viii. menganjurkan kursus peningkatan profesionalisme guru sesuai dengan kemajuan dan keperluan semasa.

ix. mengagihkan elaun tambahan yang adil lagi munasabah kepada semua guru dan bukan membezakan mereka berdasarkan mata pelajaran yang diajar.

x. menganjurkan program pembangunan insan bukan sahaja kepada pelajar, guru, kakitangan yang sempurna sifatnya tetapi juga kepada golongan OKU.

xi. meningkatkan prasarana pendidikan bukan sahaja di sekolah tetapi juga prasarana untuk ke sekolah terutama kepada pelajar di kawasan pedalaman dan di pulau,

dan pelbagai kebaikan lain yang munasabah lagi bermanfat demi kepentingan majoriti pelajar yang boleh dilaksanakan dengan wang berbilion RM itu. Saya yakin tuan-tuan juga pernah bersekolah dan tahu apa nikmat yang dapat dikongsi bersama jika kita bijak menguruskan wang yang sebanyak itu dan tidak membazir seperti ini.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Sabtu, Mac 07, 2009   0 comments
Jumaat, 6 Mac 2009
Tazkirah: Jangan jadi seperti mereka
Marilah kita merenung ucapan dasar Presiden, Allahyarham Dato' Fadzil Noor, bertema Pertahan Sahsiah Ummah, sempena Muktamar Pas ke-39, pada 11-13 Jun 1993/20-22 Zulhijjah 1413 di Markaz Tarbiyyah Pas Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa kita berkewajipan mempertahan dan meningkatkan perpaduan kita. Kita menghadapi lawan yang tidak begitu senang dengan suasana perpaduan yang wujud dalam gerakan kita kerana mereka ingin melihat kita berpecah seperti mereka. Kita harus berhati-hati di dalam perkara ini. Kita tidak mungkin mengatasi lawan kecuali perpaduan yang kita pupuk dipertingkatkan."
Firman Allah Taala dalam surah Al-Anfal:46 bermaksud;
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu bertelingkah maka kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang."
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Mac 06, 2009   0 comments
Allahyarham Dato' Fadzil Noor pejuang pendidikan
'Akta Pendidikan 1996 adalah satu lagi bencana terhadap umat Islam dan orang Melayu. Secara halusnya ia mengawal semua institusi pengajian Islam dari sekolah agama rakyat, pondok dan tadika khususnya Pasti yang dikendalikan oleh Pas. Institusi tersebutlah yang sejak dari zaman penjajah berjaya mempertahankan Islam sebagai agama orang Melayu dan berjaya menjadikan orang Melayu tidak menukar agama. Kedudukan bahasa rasmi yang tunggal mulai digantikan oleh penggunaan berbagai bahasa dan dengan sendirinya kebudayaan Melayu tidak akan berupaya untuk menjadi teras kebudayaan nasional.'

Petikan ucapan Dato' Fadzil Noor, Presiden PAS dalam Muktamar PAS kali ke-42, pada 14 Jun 1996/27 Muharam 1417 di Markaz Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Mac 06, 2009   0 comments
Allahyarham Dato' Fadzil Noor pejuang bahasa Melayu
'Semasa kita menentang Akta Pendidikan 1996 dahulu, hal inilah yang kita takuti dan ternyata apa yang kita fikirkan dahulu, kini menjadi kenyataan. Bahasa Melayu dikesampingkan sementara bahasa Inggeris akan menguasai semua IPTS. Pendidikan Islam termasuk bahasa al-Quran tidak langsung diberi keutamaan, malah jika diperhalusi, Akta ini boleh digunakan untuk mengongkong usaha mewujudkan satu sistem yang selari berlandaskan Islam. Bunga-bunga malapetaka yang melanda umat Islam di Turki sudah semakin ketara di negara ini.'
Ucapan Dato' Fadzil Noor, Presiden Pas, dalam Muktamar PAS ke-44, pada 15-17 Mei 1998/18-20 Muharam 1419 di Markaz Tarbiyyah Pas Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Jumaat, Mac 06, 2009   0 comments
Khamis, 5 Mac 2009
15 Menteri Pelajaran
Menteri Pelajaran/Pendidikan Malaysia sejak 1955 hingga kini

1. Tun Abdul Razak Hussein (1955-1957)
Penyata Razak 1956

2. Tan Sri Mohd Khir Johari (1957-1960 dan 1965-1969)
Menghapuskan penggunaan tulis Jawi dalam BM/ Keranda 152

3. Encik Abdul Rahman Talib (1960-1962) dan (1964-1965)
Penyata Pelajaran 1961

4. Kapt. Haji Abdul Hamid Khan (1962-1964)

5. Datuk Haji Abdul Rahman Ya’kub (1969-1970)

6. Tun Hussein Onn (1970-1973)

7. Encik Mohamed Yaacob (1973-1974)

8. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (1974-1977)

9. Datuk Musa Hitam (1978-1981)

10. Datuk Dr Sulaiman Daud (1981-1984 dan 1991-1995)
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)

11. Datuk Abdullah Ahmad Badawi (1984-1986)

12. Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991)
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM)

13. Datuk Seri Najib Razak (1995-2000)
Akta Pendidikan 1996
Akta IPTA dan IPTS 1996

14. Tan Sri Musa Mohamad (2000-2004)
Pelaksanaan Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

15. Datuk Seri Hishamuddin Hussein (2004 hingga kini)
Masih tiada jawapan tentang isu PPSMI.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Mac 05, 2009   0 comments
Orang Putih yang cinta akan bahasa Melayu
J.T Collins, 1999, dalam Wibawa Bahasa dan Kepelbagaian, Dewan Bahasa dan Pustaka menyebut;
"Setiap generasi penutur Melayu mesti memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu dengan pengertian dan hasrat semasanya. Bahasa Melayu tidak lumpuh, tidak daif, tidak nyanyuk. Bahasa Melayu tetap gagah perkasa, sedia menghadapi zaman ini dan zaman akan datang, sebagaimana segala cabaran dan tentangan sebelum ini dapat diatasinya. Bahasa Melayu menunggu sahaja kebulatan tekad penuturnya untuk meyakini daya dan tenaganya."
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Mac 05, 2009   0 comments
Martabatnya Berbeza
Alhamdulillah, sewaktu melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pentadbiran Pendidikan di UKM pada 2002 lalu, saya berkesempatan mengikuti syarahan perdana dan membaca tulisan Yang Berbahagia Prof. Dr. Juriah Long yang amat berharga dari sudut akademik dan perjuangan. Mari kita hayati sebahagian daripada curahan pati ilmu beliau itu. Jika berminat, saya bisa menghantarkannya sesalinan untuk bacaan lanjut tuan. Insyaallah.
Berikut adalah petikan Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 30 November 2002 di Bilik Senat, UKM oleh Prof. Dr. Juriah Long dalam buku Pendidikan Bahasa Melayu: Antara Hasrat dengan Pelaksanaan.

Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 yang masing-masing dilembagakan menerusi Perundangan Malaysia sebagai Akta Pelajaran 1961, Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 adalah hasil cetusan pemikiran elit politik dan pendidik Melayu, berhasrat untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu di institusi pendidikan. Bahasa Melayu diharap dapat memainkan peranan tersirat sebagai bahasa pemersatu dan lambang jati diri masyarakat Malaysia yang merdeka.

Kita terpaksa berhadapan dengan guru-guru yang tidak mempunyai ketrampilan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu, terutama sekali di Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan dan akhir-akhir ini di Institut Pendidikan Tinggi Swasta. Masalah ini bertambah parah lagi oleh sikap sambil lewa sesetengah pendidik serta pelajar yang menganggap penguasaan bahasa Melayu standard tidak menjadi sesuatu perkara yang penting. Dari sudut pandangan lain, usaha kerajaan untuk meletakkan kembali bahasa Inggeris sebagai bahasa yang utama dan terpenting pada akhir dekad 90-an dan awal abad ke-21 ini mengukuhkan sikap negatif sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu.

Akta Pendidikan 1996 membenarkan kewujudan satu lagi aliran pendidikan, iaitu pendidikan swasta yang membolehkan bahasa Inggeris dan bahasa lain berperanan sebagai bahasa pengantar. Ia suatu penyimpangan dasar bahasa dan dasar pendidikan yang unggul yang dilaksanakan pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu dan bahasa pengantar ilmu tidak lagi dianggap sebagai yang terutama. Ini menimbulkan satu kekeliruan, sehinggalah agenda untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu tidak mampu tiba ke garis penyelesaian.

Pelaksanaan dasar kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan dialu-alukan. Namun, seperti yang seringkali disuarakan oleh para ahli bahasa dan pejuang bahasa, walaupun penguasaan kedua-dua bahasa itu sama pentingnya tetapi martabat dan kedudukan kedua-duanya berbeza. Dalam bahasa kiasan dan dalam konteks pendidikan di negara kita, bahasa Melayu dijunjung, bahasa Inggeris digendong. Kedua-duanya tidak akan dilepaskan.

Bahasa kebangsaan tidak pernah menjadi hambatan untuk kemajuan dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi. Sebaliknya pemikiran, kreativiti dan ciptaan baru berjaya dihasilkan melalui bahasa yang paling akrab dengan hati dan nurani penuturnya iaitu bahasa nasional.

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi bangsa kerana bahasa.

posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Khamis, Mac 05, 2009   0 comments
Selasa, 3 Mac 2009
Perkataan Allah hanya bagi ruang lingkup orang beriman
Lanjusoh Mon Mar 02, 09 1:23:14 pm MYT
KOTA BHARU, 2 Mac (Hrkh) - Laporan media yang menyebut Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya menyifatkan tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah dianggap sebagai satu kekeliruan terhadap maksud sebenar.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Harun berkata, wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.
"Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.
"Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya," kata beliau di sini.
Hari ini beberapa akhbar melaporkan Mursyidul Am menyifatkan tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
Isu tersebut timbul ekoran akhbar mingguan Herald Cantholic masih berdegil menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Anual berkata, wartawan yang mentafsir kenyataan Menteri Besar Kelantan agak menyimpang dari maksud sebenar. - mj_
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Selasa, Mac 03, 2009   0 comments
Isnin, 2 Mac 2009
Indahnya bahasa Melayu
Di Rumah Cinta

Setiap kali kukunjungi
rumah cinta ini
kurasakan pintu takwa
semakin membukakan
sinar makna
kandil wahyu
titian keagungan-Mu………..

(Dharmawijaya,1992)

Segalanya Padamu Ibunda

Masa silam yang terpendam
di suram matamu
merantai badai beban waktu
kutahu
kau masih berupaya
meniduri hamparan duka.

Masa kini yang terukir
di senyum ramahmu
mendepani gementar siang gelisah malam
kutahu
kau adalah ladang segala kesabaran
tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.

Masa depan yang terpancar
di nyala dadamu
kutahu
kau tak rela daun-daun harapan
gugur luruh menampar genggaman.

(Dharmawijaya, Dewan Sastera, Oktober, 1979)
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 02, 2009   0 comments
SN A. Samad Said: Ajar BN-Umno di Peti Undi
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) -Rakyat disaran menggunakan 'bahasa undi' untuk mengajar pimpinan Melayu yang 'membunuh' bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.
Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.
Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.
"Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.
"Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu 'bahasa undi' (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu," tegasnya.
Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.
Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.
"Dia (Umno) selalu memperkecilkan angkatan (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.
"Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa," ujarnya.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu jenayah kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.
Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara membunuh bahasa dan bangsa sendiri.
"Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.
"Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.
"Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya,"jelasnya.
Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.
"Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.
"Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri," jelasnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat.
posted by Cikgu Azrin Ab. Majid @ Isnin, Mac 02, 2009   0 comments
semangatku, perjuanganku

SAYA YANG BERNAMA AZRIN BIN AB. MAJID

Name: Cikgu Azrin Ab. Majid
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin, Naib Yang Di-Pertua PIBG S.K. Sri Lanang, Kg. Kelubi, Jasin.
See my complete profile

ARTIKEL LALU

BAHAN KHAZANAH

HARGAILAH MASA

BLOGGERS MELAKA

BILANGAN PENGUNJUNG BERMULA 18 FEBRUARI 2009

DESIGN BY

Blogger Templates

BLOGGER